#kerajaangagal169 -- Masa untuk merangka dan bentang ke Parlimen strategi baharu perang melawan wabak Covid-19 untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara

Ahli-ahli Parlimen masih belum menerima sebarang makluman mengenai sidang Parlimen yang akan bersidang dalam masa lima hari lagi bermula pada 26 Julai seperti yang diumumkan oleh kenyataan Jabatan Perdana Menteri pada 5 Julai 2021.

Sebagai mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, telah tekankan, perkara ini amat tidak berpatutan memandangkan sidang lima hari ini kelihatan seakan-akan cuba untuk mengelakkan sesi pertanyaan dan juga upacara pembukaan Parlimen dengan Titah Diraja.

Hasilnya, perkara ini hanya menghina demokrasi berparlimen di Malaysia.

Hanya ahli politik yang teramat tidak jujur sahaja yang akan terus cuba menafikan hakikat bahawa strategi kerajaan, darurat selama enam bulan yang lepas, dan “sekatan pergerakan menyeluruh” sejak 1 Jun ini semua adalah satu kegagalan. Kegagalan yang kini semakin nyata dengan tinjauan penerbitan antarabangsa seperti berikut:

  1. Carta Ketahanan Covid Bloomberg untuk bulan Jun 2021 di mana Malaysia jatuh 35 anak tangga daripada tempat ke-16 pada bulan Januari 2021 kepada tempat ke-51 daripada 53 buah negara dengan saiz ekonomi yang lebih besar daripada ASD200 bilion;
  2. Indeks Kenormalan Global The Economist yang meletakkan Malaysia di tempat ke-50 daripada 50 negara; dan
  3. Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei yang diterbitkan pada 7 Julai yang meletakkan di tempat ke-114 daripada 120 negara dari segi pengurusan jangkitan, pemberian vaksin, dan mobiliti sosial.

Dalam tempoh 40 hari yang lepas sejak 1 Jun, terdapat peningkatan 31% kes Covid-19 walaupun kita menyaksikan penurunan 17% dalam kadar ujian saringan yang dijalankan dalam tempoh yang sama. Kita juga menyaksikan peningkatan 111% kadar kematian akibat Covid-19.

Malaysia telah menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam pandemik Covid-19 yang telah melanda negara kita untuk 18 bulan yang lepas ini, mengatasi kedudukan 50 buah negara dalam masa tidak sampai lapan bulan dari segi jumlah kes terkumpul -- daripada tempat ke-85 pada November tahun lepas, ke tempat ke-33 hari ini.

Kita akan mengatasi kedudukan Israel di tempat ke-32 esok sekiranya bukan hari ini, dan berdasarkan kadar jangkitan semasa, kita akan berada dalam kalangan 30 negara teratas dengan jumlah kes tertinggi dengan lebih daripada sejuta kes dan 10,000 kematian menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos akan datang.

Kita perlu strategi dan pendekatan baharu untuk menghentikan lonjakan peningkatan kes dan kematian ini, dan juga untuk menyuntik harapan untuk masa hadapan kepada rakyat Malaysia. Strategi semasa kerajaan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa -- dari kematian akibat Covid-19 dan juga kes bunuh diri -- tetapi juga memusnahkan punca pendapatan dan kehidupan rakyat.

Perasaan putus asa dan tidak mempunyai harapan ini dapat dilihat daripada jumlah “bendera putih” yang dikibarkan, namun, berapa lama penderma boleh membantu? Apa yang akan jadi apabila semakin lama semakin sedikit yang mampu menderma dan semakin banyak “bendera putih” yang tidak dapat dibantu?

Masanya telah tiba untuk kita merangka, membentangkan dan meluluskan di Parlimen sebuah strategi baharu untuk melawan wabak Covid-19 yang akan menggantikan Pelan Pemulihan Negara.

Saya menyeru kerajaan Muhyiddin untuk mula mendekati Ahli-ahli Parlimen Pembangkang untuk melibatkan semua dalam strategi ini, yang perlu fokus kepada usaha untuk membuka semula ekonomi secara selamat, bukannya terus menutup pelbagai sektor kehidupan rakyat, memandangkan wabak ini kelihatan seakan-akan tidak dapat dihapuskan dan sebaliknya kita yang perlu belajar untuk hidup bersamanya dengan selamat.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri