#kerajaangagal159 – Empat sebab mengapa mesyuarat parlimen yang dijadualkan oleh kerajaan amat tidak wajar dan tidak selari dengan perlembagaan dan mesyuarat Kabinet esok harus memperbetulkannya
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, Dewan Rakyat akan bersidang pada 26 Julai selama lima hari sehingga 2 Ogos, dan Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari dari 3 Ogos hingga 5 Ogos.
Mesyuarat parlimen yang dijadualkan oleh kerajaan amat tidak wajar dan tidak selari dengan perlembagaan atas empat sebab dan mesyuarat Kabinet esok harus memperbetulkannya.
Sebab pertama, tidak ada peruntukan untuk Pembukaan Parlimen dengan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, kerana mesyuarat terakhir Parlimen adalah pada bulan Disember tahun lalu - 17 Disember 2021 untuk Dewan Rakyat dan 29 Disember 2021 untuk Dewan Negara.
Semasa Parlimen dipulihkan pada 20 Februari 1971 iaitu selepas masa peralihan selama 21 bulan pentadbiran Majlis Gerakan Negara ekoran pilihan raya umum yang dilaksanakan separuh jalan dan rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, perkara pertama urusan rasmi Parlimen selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Parlimen dan pelantikan Speaker Parlimen adalah pembukaan rasmi Parlimen dengan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perbahasan Titah Diraja telah ditangguhkan bagi membolehkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1971 dibahaskan dan diluluskan.
Urusan pertama Parlimen setelah Parlimen dipulihkan seharusnya didahului dengan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong yang menyentuh mengenai dasar-dasar kerajaan sepanjang tahun.
Kedua, sidang lima hari Dewan Rakyat dan tiga hari Dewan Negara tidak mencukupi untuk mesyuarat Parlimen mengadakan perbahasan Titah Diraja.
Tahun lalu pada 2020, perbahasan Titah Diraja mengambil masa 15 hari di Dewan Rakyat dan lapan hari di Dewan Negara. Bagaimana mesyuarat lima hari Dewan Rakyat dan mesyuarat tiga hari Dewan Negara mencukupi untuk pemulihan Parlimen?
Ketiga, jadual yang ditetapkan kerajaan itu melanggar Perkara 150 (3) Perlembagaan yang mensyaratkan Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Akan berlaku pelanggaran terhadap Perlembagaan jika Dewan Negara bersidang hanya pada 3 Ogos selepas darurat tamat pada 1 Ogos.
Keempat, terdapat banyak perkara mendesak dan penting yang memerlukan perhatian dan perbahasan di Parlimen, ini termasuk:
(i) Keperluan untuk pembaharuan parlimen supaya Parlimen boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan negara berpandukan strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk menang perang melawan Covid-19.
Kerajaan harus menjelaskan mengapa Malaysia baru-baru ini tercampak menjadi salah sebuah negara terburuk dalam menangani wabak Covid-19.
Ini digambarkan menerusi statistik Covid-19 semalam, yang mana meletakkan Malaysia sebagai 13 negara teratas di dunia untuk peningkatan kes harian baharu Covid-19 dan 12 negara teratas di dunia untuk kes kematian harian akibat Covid-19:
(a) Peningkatan kes harian kes baharu Covid-19 pada 5 Julai 2021:
- India - 34,067
- Indonesia - 29,745
- United Kingdom-27,334
- Colombia - 25,366
- Rusia - 24,353
- Brazil – 22,703
- Argentina - 17,277
- Iran - 16,025
- Afrika Selatan - 12,513
- Sepanyol - 10,675
- Bangladesh - 9,964
- Iraq - 8,030
- Malaysia - 6,387
(b) Peningkatan kes kematian harian baharu Covid-19 pada 5 Julai 2021:
- Brazil - 754
- Rusia - 654
- Argentina - 617
- Colombia - 570
- Indonesia - 558
- India - 552
- Bangladesh - 164
- Iran - 157
- Chile - 148
- Tunisia - 105
- Paraguay - 101
- Malaysia - 77
Mengapa prestasi Malaysia begitu teruk, sedangkan peningkatan kes harian baharu Covid-19 dan kematian akibat wabak itu di Amerika Syarikat semalam masing-masing turun lebih 98% dan 99% daripada kemuncak pada Januari. Di Malaysia, kita sebaliknya berdepan puncak kes, puncak jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan puncak kematian akibat pandemik Covid-19.
Apakah perancangan untuk mengatasi masalah-masalah ini.
Sama penting, kerajaan harus membentangkan sebuah rancangan untuk memastikan Malaysia tidak melepasi paras 1 juta kes Covid-19 dan 10,000 kematian menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan tidak melepasi paras 1.2 juta kes dan 11,000 kematian menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 15 September 2021.
(ii) Keperluan mendesak untuk merangka sebuah strategi dan pendekatan baharu untuk menang perang lawan pandemik Covid-19, seperti yang digambarkan bukan sahaja menerusi indeks kemampuan untuk kembali normal selepas Covid-19 oleh The Economist yang meletakkan Malaysia di tangga ke-50 daripada 50 negara, malah Bloomberg Covid Resilience Ranking Jun 2021 di mana Malaysia jatuh 35 anak tangga daripada kedudukan ke-16 pada Januari kepada kedudukan ke-51 pada Jun 2021 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi melebihi AS$200 bilion.
Kita juga berdepan cabaran kadar kematian Covid-19 yang tinggi, kes bunuh diri dan kesengsaraan serta rasa putus asa rakyat seperti yang dapat dilihat menerusi kempen kibar bendera putih.
(iii) Keperluan mendesak untuk membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 yang telah terlewat lapan bulan.
Mesyuarat Kabinet esok harus memperbetulkan jadual Parlimen untuk kedua-dua Majlis Parlimen selaras dengan Perlembagaan dan Perintah Tetap kedua-dua Majlis Parlimen.
Seluruh negara lega mendengar perkhabaran bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tidak berhadapan dengan situasi yang mengancam nyawa dan masih boleh membuat keputusan penting semasa berada di hospital, namun ia membangkitkan persoalan mengapa beliau boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dari hospital tetapi tidak mesyuarat khas Kabinet berhubung pembukaan Parlimen “secepat mungkin”.