#kerajaangagal175 -- Adakah mana-mana Menteri yang berani menafikan bahawa Malaysia berkemungkinan akan melepasi angka sejuta kes Covid-19 terkumpul pada akhir bulan ini dan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan mengenai strategi baru untuk mempersediakan rakyat untuk hidup bersama dengan wabak ini?
Dalam minggu pertama bulan Mei, Kementerian Kesihatan Indonesia menasihatkan orang Indonesia untuk kekal berada di rumah dan mematuhi protokol kesihatan 3M mereka terhadap jangkitan Covid-19 (memakai topeng pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga jarak sosial) menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri yang memperingatkan mereka untuk belajar dari India dan Malaysia: "Belajarlah dari India dan Malaysia kerana kita pasti tidak mahu Indonesia menghadapi masalah yang sama".
Dua bulan kemudian, Indonesia telah mengatasi Malaysia dan India sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan Covid-19.
Semalam, Indonesia mencatatkan 54,417 kes Covid-19 baru dan 991 kematian akibat Covid-19 sementara India mencatatkan 41,854 kes Covid-19 baru dan 580 kematian akibat Covid-19 manakala Malaysia mencatatkan 11,618 kes Covid-19 baru dan 118 kematian akibat Covid-19.
Perkara yang membezakan India dan Malaysia adalah hakikat di mana India mencatatkan penurunan mendadak kes Covid-19 sedangkan Malaysia pula sedang mencatatkan peningkatan.
Jumlah kes di India jatuh dari kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei 2021 kepada 41,854 kes Covid-19 baru semalam, penurunan 90% yang luar biasa, sementara Malaysia mencapai kemuncak baharu semalam dengan 11,618 kes.
Seorang pakar virologi di Universiti Sains Malaysia telah memberi amaran bahawa jangkitan Covid-19 harian boleh meningkat dua kali ganda hingga hampir 20,000 sehari dalam dua minggu ke depan, memandangkan jumlah kes disebabkan oleh varian Delta yang lebih menular.
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah juga menjangkakan kes Covid-19 akan terus meningkat dalam dua minggu berikutnya sebelum stabil, kerana varian yang membimbangkan, seperti varian Delta, yang menurutnya telah menyebabkan malapetaka di Lembah Klang.
Semalam, Malaysia dengan 11,618 kes Covid-19 baru, mengekalkan kedudukannya sebagai negara ke-13 teratas di dunia dengan kes Covid-19 baru harian tertinggi selepas Brazil (57,664 kes), Indonesia (54,517), UK (42,302), India (41,854), Amerika Syarikat (35,267), Sepanyol (26, 390), Rusia (23,827), Iran (23,371), Argentina (19,697), Afrika Selatan (17,480), Kolombia (17,230) dan Bangladesh (12,383).
Dengan 118 kematian Covid-19 baru semalam, Malaysia juga merupakan negara ke-13 teratas di dunia untuk kematian Covid-19 harian, di belakang Brazil (1,574 kematian), Indonesia (991), Rusia (786), Argentina (610), India (580) , Colombia (498), Afrika Selatan (453), Amerika Syarikat (359), Mexico (219), Bangladesh (210), Iran (184) dan Peru (146).
Dengan jumlah kumulatif sebanyak 867,567 kes Covid-19, kita sekarang berada di tangga ke-32 di antara negara-negara dengan jumlah keseluruhan kes kumulatif Covid-19, sedangkan lapan bulan yang lalu, kita berada di tempat ke-85 -- mengatasi kedudukan 53 negara dalam tempoh ini.
Dalam indeks “Jumlah kes per sejuta penduduk” untuk 13 Julai 2021 di laman web Our World in Data, Malaysia dengan 26,445 kes per sejuta penduduk adalah yang tertinggi di Asia, ASEAN dan kawasan serantau Pasifik -- Singapura 10,724, Indonesia 9,562; Myanmar 3,699, Thailand 5,067; Filipina 13,521, Kemboja 3,750, Brunei 644, Vietnam 363, Laos 398, China 64, India 22,424, Jepun 6,522, Korea Selatan 3,353, Hong Kong 1,594, Taiwan 642, Australia 1,232 dan New Zealand 578.
Tidak kira apa pun ukurannya, baik mikro mahupun makro, Malaysia adalah antara negara dengan prestasi paling buruk di dunia dalam mengendalikan wabak Covid-19.
Sangat mengejutkan apabila perkara ini enggan diperakui oleh Kabinet.
Adakah mana-mana Menteri yang berani menafikan bahawa Malaysia berkemungkinan akan melepasi angka sejuta kes Covid-19 terkumpul pada akhir bulan ini dan apabila kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos yang akan datang, kita akan mempunyai lebih daripada 10,000 kematian akibat Covid-19, tanpa mengira lagi kematian akibat peningkatan kejadian bunuh diri yang disebabkan oleh pandemik ini?
Adakah Kabinet membincangkan perkara ini? Apakah yang diputuskan oleh Kabinet? Dan apakah yang kerajaan sedang lakukan mengenai strategi baharu untuk mempersediakan rakyat Malaysia untuk hidup bersama dengan selamat dengan pandemik ini?
Saya menunggu hasil mesyuarat Kabinet semalam, dengan harapan ia dapat menandakan permulaan baru dan strategi baru dalam perang melawan Covid-19.
Tetapi tidak ada -- hanya pernyataan pendek selepas mesyuarat Kabinet menyatakan sokongan sebulat suara para Menteri (termasuk sembilan Menteri UMNO) untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Perkara itu hanyalah merupakan satu penghinaan kepada Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO, tetapi lebih penting lagi, ia menunjukkan sebuah Kabinet yang tidak bersedia untuk menumpukan usahanya kepada cabaran eksistensial yang dihadapi oleh negara yang dibawa oleh pandemik Covid-19 ini, sebaliknya hanya tertumpu kepada usaha untuk memberikan respons kepada cabaran terhadap Kabinet yang dilontarkan oleh Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO.
Bilakah Kabinet akan mula menunjukkan tauladan untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha mereka untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan merancang untuk mengembalikan Malaysia ke arah kenormalan seperti yang sedang berlaku di negara-negara lain?