#kerajaangagal166 -- Seruan untuk persidangan meja bulat “Reset Malaysia” bersama dengan parti politik dan persatuan sivil sempena Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58 untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara gagal
Satu akhbar antarabangsa menerbitkan satu artikel pendapat yang bertajuk “Malaysia sedang menjunam ke arah negara gagal”.
Saya setuju. Malaysia belum menjadi sebuah negara gagal, tetapi kita sedang berada dalam sebuah trajektori ke arah menjadi negara gagal, dan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, kawasan, atau politik, perlu bersatu-padu untuk menyelamatkan negara kita daripada ditakdirkan menjadi sebuah negara gagal.
Kita telah gagal untuk memenuhi aspirasi Merdeka pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 di mana negara ini sepatutnya menjadi contoh dan menunjukkan kepada dunia yang bermasalah tentang bagaimana pelbagai kaum, bahasa, agama, budaya dan peradaban dapat berjaya wujud bersama dan berintegrasi untuk membina sebuah negara yang bersatu, harmoni, bermatlamat, demokratik, adil, progresif dan sejahtera -- sebuah negara bertaraf dunia yang terbaik.
Malaysia telah menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengendalikan wabak Covid-19 untuk 18 bulan yang lepas, dalam masa tidak sampai lapan bulan, melonjak 50 kedudukan dari segi jumlah kes Covid-19 terkumpul -- dari tempat ke-85 pada bulan November tahun lepas ke kedudukan ke-33 hari ini.
Negara-negara dengan prestasi terburuk sebelum ini seperti China, Amerika Syarikat, India, United Kingdom, Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Turki dan Iran telah berubah kepada yang lebih baik dan kini dapat melihat cahaya di hujung terowong, mengurangkan kes Covid-19 mereka (India menyaksikan penurunan 90%, AS 95% dan China 99.8% dari kemuncak penularan masing-masing) dan kematian Covid-19 (India jatuh 82%, AS 97% dan China 99% dari puncak masing-masing), sementara Malaysia baru sahaja mencapai kemuncak harian baru sebanyak 9,353 kes semalam dan memecahkan angka 6,000 untuk jumlah kematian Covid-19 terkumpul.
Dengan kadar jangkitan Covid-19 semasa ini, Malaysia akan berada dalam kalangan 30 negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia, dengan lebih daripada satu juta kes dan lebih daripada 10,000 kematian akibat Covid-19 menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.
Saya menggesa supaya persidangan meja bulat “Reset Malaysia” bersama dengan parti politik dan persatuan sivil sempena Hari Kebangsaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58 diadakan untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara gagal.
Persidangan Meja Bulat "Reset Malaysia" harus antara lain mencapai objektif berikut:
- Menegaskan semula asas Malaysia sebagai negara dengan sistem raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen.
- Menegakkan lima prinsip pembinaan negara Rukun Negara.
- Menjadikan Malaysia sebagai negara demokratik yang normal.
- Kembalikan Parlimen sebagai ruang perundangan dan politik tertinggi dalam negara, selari dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Badan Perundangan dan Kehakiman.
- Menegakkan kebebasan, sifat tidak partisan, dan profesionalisme Kehakiman.
- Memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas, tidak berpihak, profesional dan cekap.
- Perang menentang rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
- Malaysia perlu menjadi sebuah negara di mana bakat dan kepakaran semua rakyat Malaysia dapat memperoleh kepuasan sehingga negara dapat merealisasikan potensi penuh dalam pembangunannya dalam semua bidang usaha manusia.
- Pemenuhan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak untuk mendapat tempat yang saksama di bawah sinar matahari Malaysia, seperti yang dijelaskan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
- Misi dan matlamat perpaduan nasional untuk menyatukan semua rakyat Malaysia, misalnya, bangsa Malaysia yang bersatu dan progresif pada tahun 2050.
Tujuh puluh tahun yang lalu pada tahun 1951, pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar diberitahu bahawa beliau “terlalu awal untuk era itu” ketika beliau meninggalkan UMNO kerana cadangannya kepada UMNO untuk membuka pintu kepada orang bukan Melayu dan mengakhiri politik komunal berdasarkan kaum ditolak.
Lima puluh lima tahun yang lalu, pada 18 Mac 1966, DAP diberitahu bahawa kita “terlalu maju untuk era tersebut” ketika kita membentuk sebuah parti politik yang ditujukan untuk tujuan sebuah Malaysia yang demokratik, makmur dan adil untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau wilayah.
Tiga puluh empat tahun yang lalu, pada bulan Disember 1987, seorang pegawai tinggi polis melawat saya di mana saya ditahan dalam penjara selama 60 hari semasa penahanan di bawah ISA kedua saya di bawah Operasi Lalang, dan saya diberitahu bahawa saya akan ditahan secara rasmi dan dihantar ke Pusat Penahanan Kamunting, kerana DAP “terlalu kehadapan berbanding dengan zaman itu” walaupun prinsip dan polisi DAP betul dan baik untuk negara -- tetapi mungkin memerlukan generasi lain agar mereka dapat diterima secara umum.
Kini, sudah 2021, enam puluh empat tahun selepas Merdeka pada tahun 1957 dan 58 tahun selepas pembentukan Malaysia -- sudah ada tiga generasi rakyat Malaysia.
Adakah masih “terlalu awal” untuk kita meminta rakyat Malaysia untuk melihat diri mereka pertamanya sebagai rakyat Malaysia, mengutamakan identiti Malaysia mereka sebelum identiti-identiti lain mereka?
“Reset Malaysia” ini memang penting, tetapi perkara ini hanya boleh berlaku sekiranya dua keadaan berikut dipenuhi:
- Pertama, rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum , agama, wilayah atau politik mencapai kata sepakat untuk berusaha mencapai hasrat Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”; dan
- Kedua, agar rakyat Malaysia berhenti memikirkan diri mereka hanya sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli sebaliknya mula melihat diri mereka, pertamanya sebagai rakyat Malaysia!