#kerajaangagal173 -- Mesyuarat Kabinet hari ini perlu mengambil kira nasihat TMJ untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha kepada krisis kesihatan dan ekonomi dengan menjemput semua pemimpin parti politik ke Persidangan Meja Bulat mengenai Pandemik Covid-19
Mesyuarat Kabinet hari ini perlu mengambil kira nasihat Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha kepada krisis kesihatan dan ekonomi dengan menjemput semua pemimpin parti politik ke Persidangan Meja Bulat mengenai Pandemik Covid-19.
Dengan mencecah lima angka jumlah kes baharu Covid-19 semalam, Malaysia berada di tempat ke-13 dengan kadar kes baharu tertinggi di dunia -- satu ukuran betapa besarnya kegagalan pengisytiharan darurat kerajaan untuk melawan wabak ini, sedangkan dua bulan sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, Malaysia berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul berbanding dengan negara-negara lain di seluruh dunia.
Kita telah mengatasi kedudukan 53 buah negara dan kini berada di tempat ke-32 dengan 855,949 kes terkumpul dan 6,385 kematian akibat Covid-19.
Tidak kira apa pun ukurannya, baik mikro mahupun makro, kerajaan Muhyiddin ini telah gagal dalam perang melawan wabak ini, dan mereka patut mengundurkan diri secara terhormat, terutamanya apabila mereka gagal menunjukkan yang mereka masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.
Tetapi, rakyat Malaysia bersedia untuk mengetepikan pertimbangan politik untuk menumpukan semua usaha kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi oleh negara, dengan syarat, Kabinet juga bersedia untuk berbuat demikian.
Sekiranya penghinaan di mana Malaysia kini menjadi negara di tempat ke-13 dengan peningkatan harian kes Covid-19 di dunia ini tidak mampu untuk memberikan kesedaran kepada Kabinet Muhyiddin untuk mengubah hala tuju dan mengalahkan wabak Covid-19 ini, tidak ada apa-apa perkara lain yang boleh mengubah mereka.
Kerana itulah mesyuarat Kabinet hari ini kritikal -- bukan sahaja kepada Kabinet itu sendiri, tetapi juga untuk seluruh negara.
Saya seru Kabinet untuk menjalankan lima tugas yang cadangkan semalam, iaitu:
1. Memanggil persidangan Parlimen pada 26 Julai 2021 dengan perbahasan penuh berhubung krisis pandemik Covid-19.
2. Penamatan darurat pada 1 Ogos 2021 kerana ia membawa kegagalan teruk dan jelas merupakan satu strategi yang salah untuk melawan Covid-19.
3. Permohonan maaf kepada negara atas kegagalan strategi dan pendekatan yang diterapkan kerajaan dalam perang lawan pandemik Covid-19, terutamanya dalam tempoh enam bulan terakhir darurat, yang telah mengakibatkan 6,260 nyawa terkorban dan jumlah kes bunuh diri yang tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang dibuktikan oleh tiga tinjauan penerbitan antarabangsa:
- Carta Ketahanan Covid Bloomberg untuk bulan Jun 2021 di mana Malaysia jatuh 35 anak tangga daripada tempat ke-16 pada bulan Januari 2021 kepada tempat ke-51 daripada 53 buah negara dengan saiz ekonomi yang lebih besar daripada ASD200 bilion;
- Indeks Kenormalan Global The Economist yang meletakkan Malaysia di tempat ke-50 daripada 50 negara; dan
- Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei yang diterbitkan pada 7 Julai yang meletakkan di tempat ke-114 daripada 120 negara dari segi pengurusan jangkitan, pemberian vaksin, dan mobiliti sosial.
4. Meluluskan penyusunan strategi baru untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara untuk menang dalam perang yang tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya terhadap Covid-19 dengan membebaskan negara dari strategi kepercayaan membuta tuli terhadap pelaksanaan “sekatan pergerakan” semata-mata; dan
5. Segera mengundang semua parti yang mempunyai wakil di parlimen, termasuk parti-parti Pembangkang, untuk menyusun strategi baru dalam perang melawan Covid-19 dan membentangkan strategi ini untuk diluluskan Parlimen semasa persidangan pada 26 Julai.
Kabinet juga perlu bekerjasama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi yang akan bermesyuarat pada 23 Julai untuk merangka strategi baharu dalam memerangi Covid-19.