Adakah kita akan mendapat kenyataan daripada Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubungan dengan TI CPI 2020 dan prestasi buruk TI CPI 2021?
Minggu lepas, saya bertanya kepada seorang warga Malaysia yang terlibat dengan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sebelum ini tentang jangkaan beliau mengenai TI CPI 2020.
Ini jawapan beliau: "Turun. Tidak lebih daripada 3 mata. Ia memerlukan waktu untuk turun dengan ketara kerana beberapa data (tinjauan) yang digunakan adalah data dari tahun 2018/2019. Tahun depan kita akan lihat perubahan besar."
Benar katanya, memang ada penurunan "tidak lebih tiga mata" dalam skor berkenaan. Skor Malaysia jatuh dari 53 mata kepada 51 mata dan jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
Jika ramalan beliau tentang TI CPI 2021 menjadi kenyataan pada tahun depan, maka kita perlu berhadapan dengan persoalan berikut; sama ada Malaysia akan mencatatkan markah dan kedudukan yang terendah dalam TI CPI 2021 yang bakal diterbitkan Januari 2022.
Salah satu perkara yang menarik perhatian saya setiap kali TI mengeluarkan laporannya adalah tentang prestasi Malaysia berbanding China dan Indonesia -- yang sebelum ini dianggap sebagai antara negara yang sangat korup.
Dalam laporan CPI tahun 1995, China dan Indonesia masing-masing berada di tangga ke-40 dan ke-41 daripada 41 negara yang ditinjau.
Pada tahun tersebut, China mendapat markah 2.16 sementara Indonesia mendapat markah 1.94 dari 10 mata. Malaysia ketika itu berada di tangga ke-23 dengan markah 5.28 dari 10 mata.
China dan Indonesia kini sudah jauh meninggalkan lima negara paling korup di dunia, iaitu Venezuela dan Yaman yang mencatatkan markah 15 per 100 mata dalam TI CPI 2020, Syria dengan 14 mata dan Somalia dan Sudan Selatan kedua-duanya dengan 12 mata daripada 180 negara yang ditinjau.
Kedua-dua China dan Indonesia menunjukkan prestasi yang baik dalam 26 tahun terakhir dan China kini berada di tangga ke-78 dengan 42 mata sementara Indonesia berada di tangga ke-102 dengan 37 mata.
Sedang China dan Indonesia menunjukkan prestasi yang baik dalam markah CPI TI mereka, Malaysia mengalami kemerosotan dengan 51 mata dan berada di tangga ke-57 dari 180 negara.
Kedudukan CPI TI Malaysia jatuh ke tahap terendah iaitu tangga ke-62 daripada 180 negara pada tahun 2017 sementara markah CPI TI kita jatuh ke tahap terendah iaitu 4.3 daripada 10 mata pada tahun 2011.
Negara ini dijanjikan bahawa di bawah rejim UMNO-BN dalam dekad terakhir ini, Malaysia akan mampu mencapai sasaran untuk berada di kedudukan 30 negara teratas dalam TI CPI 2020.
Berdasarkan laporan TI CPI sepanjang 24 tahun dari 1995 hingga 2018, tidak ada sebab sebenarnya untuk sesiapapun percaya yang Malaysia akan mencapai sasaran untuk berada di kedudukan 30 negara teratas TI CPI 2020.
Jika diteliti laporan CPI TI dari 2010 hingga 2018, tidak mustahil China dan Indonesia dapat mengatasi Malaysia menjelang 2030.
Negara-negara yang telah masuk dalam daftar CPI TI pada siri pertama pada tahun 1995, seperti China, Thailand, India dan Indonesia, semakin cepat mengejar kedudukan Malaysia, yang sebaliknya dilihat merosot prestasinya sejak 1995.
Mujurlah, prestasi buruk ini berjaya diperbaiki oleh Pakatan Harapan selepas mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Ini dapat dilihat dalam laporan TI CPI 2019, walaupun China menunjukkan peningkatan dalam kedua-dua aspek iaitu kedudukan TI CPI di tangga ke-80 dengan 41 dari 100 mata, Malaysia mencapai prestasi TI CPI terbaik dalam 25 tahun dengan peningkatan satu tahun enam mata untuk skor TI CPI dan naik 10 anak tangga ke tangga-51 dan skor 53 dari 100 mata.
Malaysia di bawah Pakatan Harapan ketika itu bersedia untuk menempuh era baharu bebas rasuah, bermula dengan menyasarkan skor dan ranking TI CPI yang lebih baik untuk setiap tahun berbanding rekod TI CPI 2019, dan memulakan usaha untuk meletakkan negara di kedudukan 30 negara teratas dalam ranking TI CPI sebelum 2030.
Pun begitu, kerajaan Pakatan Harapan tidak bertahan kerana dijatuhkan oleh gerakan licik Langkah Sheraton yang membentuk kerajaan 'pintu belakang' bernama Perikatan Nasional.
Kini, kita kembali ke era di mana budaya rasuah berleluasa seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan skor TI CPI 2021 mungkin akan menjadi lebih buruk.
Adakah kita akan mendapat satu kenyataan daripada Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubungan dengan TI CPI 2020 dan prestasi buruk TI CPI 2021?