#kerajaangagal172 - Malaysia berhadapan dengan darurat bukan kerana virus Covid-19 tetapi kerana sebuah kakistokrasi yang tidak peduli sama ada Malaysia telah terjerumus dalam sebuah trajektori menuju negara gagal

Malaysia berhadapan dengan darurat bukan kerana virus Covid-19 tetapi kerana sebuah kakistokrasi yang tidak peduli sama ada Malaysia telah terjerumus dalam sebuah trajektori ke arah menjadi negara gagal.

Laporan bahawa terdapat 11,079 kes baharu Covid-19 hari ini, angka tertinggi yang pernah dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara, mematikan segala dakwaan bahawa darurat yang diumumkan pada 11 Januari 2021 adalah jalan penyelesaian terbaik untuk Malaysia keluar daripada krisis kesihatan ini.

Kita mencapai 11,079 kes Covid-19 dalam tempoh satu hari sedangkan kita mengambil masa sembilan bulan untuk melangkaui angka 11,079 kes Covid-19 pertama tahun lalu.

Ketika darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, terdapat 135,992 kes Covid-19 (10/1/2021). Kini jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia adalah 855,949 kes.

Kita mengambil masa sembilan bulan untuk mencapai 100,000 kes Covid-19 pertama, tetapi pada kadar jangkitan sekarang, kita akan melengkapkan kes 100,000 yang kelapan untuk memecahkan angka 900,000 dalam sebelas hari pada 18 Julai dan memecahkan angka sejuta ketika Parlimen bersidang semula pada 26 Julai 2021.

Tetapi jika kita bertanya kepada petugas barisan hadapan perubatan, mereka akan mengatakan bahawa jumlah kes harian Covid-19 yang dicatatkan adalah jumlah yang rendah kerana jangkitan yang meluas dalam kalangan masyarakat dan pelaksanaan saringan yang rendah di Malaysia.

Dua hari yang lalu, saya mengeluarkan kenyataan media yang menanyakan adakah krisis oksigen yang berlaku di India akan turut berlaku di Malaysia.

Hari ini, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor, yang memiliki lebih dari 5,000 katil, sedang mengalami kekurangan bekalan oksigen.

Pagi ini, saya menyatakan bahawa Kabinet perlu menyelesaikan banyak perkara dalam mesyuaratnya esok.

Saya mengulangi gesaan saya kepada Kabinet untuk memutuskan sekurang-kurangnya lima perkara esok:

1. Persidangan Parlimen pada 26 Julai 2021 dan perbahasan penuh berhubung krisis pandemik Covid-19.

2. Penamatan darurat pada 1 Ogos 2021 kerana ia membawa kegagalan teruk dan merupakan strategi salah untuk perang lawan Covid-19.

3. Permohonan maaf kepada negara atas kegagalan strategi dan pendekatan yang diterapkan kerajaan dalam perang lawan pandemik Covid-19, terutamanya dalam tempoh enam bulan terakhir darurat, yang mana mengakibatkan 6,260 nyawa terkorban dan jumlah kes bunuh diri yang tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang mana disokong oleh tiga tinjauan antarabangsa, iaitu:

  1. Carta Ketahanan Covid Bloomberg untuk bulan Jun 2021 di mana Malaysia jatuh 35 anak tangga daripada tempat ke-16 pada bulan Januari 2021 kepada tempat ke-51 daripada 53 buah negara dengan saiz ekonomi yang lebih besar daripada ASD200 bilion;
  2. Indeks Kenormalan Global The Economist yang meletakkan Malaysia di tempat ke-50 daripada 50 negara; dan
  3. Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei yang diterbitkan pada 7 Julai yang meletakkan di tempat ke-114 daripada 120 negara dari segi pengurusan jangkitan, pemberian vaksin, dan mobiliti sosial.

4. Meluluskan penyusunan strategi baru untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara untuk memenangkan perang yang tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya terhadap pandemik Covid-19 dengan membebaskan negara dari strategi kepercayaan membuta tuli terhadap pelaksanaan “lockdown”; dan

5. Segera mengundang semua parti yang mempunyai wakil di parlimen, termasuk parti-parti Pembangkang, untuk menyusun strategi baru dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan membentangkan strategi baru ini untuk disahkan ketika Parlimen bersidang pada 26 Julai.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri