#kerajaangagal150: Malaysia perlu diselamatkan daripada trajektori negara gagal, seperti mana kita menyelamatkan Malaysia daripada trajektori menjadi sebuah kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018
Malaysia menutup tirai bulan Jun 2021 dengan prestasi yang begitu teruk -- kita memintas Jordan dan kini berada di kedudukan ke-35 antara negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi dengan 751,979 kes dan 5,170 kematian.
Menjelang kejohanan Olimpik Tokyo yang dijadualkan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, kita bakal memintas Jepun, yang kini berada di tangga ke-34 dengan 798,159 kes Covid-19 dan 14,740 kematian akibat wabak itu.
Berdasarkan kadar semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia, kita dijangka akan memintas Jepun sebelum pertengahan Julai.
Ketika ini, terdapat tiga negara dengan lebih 800,000 kes Covid-19 dan dua negara dengan lebih 900,000 kes.
Jika kadar semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia tidak disekat, kita akan menyertai “kelab negara-negara jutawan” dengan lebih sejuta kes Covid-19 menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021.
Adakah pencapaian ini yang kita mahukan?
Bolehkah Malaysia diselamatkan daripada perpecahan akibat daripada penyebaran berita palsu, pembohongan dan ucapan kebencian yang mengapi-apikan isu perkauman serta keagamaan, dan berubah menjadi negara yang hebat?
Bolehkah Malaysia diselamatkan daripada krisis pandemik Covid-19?
Ada yang mengatakan yang rakyat Malaysia perlu memilih di antara dua pilihan sama ada ingin menjadi penggembala lembu atau penggembala babi.
Rakyat Malaysia tidak mahu menjadi penggembala lembu atau penggembala babi tetapi mahu menjadikan negara ini sebuah negara yang hebat dalam bidang teknologi, memanfaatkan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat yang bertemu di Malaysia -- untuk membina sebuah sebuah negara berkelas dunia.
Pihak yang mengatakan rakyat Malaysia hanya mempunyai dua pilihan politik iaitu sama ada untuk menjadi pengembala lembu atau penggembala babi telah membuat suatu penaakulan yang salah.
Pun begitu, kita semakin menunjukkan tanda-tanda sedang menuju ke arah negara gagal, seperti yang digambarkan dalam situasi berikut:
- Kegagalan Pelan Pemulihan Negara. Kes Covid-19 diramalkan kekal pada paras sekitar 6,000 kes dalam separuh pertama bulan Julai, sedangkan Malaysia sepatutnya sudah beralih dari Fasa Satu kepada Fasa Dua PPK dengan mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes pada penghujung Jun.
- Malaysia jatuh 35 anak tangga dari kedudukan ke-16 pada Januari 2021 ke kedudukan ke-51 pada Jun 2021 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi melebihi paras AS$200 bilion dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking.
- Malaysia jatuh 50 anak tangga dari kedudukan ke-85 pada 8 November 2020 antara negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi ke kedudukan ke-35 pada 30 Jun 2021 dalam tempoh hanya 26 minggu.
- Amerika Syarikat, India, Perancis, Rusia, United Kingdom, Itali, Sepanyol dan Jerman yang sebelum ini menunjukkan prestasi buruk, telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Malaysia dalam kategori “jumlah kes harian Covid-19 per sejuta penduduk”.
- Negara-negara yang sebelum ini mencatatkan prestasi Covid-19 yang lebih buruk seperti Amerika Syarikat, India, Perancis, Russia, United Kingdom, Itali, Sepanyol, dan Jerman kini melihat kadar “kematian per sejuta penduduk” yang lebih rendah berbanding dengan Malaysia, dan”
- Malaysia tewas kepada China dalam jumlah kumulatif kes Cov-19 dan kematian akibat wabak itu, meskipun China mempunyai jumlah penduduk 44 kali ganda lebih ramai berbanding di Malaysia.
Rakyat Malaysia harus keluar dari trajektori negara gagal, dan ini mampu dicapai seperti mana kita keluar dari trajektori kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Saya telah mencadangkan moratorium politik untuk tempoh setahun atau dua tahun dan membentuk gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” di semua peringkat masyarakat untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kerugian ekonomi.
Kita perlu mencari iltizam politik untuk mengetepikan semua faktor yang menghalang usaha bagi mencari kemenangan dalam melawan wabak ini.
Kempen tanda pagar #kerajaangagal, #KitaJagaKita, #KerajaanBodoh, #BenderaPutih, #PMCirit and #KerajaanCirit di media sosial adalah refleksi dari rasa kecewa, kemarahan, bahkan putus asa terhadap kerajaan yang telah hilang hala tuju ekoran sering membuat dasar flip-flop, melakukan pusingan-U dalam keputusan yang sudah dibuat dan mengamalkan sikap dwi-standard dalam pelaksanaan SOP semata-mata demi kepentingan sendiri berbanding kepentingan negara.
Kita harus mengembalikan halu tuju dan misin negara, bermula dengan strategi untuk memenangkan perang yang panjang, tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya terhadap pandemik Covid-19, yang terdiri daripada unsur-unsur berikut:
- Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap strategi negara dalam perang melawan pandemik Covid-19. Kegagalan Rancangan Pemulihan Negara dan pakej ekonomi Pemulih bernilai RM150 bilion dalam perang melawan pandemik Covid-19 adalah disebabkan oleh defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang belum pernah terjadi sebelum ini.
- Strategi dan pendekatan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat " dalam perang melawan Covid-19, yang jelas tidak wujud selama 18 bulan pandemik Covid-19 mengganas di negara ini.
- "Mentaliti perang" yang perlu dijiwai semua rakyat Malaysia untuk bersatu bagi memenangkan perang melawan pandemik Covid-19, berlandaskan cadangan moratorium dan gabungan yang disebutkan sebelum ini, dengan tumpuan tunggal rakyat Malaysia, termasuk Eksekutif, Parlimen dan semua sektor masyarakat untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19 dan semua pertimbangan lain harus diketepikan sementara demi mencapai objektif ini.
- Menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan menamatkan politik perkauman atau keagamaan yang ekstremis, tidak toleran dan toksik.
- Menyingkirkan anasir-anasir yang menghalang kemenangan perang terhadap pandemik Covid-19 seperti Menteri yang tidak cekap, rasuah dan menamatkan SOP Covid-19 yang bersifat flip-flop, pusingan-U dan dwi-standard.
Harus ada permulaan baru dalam perang melawan pandemik Covid-19 di mana semua perbezaan politik diketepikan buat sementara waktu sehingga negara dapat memenangkan perang melawan Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa, mata pencarian dan masa depan ekonomi negara.
Ia harus bermula dengan gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” yang melibatkan semua masyarakat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik, yang dapat menjangkau dan memberikan bantuan kepada setiap rakyat Malaysia yang rentan yang memerlukan bantuan dan mengakhiri statistik purata empat kes bunuh diri setiap hari dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini - dan yang paling penting, menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada terkorban akibat pandemik Covid-19.