#kerajaangagal168 -- Ratapan Alwi Jantan adalah ratapan semua rakyat Malaysia!
Saya menunggu respons kerajaan terhadap kerja penyiasatan kewartawan yang bagus dari Annabelle Lee di Malaysiakini yang bertajuk “Dari petugas baris depan - Bencana yang menimpa hospital Lembah Klang” namun tidak ada sebarang respons yang diberikan oleh kerajaan, baik pada hari Sabtu, atau Ahad.
Bagaimanakah hendak menafikan kebenaran?
Teriakan petugas barisan hadapan di hospital-hospital di Lembah Klang, baik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Hospital Ampang, Hospital Selayang, atau hospital mengajar akan terus menghantui semua rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan Muhyiddin.
Para petugas barisan hadapan perubatan berkongsi mengenai situasi di mana hospital awam di Lembah Klang kini berada pada titik pecah dan bagaimana mereka kini sudah lali dengan kematian akibat Covid-19.
Namun, tidak ramai yang berani untuk bercakap secara terbuka memandangkan mereka ini adalah kakitangan awam dan berisiko berhadapan dengan tindakan disiplin.
Mereka telah menyatakan kekecewaan mereka mengenai bagaimana sesetengah pegawai perubatan kanan yang cuba menafikan mengenai bencana yang sedang berlaku walaupun terdapat pihak dari luar yang cuba untuk membantu.
Situasi Covid-19 sekarang berada pada tahap terburuk sejak permulaan pandemik ini, walaupun kita sedang berada dalam “sekatan pergerakan penuh” sejak 1 Jun.
Ini adalah salah satu daripada aduan daripada petugas barisan hadapan perubatan”
“Dalam beberapa hari yang lepas, ada pegawai perubatan yang telah meletakkan jawatan dengan notis 24 jam. Mereka adalah petugas yang komited dan bekerja keras tetapi kini telah terlalu letih dan lesu dengan krisis ini dan kini mereka telah berputus harapan.
“Moral kini berada pada peringkat yang amat rendah dan tidak ada kepimpinan atau simpati yang ditunjukkan. Saya berasa letih, marah, dan terkapai-kapai tidak dibantu.
“Hospital kerajaan kita telah terlalu lama “kebulur” kerana tidak cukup peruntukan, dan mereka yang kebuluran tidak boleh melawan jangkitan ini.”
Ratapan seorang mantan kakitangan awam kanan, Alwi Jantan dalam puisi berikut, menjiwai ratapan semua rakyat Malaysia.
O MENGAPA NEGARA KU
O mengapa negara ku.
Covid melanda bertalu,
Arah haluan tidak menentu,
Bila akan tamat belum tahu.
O mengapa negara ku.
Perintah Kecemasan diistiharkan,
Namun wabak tidak berkurangan,
Rakyat jelata terus keseksaan.
O mengapa negara ku.
Parlimen tak dibenar bersidang,
Oleh kerajaan pintu belakang,
Titah Seri Paduka tak dipandang.
O mengapa negara ku.
Mari kita bersatu padu,
Menolak kerajaan yang lesu,
Semuga negara balik maju
Peningkatan mendadak kes dan kematian akibat Covid-19 selepas enam bulan dalam perintah darurat dan 40 hari dengan “sekatan pergerakan penuh” ini tidak dapat dinafikan lagi dan begitu juga perasaan rakyat yang merasakan pengorbanan mereka dikhianati dengan pelbagai sekatan yang tidak membuahkan hasil ini.
Dalam 40 hari yang lepas sejak 1 Jun, terdapat 31% peningkatan kes Covid-19 walaupun dengan penurunan kadar saringan sebanyak 17% peratus, kita juga menyaksikan 111% peningkatan kadar kematian akibat Covid-19.
Kekecewaan petugas barisan hadapan ini bertambah buruk lagi apabila mereka mendengar bagaimana golongan elit politik terus bermain-main dengan SOP, melawat rakan-rakan mereka, mengadakan mesyuarat, dan berkomplot, seakan-akan negara kita tidak berhadapan dengan krisis Covid-19 langsung.
Adakah kerajaan Muhyiddin ini mempunyai pelan B? Selepas menggunakan dua senjata (sekatan pergerakan dan vaksinasi), adakah mereka mempunyai sebarang strategi lain untuk melawan krisis ini? Atau adakah kita akan terus menerus melakukan benda yang sama dan berharap kita mendapat keputusan yang berbeza?
Tidakkah kerajaan terfikir untuk melibatkan pengamal am swasta dalam peranan yang lebih penting, untuk mengurangkan beban kepada hospital kerajaan? Bolehkah pengamal am ini diberikan kuasa untuk merawat mereka yang mempunyai simptom ringan dan biarkan mereka yang berada dalam kategori 4 dan 5 untuk dirawat di hospital?
Bantuan pihak Tentera di Hospital Klang amatlah dialu-alukan. Persoalannya adalah, mengapa kor perubatan tentera ini tidak dilibatkan oleh kerajaan lebih awal lagi?
Dengan varian Delta membawa kemusnahan di India, adakah kita bersedia untuk berhadapan dengan varian ini?
Doktor-doktor junior telah mengadu mengenai kekurangan perkakasan. Adakah kita mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi di semua hospital awam utama di seluruh negara? Kita tidak mahu krisis oksigen yang berlaku di India untuk terjadi di sini.
Adakah kita mempunyai pelan B mengenai varian Delta ini? Apakah nisbah kes kita yang melibatkan varian Delta? 50%, 70% atau 90%?
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan yang kes harian Covid-19 ini akan mula stabil dan menunjukkan penurunan dalam satu atau dua minggu yang akan datang -- perkara ini bermakna Parlimen akan bersidang semasa kes baharu Covid-19 ini berada pada paras tertinggi dalam sejarah negara.
Adakah Perdana Menteri akan memberikan jaminan yang perkara ini tidak akan digunakan sebagai alasan sekali lagi untuk menggantung sidang Parlimen dan melanjutkan perintah darurat?
Akhir sekali, adakah sebarang rancangan untuk memastikan negara kita tidak akan melepasi paras sejuta kes Covid-19 dan lebih daripada 10,000 kematian akibat wabak ini menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021?