Sidang Parlimen Khas mengenai wabak Covid-19 diperlukan untuk merangka strategi untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal dalam dunia pasca Covid-19

Dalam Perutusan Tahun Baharu beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyenaraikan lima keutamaan kerajaan beliau untuk tahun 2021 dalam rancangan pemulihan bersepadu pasca Covid-19.

Keutamaan keempat rancangan ini adalah untuk “menegakkan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”.

Sekiranya kita serius mengenai keutamaan ini, maka Parlimen perlu dipanggil bersidang dalam sebuah Sidang Khas untuk membincangkan isu berkenaan Covid-19 untuk merangka rancangan untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal dalam dunia pasca Covid-19.

Malah, sebelum dan semasa peringkat awal penularan wabak ini lagi, negara kita telah terjerumus ke arah menjadi sebuah negara gagal.

Dalam tempoh lima puluh tahun yang lepas, kita telah hilang kehebatan ekonomi kita dengan Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, dan Vietnam.

Dalam tahun 90-an, Malaysia hampir menjadi “harimau” ekonomi Asia. Kini, tidak ada sesiapa pun yang bertanya jika Malaysia akan akhirnya menjadi “harimau” ekonomi, memandangkan soalan itu lebih sesuai ditanya kepada Vietnam.

Sebuah artikel yang membentangkan persoalan ini bulan lepas mengatakan Vietnam, “pusat tujuan perindustrian berkos rendah, dengan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi, dan infrastruktur yang utuh, telah secara berterusan menggantikan China dalam rantaian bekalan pembuatan dalam tempoh sedekah yang lepas”.

Artikel tersebut menambah lagi, keupayaan Vietnam untuk menjadi harimau Asia yang baharu diperkuatkan lagi dengan “kejayaan negara tersebut untuk menguruskan wabak Covid-19”. Walaupun berhadapan dengan pelbagai jenis permasalahan, termasuklah mempunyai sempadan yang panjang yang bertrafik tinggi dengan China, negara tersebut hanya mencatatkan 1,551 kes yang disahkan dan 35 kematian setakat hari ini -- suatu perkara yang dianggap serius oleh sektor korporat dan ekonomi Vietnam.

Disebaliknya, di Malaysia, perang melawan Covid-19 tidak berada dalam situasi yang baik.

Vietnam, dengan populasi ke-15 terbesar di seluruh dunia, dengan 1,551 kes Covid-19 dan 35 kematian berada di tempat ke-145 di seluruh dunia dari segi jumlah kes terkumpul.

Malaysia dengan populasi ke-45 terbesar di dunia, telah melompat naik satu lagi kedudukan, ke tempat ke-57 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, malah kita mungkin bakal ke tempat ke-56 hari ini sekiranya kita terus mencatatkan lebih daripada 3,000 kes baharu setiap hari.

Jangkaan saya pada hari Ahad, bahawa jika kadar peningkatan harian terus meningkat, Malaysia bakal mencatatkan lebih daripada 200,000 menjelang penghujung Januari 2021 dan kita bakal berada dalam kalangan 50 negara teratas di dunia kelihatan seakan-akan bakal menjadi kenyataan.

Malaysia mengatasi kedudukan Ireland untuk menjadi negara ke-57 dengan jumlah kes tertinggi ini adalah satu perkara yang penting untuk diingati, hanya pada pertengahan bulan Disember lalu, Ireland berhadapan dengan fasa terburuk wabak Covid-19 di negara tersebut apabila wabak tersebut menular ke seluruh negara dengan teramat pantas, sehinggakan carta kes Covid-19 di negara tersebut kelihatan menegak dengan kadar peningkatan harian tertinggi di dunia.

Pada 24 Disember, Ireland mencatatkan peningkatan 918 kes, namun angka ini meningkat 32 kali ganda dan menjadi peningkatan kes baharu sebanyak 8,277 kes menjelang 8 Januari. Ireland melaksanakan sekatan pergerakan dan jumlah kes baharu harian negara tersebut menurun kepada 928 kes semalam.

Sekiranya Ireland berjaya mengawal penularan wabak ini dalam masa sebulan, mengapakah negara kita tidak berjaya melakukan perkara yang sama dalam masa empat bulan sejak daripada gelombang ketiga wabak ini mula menular pada 20 September?

Pada masa ini, Malaysia adalah negara di tempat ke-25 dengan kadar peningkatan harian tertinggi kes Covid-19.

Walaupun kita tidak berada di dalam liga yang sama dengan negara-negara lain yang paling terkesan dengan wabak ini, di mana peningkatan harian kes di AS adalah 145,834 kes, turun daripada kemuncak 308,035 kes pada 8 Januari, 63,626 kes baharu di Brazil, yang mencatatkan penurunan berbanding dengan kemuncaknya dengan 87,134 kes pada 7 Januari, atau 12,569 kes baharu di India, yang mencatatkan penurunan berbanding dengan kemuncaknya pada 16 September dengan 97,859 kes, kadar peningkatan kes di Malaysia ini kritikal dan perlu dikawal segera.

Untuk jangka masa panjang pula, kita perlu mempertimbangkan apakah yang akan berlaku kepada Malaysia di pentas antarabangsa dalam era pasca Covid-19.

Rakyat Malaysia perlu memberikan perhatian terhadap laporan Euler Hermes yang bertajuk “Dunia sedang bergerak ke Timur, dengan pantas”, yang mengatakan krisis akibat Covid-19 ini mungkin akan mempercepatkan pergerakan kuasa global ke Asia.

Laporan tersebut merujuk kepada cabaran dalam menelurusi perubahan keseimbangan dalam ekonomi global, terutamanya dengan persaingan di antara AS dan China.

Apa yang perlu disedari segera oleh pemimpin di Malaysia adalah peranan ekonomi Malaysia yang semakin mengecil dalam pentas antarabangsa pasca Covid-19 ini, yang semestinya tidak bertepatan dengan Keutamaan Keempat Muhyiddin untuk “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa”.

Ini adalah satu lagi sebab mengapa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu memanggil Sidang Khas Parlimen berkenaan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri