#kerajaangagal153 -- Pada kadar jangkitan dan kematian semasa akibat Covid-19, kita akan mencatatkan lebih daripada sejuta kes dan 10,000 kematian menjelang tempoh di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia
Semalam, kita mencatatkan tiga perempat juta kes Covid-19 dengan 751,979 kes dan 5,254 kematian.
Pada kadar jangkitan dan kematian semasa akibat Covid-19, kita akan mencatatkan lebih daripada sejuta kes dan 10,000 kematian menjelang tempoh di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 31 Ogos dan 16 September tahun ini.
Ini bukanlah caranya untuk kita sambut Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58!
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlulah bersidang “secepat mungkin” untuk merangka strategi dan pelan baharu untuk melawan wabak Covid-19 dan untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara untuk memastikan negara kita tidak menyertai “kelab jutawan” dengan lebih daripada sejuta kes terkumpul menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan datang.
Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, kita menyaksikan 555 kematian akibat Covid-19. Setakat semalam (1 Julai 2021), 4,699 telah terkorban akibat wabak ini dalam tempoh darurat, membawa angka terkumpul korban nyawa Covid-19 kepada 5,254 -- meletakkan Malaysia dalam kalangan satu dozen negara dengan kadar kematian harian tertinggi akibat Covid-19.
Kita tidak berada dalam liga yang sama seperti lima negara teratas dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat dengan 34.5 juta kes dan lebih daripada 620,000 kematian; Brazil dengan 18.5 juta kes dan lebih daripada 516,000 kematian; India dengan lebih 30 juta kes dan hampir 400,000 kematian; Mexico dengan 2.5 juta kes dan lebih dari 230,000 kematian dan Peru dengan dua juta kes dan lebih dari 192,000 kematian.
Tetapi, melihat maklumat di laman web Our World in Data, setakat 30 Jun 2021, selain daripada Rusia dan negara-negara Amerika Selatan, kita telah mengalahkan negara-negara di 10 kedudukan tertinggi di dunia dari segi “kadar kematian harian per sejuta penduduk” seperti yang digambarkan berikut:
- Amerika Syarikat - 0.72
- India - 0.73
- Brazil - 9.79
- Perancis - 0.21
- Rusia - 4.52
- Turki - 0.53
- United Kingdom - 0.21
- Argentina - 14.07
- Itali - 0.40
- Colombia - 11.99
- Malaysia 1.92
Berapa jauhkah kita telah mundur ke belakang dalam mengejar pencapaian dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia berbanding dengan negara-negara lain yang lebih baik di seluruh dunia?
Baru-baru ini, seorang pakar epidemiologi yang tersohor dari Brazil, Pedro Hallal, seorang profesor di Universiti Persekutuan Pelotas, mengatakan yang Brazil mungkin akan dapat menyelamatkan 400,000 nyawa sekiranya negara tersebut telah mengamalkan penjarakan fizikal dengan lebih tegas dan melancarkan program vaksinasi lebih awal.
Hallal, yang baru sahaja memberikan keterangan kepada siasatan Senat Brazil minggu lepas mengenai pengendalian krisis Covid-19 di Brazil menganggarkan 95,000 ke 145,000 kematian yang berlaku di negara tersebut adalah akibat kelambatan mendapatkan bekalan vaksin.
Mungkinkah Malaysia dapat menyelamatkan 4,000 nyawa sekiranya kerajaan Muhyiddin berjaya mengendalikan wabak Covid-19 di negara kita dengan lebih baik?
Bagaimana pula dengan kadar bunuh diri yang meningkat semasa krisis Covid-19 ini?
Ini adalah antara sebab mengapa Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri perlu bersidang semula “secepat mungkin” untuk mengelakkan negara kita daripada terus merekodkan lebih banyak kematian, sama ada secara langsung akibat Covid-19 atau secara tidak langsung akibat peningkatan kes bunuh diri yang disebabkan oleh tindakan melaksanakan pelbagai bentuk sekatan pergerakan.
Lebih daripada dua minggu sudah berlalu sejak daripada mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang menyeru supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dipanggil bersidang secepat mungkin.
Mengapakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berlengah-lengah mengenai perkara ini?
Cara bagaimana kempen “bendera putih” tersebar ke seluruh negara menjadi satu bukti kuat kegagalan, sikap tidak sensitif, dan kesilapan kerajaan Muhyiddin dalam mengendalikan wabak Covid-19 dalam negara kita.
Muhyiddin perlu memanggil mesyuarat khas Kabinet, bukan sahaja untuk mengumumkan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos tetapi juga untuk mengumumkan langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi masalah rakyat yang telah menyebabkan rakyat terpaksa “mengangkat bendera putih” dan juga untuk menguruskan masalah peningkatan kes bunuh diri dalam negara.