Memandangkan PKP 2.0 telah gagal untuk menumpaskan gelombang ketiga wabak Covid-19 -- tiba masanya untuk melaksanakan strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak ini untuk mengembalikan semua kepercayaan dan keyakinan rakyat dan juga dengan mengadakan sidang Khas Parlimen mengenai wabak Covid-19

Pelaksanaan separa yang kemudiannya diikuti dengan pelaksanaan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 bermula daripada 13 sehingga 26 Januari telah gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara kita.

Kita adalah satu-satunya negara di Asia, selain daripada Indonesia, yang berhadapan dengan peningkatan yang berpanjangan dan serius, yang telah berlanjutan lebih daripada empat bulan lamanya.

Tiga minggu yang lepas, Jepun mengisytiharkan darurat di kawasan besar Tokyo selepas mencatatkan peningkatan kes yang memecahkan rekod sebelumnya. Daripada peningkatan sebanyak 7,855 kes sehari pada 9 Januari, Jepun kini hanya mencatatkan 3,537 kes semalam.

Pada awal bulan Disember, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengarahkan polis, tentera, dan doktor untuk membantu usaha penjejakan kontak rapat dan mengesan penularan wabak ini apabila Korea Selatan berhadapan dengan gelombang ketiga peningkatan mendadak yang kritikal. Angka kenaikan harian negara tersebut telah menurun daripada 1,237 kes pada 25 Disember kepada 554 kes semalam.

Manakala, di Malaysia, kita masih tidak dapat melihat penghujung terowongnya.

Lebih daripada tiga bulan yang lepas, kita berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul di seluruh dunia, namun kita telah melonjak 29 kedudukan dan kini berada di tempat ke-56 dan bakal naik ke tempat ke-55 sekiranya jumlah kes baharu hari ini melebihi 3,000 kes.

Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) yang berasas di Amerika Syarikat menjangkakan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia, dengan lebih daripada 20,000 kes sehari pada 3 Mac.

Selepas daripada titik kemuncak ini, IHME menjangkakan penurunan jumlah kes Covid-19, sehingga 14,419 kes pada 1 Mei.

Kita perlu buktikan jangkaan IHME ini salah.

Namun, kita memerlukan strategi baharu untuk melakukan perkara ini.

Sudah tiba masanya untuk melaksanakan strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak ini untuk mengembalikan semua kepercayaan dan keyakinan rakyat dan juga dengan mengadakan sidang Khas Parlimen mengenai wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri