#kerajaangagal158 -- Apa gunanya Pelan Pemulihan Negara sekiranya kita tidak ada rancangan untuk mengelakkan negara daripada menyertai “kelab jutawan” Covid-19 dengan 10,000 ke 11,000 kematian menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia?

Parti Komunis China telah menyambut ulang tahun ke-100 parti tersebut dengan perhimpunan seramai 70,000 orang di Tiananmen, Beijing pada hari Khamis lepas, hakikat di mana semua orang yang berkumpul tidak memakai pelitup muka semasa sambutan itu menunjukkan pemulihan negara tersebut daripada Covid-19.

Amerika Syarikat telah menyambut Hari Kemerdekaannya pada 4 Julai di Washington dengan acara terbesar dalam tempoh Biden menjadi Presiden -- dengan lebih daripada 1,000 orang menghadiri majlis makan-makan barbeku di White House untuk menghargai sumbangan petugas barisan hadapan semasa Covid-19 dan kakitangan ketenteraan -- menyambut dan pada masa yang sama, risau, mengenai “kemerdekaan AS daripada Covid-19” kerana negara tersebut masih secara purata mencatatkan beratus kematian setiap hari akibat wabak ini walaupun angka kes baharu dan kematian telah menurun sebanyak 90% berbanding dengan Januari.

Bagaimana pula dengan Malaysia?

Kita telah mengalahkan kedudukan China yang mempunyai 44 kali ganda jumlah penduduk, baik dari segi jumlah kes Covid-19 mahupun kematian akibat Covid-19, dengan negara kita mencatatkan 778,652 kes dan 5,497 kematian berbanding dengan angka 91,847 kes di China dan 4,636 kematian.

Hasilnya, kita berada di tempat ke-35 di seluruh dunia dari segi jumlah kes terkumpul sedangkan China berada di tempat ke-101.

Selain daripada Rusia dan negara-negara Amerika Selatan, Malaysia juga mencatatkan kadar “kes harian per sejuta penduduk” dan “kematian harian per sejuta penduduk” yang lebih tinggi daripada negara-negara yang sebelum ini merupakan negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini, termasuklah Amerika Syarikat, India, Perancis, Turki, United Kingdom, Itali, Sepanyol, dan Jerman.

Tidak seperti Amerika Syarikat yang semalam mencatatkan penurunan 99% dari kemuncak kes dan kematian Covid-19, kita berada di dalam situasi yang bertentangan dengan menyaksikan kemuncak baharu jumlah kes dan kematian.

Malah, Malaysia sedang menuju kepada satu tanda aras Covid-19 baharu.

Setakat ini, ada empat buat negara dengan 800,000 kes dan dua negara dengan 900,000 yang perlu dipintas oleh Malaysia sebelum kita pula menyertai “kelab negara jutawan” Covid-19 dengan lebih daripada sejuta kes Covid-19 dan berada di tempat ke-29 di seluruh dunia dengan jumlah kes tertinggi.

Kita kini berada di tempat ke-35 dengan 778,652 kes manakala Jepun pula berada di tempat ke-34 dengan 805,376 kes.

Pada kadar jangkitan Covid-19 dalam empat hari pertama bulan ini, negara kita akan mengatasi kedudukan Jepun dalam masa seminggu, sebelum pembukaan Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai 2021.

Malah, berdasarkan kadar semasa jangkitan dan kematian dalam empat hari pertama bulan Julai, kita mungkin akan melepasi paras sejuta kes dan 10,000 kematian akibat Covid-19 menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan mencatatkan lebih daripada 1.2 juta kes dan 11,000 kematian menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.

Apakah gunanya kita bercakap mengenai Pelan Pemulihan Negara sekiranya kita tidak ada rancangan untuk mengelakkan negara daripada menyertai “kelab jutawan” Covid-19 dengan 10,000 ke 11,000 kematian menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia?

Sudah tiba masanya pihak berkuasa di negara ini memberitahu kita semua, apakah langkah positif yang sedang diambil untuk mengawal peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 dalam negara -- walaupun kita mempunyai menteri seperti Annuar Musa yang enggan untuk melihat perkara ini sebagai satu masalah.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri