#kerajaangagal174 -- Semalam, jumlah kes baharu Covid-19 dan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah yang ke-13 dan yang ke-10 tertinggi di dunia

Semalam, jumlah kes baharu Covid-19 dan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah yang ke-13 dan yang ke-10 tertinggi di dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah menjangkakan yang kes Covid-19 ini akan terus meningkat dalam masa dua minggu yang akan datang sebelum mula stabil, kerana pelbagai varian koronavirus yang membimbangkan, seperti varian Delta, yang beliau katakan sedang memporak-perandakan keadaan di Lembah Klang.

Sekiranya apa yang dikatakan Noor Hisham ini tepat, maka negara kita akan menjadi salah satu daripada sepuluh negara dengan jumlah kes harian tertinggi. Adakah negara kita juga akan menjadi salah satu daripada lima negara teratas dari segi kematian akibat Covid-19?

Buat masa ini, 13 negara dengan jumlah kes baharu tertinggi adalah:

  1. Indonesia - 47,899 kes
  2. Brazil - 45,094
  3. Sepanyol - 43,960
  4. India - 40,215
  5. UK - 36,660
  6. Amerika Syarikat - 28,923
  7. Rusia - 24,702
  8. Iran - 22,750
  9. Argentina - 20,023
  10. Colombia - 17,532
  11. Afrika Selatan- 12,535
  12. Bangladesh- 12,198
  13. Malaysia - 11,079

10 negara dengan jumlah kematian akibat Covid-19 yang tertinggi pula adalah:

  1. Brazil - 1,613
  2. Indonesia - 864
  3. Rusia - 780
  4. Afrika Selatan - 633
  5. Colombia - 504
  6. Argentina - 385
  7. Amerika Syarikat - 307
  8. Bangladesh - 203
  9. Iran - 166
  10. Malaysia - 125

Kita tidak mahu negara kita berada dalam kedudukan sebegini.

Pada suatu masa dahulu, Malaysia berada 50 kedudukan di belakang China dari jumlah kes terkumpul Covid-19. Tetapi kini jumlah kes terkumpul Covid-19 di negara kita adalah yang ke-32 tertinggi di dunia, dengan 855,949 kes dan 6,385 kematian akibat Covid-19. Manakala China pula berada di tempat ke-101 dengan 92,119 kes terkumpul dan 4,636 kematian.

Malah, Amerika Syarikat, yang untuk setahun lepas, merupakan negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini, kini sedang beransur bertambah baik berbanding dengan situasi di Malaysia.

Saya percaya yang Malaysia boleh melakukan dengan lebih baik untuk mengawal penularan wabak ini -- tetapi kita memerlukan strategi baharu untuk memenangi perang halimunan dalam melawan wabak yang membawa maut ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri