#kerajaangagal155 — Muhyiddin telah mengabaikan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia dan beliau perlu segera menumpukan usaha pasukannya ke atas perkara ini kerana 2,374 kematian dalam bulan Jun sahaja adalah satu tahap yang tidak boleh diterima

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipuji kerana mengelakkan daripada berlakunya krisis berperlembagaan berskala besar dengan pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan yang mengatakan Parlimen akan bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos 2021.

Untuk lebih daripada dua minggu, terdapat potensi pertembungan di antara Perdana Menteri dan Kabinet gergasi beliau dengan Yang di Pertuan Agong, Majlis Raja-raja, dan rakyat mengenai isu pembukaan semula Parlimen, sama ada sebelum atau selepas 1 Ogos.

Persoalan yang masih timbul adalah mengapakah Perdana Menteri tidak memanggil mesyuarat khas Kabinet mengenai perkara ini, sebaliknya membiarkan perkara ini menunggu sehingga mesyuarat Kabinet akan datang pada hari Rabu depan dan kini kerajaan terpaksa menggunakan peruntukan 9(2)(a) dan 11(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Apa-apa pun, negara kita kini boleh menumpukan perhatian kepada satu isu — kemusnahan terhadap kehidupan rakyat Malaysia, ekonomi negara, dan masyarakat akibat Covid-19.

Semakin banyak negara sekarang sedang merangka strategi keluar daripada wabak Covid-19, bergerak daripada cara sifar toleransi terhadap koronavirus ini yang digunakan sebelum ini, kepada suatu gaya hidup yang diubah untuk hidup bersama dengan selamat dengan wabak ini memandangkan wabak ini kini bersifat endemik.

Tetapi, Malaysia terus kekal menjadi satu-satunya negara yang mendakwa mempunyai strategi keluar namun terus tersekat daripada jalan keluar, kerana kita sedang berhadapan dengan kemuncak jumlah kes, kematian, dan kemasukan ke hospital.

Muhyiddin telah mengabaikan kadar kematian akibat wabak ini dan beliau perlu menumpukan usaha pasukannya ke atas perkara ini, kerana menjadi suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila dalam bulan Jun sahaja, kita mencatatkan 2,374 kematian.

Pada kadar jangkitan dan kematian semasa akibat Covid-19, kita akan mencatatkan lebih daripada sejuta kes dan 10,000 kematian menjelang tempoh di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 31 Ogos dan 16 September tahun ini.

Inilah tugas pertama kita dalam permulaan baharu melawan Covid-19 yang akan bermula dengan pembukaan semula Parlimen sebelum 1 Ogos.

Hakikat di mana Malaysia mencatatkan kadar “kematian harian per sejuta penduduk” yang amat tinggi menurut laman web Our World in Data juga menjadi satu perkara yang sangat tidak boleh diterima. Setakat ini kita mencatatkan 2.60 kematian per sejuta penduduk pada 1 Julai. Sekiranya Amerika Syarikat mencatatkan nisbah yang sama pada 1 Julai, negara tersebut akan menyaksikan 863 kematian, sebaliknya, jumlah kematian di AS pada 1 Julai adalah 283 kematian dengan nisbah kematian per sejuta penduduk sebanyak 0.92 dan bukannya 2.60.

Terdapat sesuatu yang sangatlah tidak kena dengan perang kita dalam melawan wabak Covid-19, di mana 2,374 nyawa telah terkorban hanya di dalam bulan Jun sahaja, berbanding dengan 358 kematian (15% daripada angka kematian di negara kita) di United Kingdom untuk bulan Jun.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri