Amat mengecewakan melihat jangkaan suram wabak Covid-19 terus terbukti tepat
Pada 18 November 2020, saya memberi amaran bahawa jika Malaysia terus meningkat dengan kenaikan empat angka setiap hari (dan semasa itu, negara kita mencatatkan kurang daripada 2,000 kes sehari), menjelang akhir tahun 2020, Malaysia akan mengatasi China sebagai sebuah negara dengan lebih banyak jangkitan Covid-19!
Pada masa itu, China berada di tangga ke-64 di dunia dengan 86,361 kes Covid-19 dan Malaysia berada di kedudukan ke-85 dengan 49,730 kes Covid-19.
Pada 16 Disember 2020, Malaysia mengatasi China, negara di mana wabak Covid-19 bermula dan mempunyai populasi 40 kali ganda berbanding Malaysia -- beberapa hari lebih awal daripada tarikh yang saya jangkakan.
Pada 30 Disember, kita berada di kedudukan ke-74 di dunia di antara negara-negara dengan jumlah jangkitan Covid-19 terkumpul tertinggi, dengan 108,615 kes sementara China berada di tempat ke-81 dengan 87,003 kes.
Saya memberi amaran bahawa pada kadar kenaikan kes Covid-19 pada waktu itu, kita mungkin mengatasi Myanmar sebagai negara ke-68 di dunia dengan jumlah keseluruhan jumlah kumulatif Covid-19 terbanyak dalam masa tiga minggu.
Saya meminta tindakan segera untuk mengawal situasi Covid-19 berada di luar kawalan ini, menyeru supaya sidang Parlimen khas untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai wabak Covid-19 dan melancarkan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”dalam melawan Covid-19.
Tidak ada apa yang dilakukan.
Pada 8 Januari 2021, kita mengatasi Myanmar dan menjadi negara ketiga di ASEAN setelah Indonesia dan Filipina dengan jumlah kes Covid-19 yang terkumpul yang tertinggi.
Pada 24 Januari 2021, saya memberi amaran bahawa Malaysia kemungkinan akan memecahkan siling 200,000 kes pada akhir Januari 2021 dan kita mungkin berada di antara 50 negara teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul sebelum sambutan Tahun Baru China pada 12 Februari 2021.
Kita telah melepasi paras 200,000 kes dengan peningkatan harian sebanyak 5,725 kes Covid-19 dan sekiranya peningkatan ini berterusan pada kadar semasa, kita bakal menjadi dalam kalangan 50 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.
Saya tidak senang melihat pelbagai ramalan suram saya menjadi kenyataan. Ia sebenarnya amat menyedihkan. Jika dibandingkan dengan kedudukan kita pada 18 November ketika kita berada di posisi ke-85, kita kini telah melonjak 31 kedudukan ke tempat ke-54.
Adakah kita mahu menjadi antara 50 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi menjelang minggu pertama bulan Februari?
Adakah kita akan mengatasi Filipina pada akhir Mei dan menjadi negara kedua di ASEAN setelah Indonesia yang paling teruk menderita akibat wabak Covid-19?
Dalam indeks “jumlah kes per sejuta penduduk”, kedudukan kita lebih teruk berbanding dengan Indonesia yang mencatatkan 3,875 kes per sejuta penduduk, dan Filipina yang mencatatkan 4,741 kes per sejuta penduduk. Malaysia mencatatkan 6,430 kes per sejuta penduduk.
Malaysia kalah dalam ASEAN dengan Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, Brunei dan Laos seperti yang diperlihatkan dalam jumlah kumulatif kes Covid-19 berikut:
Indonesia - 1,066,313 kes
Filipina - 523,516 kes
Malaysia - 209,661 kes
Myanmar - 139,864 kes
Singapura - 59,507 kes
Thailand - 17,953 kes
Vietnam - 1,767 kes
Kemboja - 464 kes
Brunei - 180 kes
Laos - 44 kes
Malaysia perlu mengambil posisi perang dalam melawan wabak Covid-19 ini, bukan terhadap mana-mana orang atau sekumpulan rakyat Malaysia tetapi terhadap koronavirus ini sendiri dalam negara kita.
Kita perlu bersedia untuk mengambil posisi baharu dalam perang ini, dengan memberikan keutamaan terhadap memenangi keyakinan dan kepercayaan rakyat dan bukannya dengna menghukum dan meningkatkan penalti.
Kabinet tidak boleh menangguhkan lagi daripada menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Khas Parlimen, yang perlu bertindak sebagai satu Parlimen Perang dalam melawan Covid-19.
Parlimen Perang terhadap Wabak Covid-19 ini patut menjadi titik tumpuan dan platform untuk pelaksanaan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap strategi kerajaan untuk melawan wabak Covid-19.