#kerajaangagal163 -- Berita-berita politik tampak suram, apatah lagi berita-berita berkaitan Covid-19
Berita-berita politik tampak suram, apatah lagi berita-berita berkaitan Covid-19.
Susulan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada lewat malam Rabu lalu untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta, kerajaan Muhyiddin kini dilihat goyah tetapi masih tidak tumbang setakat semalam.
Peguam Negara, Idrus Harun berkata, tidak jelas sama ada Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen dan perkara ini harus ditentukan sendiri oleh Ahli Parlimen bukan menerusi kenyataan.
Pemimpin tertinggi UMNO berkata penarikan sokongan oleh UMNO itu menyasarkan Muhyiddin, bukan kerajaan Perikatan Nasional secara keseluruhan, meskipun Presiden UMNO, Zahid Hamidi dalam kenyataan media lewat malam Rabu telah menyenaraikan tujuh kegagalan terbesar “kerajaan Muhyiddin” yang menjadi sebagai asas kepada keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi UMNO.
Justeru, amat mengejutkan apabila Naib Presiden UMNO berkata yang Ismail Sabri, yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Muhyiddin pada awal Rabu, boleh menjadi Perdana Menteri sementara jika Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, mengambil kira peranan penting Ismail dalam perang melawan pandemik Covid-19 -- apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta perlembagaan bahawa Kabinet akan terbubar selepas Perdana Menteri meletak jawatan.
Hasilnya adalah kelumpuhan sebuah kerajaan kleptokratik di tengah-tengah negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19 -- enam bulan selepas Proklamasi Darurat dengan alasan untuk melawan pandemik Covid-19 diisytiharkan, enam minggu selepas pelaksanaan “sekatan penuh” dan selepas sebulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara.
Ini dapat dilihat menerusi angka kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan semalam -- sebanyak 135 kes kematian akibat wabak itu dicatatkan sementara sebanyak 8,878 kes positif Covid-19 dikesan, yang merupakan rekod kedua tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 18 bulan lalu!
Malaysia kini berada di kedudukan 34 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi. Setelah memintas Hungary hari ini, kita diramal memintas Jepun untuk berada di kedudukan ke-33, kurang lapan bulan dari sekarang. Pada 18 November 2020, kita berada di kedudukan ke-85 antara negara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.
Kita bakal memintas Jepun seminggu lebih awal daripada jangkaan saya.
Dalam kategori negara paling teruk menguruskan pandemik Covid-19, Malaysia telah memintas China dan Amerika Syarikat -- China, di mana wabak itu mula-mula dikesan dengan 80,025 kes jangkitan dan 2,912 kematian direkodkan sehingga 1 Mac 2020 dan dipintas oleh Amerika Syarikat bermula 1 Mac 2020 dan negara barat itu kini mempunyai jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 34.6 juta dengan lebih 620,000 kematian.
Kini Malaysia, dengan 808,658 kes jangkitan dan 5,903 kematian, telah menewaskan China dalam kategori jumlah kumulatif kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19. China berada di kedudukan ke-101, dengan 91,966 kes Covid-19 dan 4,635 kematian.
Sejak enam bulan lalu di Amerika Syarikat, kes harian yang dicatatkan telah menurun sebanyak 70% sejak lima minggu, menurun sebanyak 95% dari kemuncak 304,978 kes pada Januari 2021. Angka korban akibat Covid-19 di Amerika Syarikat menurun dari kemuncak 4,452 orang pada Januari kepada julat tiga angka dalam tempoh tiga minggu lalu dan dalam tempoh tujuh hari lalu, merekodkan purata 142 kes kematian harian atau 97 peratus penurunan dari kemuncak pada Januari.
Sebaliknya di Malaysia, kita sedang mengalami kemuncak kes jangkitan dan kematian baharu, ditambah dengan hospital yang padat dengan pesakit Covid-19.
Malaysia memerlukan sebuah strategi dan pendekatan baharu melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” jika kita mahu menang dalam perang melawan pandemik Covid-19, yang mengancam bukan sahaja kehidupan rakyat Malaysia, malah kestabilan ekonomi negara.
Bahtera Malaysia mula bocor, dan semua rakyat Malaysia harus bekerja keras untuk memperbaiki kebocoran ini bagi mengelakkan bahtera ini daripada terus karam ke lautan dalam.
Sebesar inilah masalah negara yang kita sedang hadapi sekarang.