#kerajaangagal151 -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat perlu membentangkan laporan khas ke Parlimen dalam bulan Julai mengenai apa yang kerajaan telah buat untuk membantu mereka yang mengibarkan “bendera putih” meminta bantuan dan juga mengenai peningkatan kadar bunuh diri akibat Covid-19

Akhirnya kita telah sampai ke bulan Julai 2021, bulan terakhir sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, tetapi sehingga kini masih tidak ada sebarang berita yang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Mesyuarat mingguan Kabinet semalam ditangguhkan kerana Perdana Menteri telah dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.

Kita doakan yang terbaik dan semoga beliau sembuh segera, tetapi perkara ini tidak sepatutnya menghalang beliau untuk bersetuju untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

Sekiranya keputusan ini dibawa ke mesyuarat Kabinet pada 7 Julai, mustahil untuk kerajaan menepati keperluan notis 28 hari yang diperuntukkan oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, walaupun terdapat peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) dan 11(2) untuk mengetepikan notis 28 hari ini.

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, dan Yang di Pertua Dewan Negara, Rais Yatim, telah mengesahkan dalam kenyataan bersama mereka semalam bahawa Yang di Pertuan Agong telah menitahkan kepada mereka pada hari Selasa bahawa Parlimen perlu bersidang semula sebelum 1 Ogos untuk membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat dan juga Pelan Pemulihan Negara.

Sidang Parlimen yang perlu dipanggil ini haruslah mengambil bentuk sidang Parlimen seperti biasa, dengan Pembukaan Rasmi oleh Yang di Pertuan Agong pada hari pertama, diikuti dengan perbahasan titah diraja, dan diikuti dengan perkara-perkara lain yang perlu dibahaskan termasuklah Proklamasi dan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara -- bukan sidang khas pada bulan Julai yang kemudiannya disusuli dengan persidangan penuh pada penghujung bulan Ogos seperti yang dicadangkan Rais.

Malaysia kini berhadapan dengan dilema perlembagaan, bagaimana untuk mengendalikan dua perkara berperlembagaan ini -- sama ada ordinan darurat ini boleh dihakimi di mahkamah dan bagaimana untuk memperbaiki pencabulan prinsip perlembagaan bahawa Parlimen tidak boleh digantung dalam tempoh darurat.

Dengan persidangan Parlimen sebelum 1 Ogos, sekurang-kurangnya negara kita boleh terus bergerak ke hadapan dengan asas pembentukan negara yang berteraskan sistem raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen.

Dalam sidang Parlimen Julai ini, kerajaan perlu membentangkan laporan penuh mengenai usaha memerangi wabak Covid-19 dalam tempoh 18 bulan yang lepas dan menjelaskan mengapa Malaysia telah terjunam menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 di dunia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat perlu membentangkan laporan khas ke Parlimen dalam bulan Julai mengenai apa yang kerajaan telah buat untuk membantu mereka yang mengibarkan “bendera putih” meminta bantuan dan juga mengenai peningkatan kadar bunuh diri akibat Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri