#kerajaangagal160 -- Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik perlu bersatu-padu untuk memenangi perang melawan Covid-19

Semalam, saya telah membaca laporan FreeMalaysiaToday yang bertajuk “Covid is a test from God, only Allah’s govt can overcome it, says Hadi”.

Selepas membaca laporan tersebut, saya telah beranggapan bahawa “Allah’s government” yang disebut oleh Abdul Hadi Awang merujuk kepada Kerajaan Islam, termasuklah Kerajaan Perikatan Nasional yang sering mendakwa mereka adalah “Kerajaan Melayu-Islam”.

Atas pemahaman ini, saya telah mengeluarkan kenyataan semalam yang kemudian telah dimuat naik ke platform media sosial saya. Saya mempersoalkan kenyataan tersebut kerana menyangka bahawa Hadi Awang menyatakan bahawa hanya sebuah Kerajaan Islam dapat menangani Covid-19.

Saya langsung tidak berniat untuk mempersoalkan mana-mana agama atau kepercayaan, mahupun agama Islam, dan niat saya hanyalah untuk menulis respons kepada apa yang dilaporkan sebagai dikatakan oleh Hadi.

Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah silap dalam pemahaman saya mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi Awang, dan beliau bukan merujuk kepada ‘Kerajaan Islam’.

Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Hadi.

Walau bagaimanapun, sebagai salah satu parti komponen kerajaan Perikatan Nasional, PAS perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi pengendalian Covid-19 yang terburuk di dunia.

Malaysia kini berhadapan dengan masalah besar, di mana negara kita sedang menjunam pantas menjadi salah satu negara dengan prestasi Covid-19 yang terburuk di dunia.

Perkara ini dapat dilihat dalam penerbitan Indeks Kenormalan Global majalah The Economist, di mana kita terletak di tempat ke-50 daripada sejumlah 50 buah negara, tewas bukan sahaja dengan Hong Kong, New Zealand, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia, Thailand, Singapura, Vietnam, dan Taiwan, tetapi juga tewas dengan Pakistan, Mesir, Turki, Arab Saudi, UAE, dan Indonesia.

Perkara ini juga dalam dilihat dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking, di mana kita telah jatuh 35 anak tangga daripada tempat ke-16 pada Januari 2021 ke tempat ke-51 dalam bulan Jun 2021 dalam kategori ekonomi yang bernilai lebih daripada AS$200 bilion, tewas bukan sahaja kepada Amerika Syarikat, New Zealand, Israel, China, Korea Selatan, Singapura, Jepun, Hong Kong, Rusia, Thailand, Vietnam, dan Taiwan, tetapi juga tewas dengan Turki, Arab Saudi, UAE, Mesir, Iraq, Bangladesh, Pakistan, dan Indonesia.

Daripada statistik Covid-19 semalam, Malaysia berada di tempat ke-13 teratas di dunia dari segi peningkatan kes harian Covid-19, dan di tempat ke-12 tertinggi dari segi kematian akibat wabak ini, yang digambarkan seperti berikut:

(a) Peningkatan kes harian kes baharu Covid-19 pada 5 Julai 2021:

  1. India - 34,067
  2. Indonesia - 29,745
  3. United Kingdom-27,334
  4. Colombia - 25,366
  5. Rusia - 24,353
  6. Brazil – 22,703
  7. Argentina - 17,277
  8. Iran - 16,025
  9. Afrika Selatan - 12,513
  10. Sepanyol - 10,675
  11. Bangladesh - 9,964
  12. Iraq - 8,030
  13. Malaysia - 6,387

(b) Peningkatan kes kematian harian baharu Covid-19 pada 5 Julai 2021:

  1. Brazil - 754
  2. Rusia - 654
  3. Argentina - 617
  4. Colombia - 570
  5. Indonesia - 558
  6. India - 552
  7. Bangladesh - 164
  8. Iran - 157
  9. Chile - 148
  10. Tunisia - 105
  11. Paraguay - 101
  12. Malaysia - 77

Memandangkan wabak koronavirus ini tidak membezakan antara kaum, agama, kawasan, atau politik dalam menjangkiti umat manusia, semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik perlulah bersatu padu untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri