Kekecohan berhubungan dengan kehadiran KSN dalam mesyuarat pimpinan PN menunjukkan betapa jauhnya kita daripada mempunyai pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19

Isu mengenai kehadiran pegawai kanan kerajaan dalam mesyuarat pemimpin parti kerajaan Nasional Perikatan seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen PKR Tanjong Malim Chang Lih Kang telah menunjukkan bahawa kita masih jauh daripada mempunyai strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.

Bilakah Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan atau timbalannya akan memberikan penerangan kepada para pemimpin Pembangkang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Shafie Apdal dan Mahathir Mohamad mengenai situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini dan proklamasi darurat; atau adakah wabak Covid-19 ini hanya masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Perikatan Nasional sahaja dan tidak memerlukan usaha bersama daripada pihak pembangkang dan rakyat?

Parti-parti Pembangkang telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19, pun begitu di manakah respons daripada pihak kerajaan?

Jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 3,346 yang dilaporkan semalam adalah hari ke sebelas berturut-turut negara kita mencatatkan lebih daripada 3,000 kes sehari, menjadikan jumlah kes terkumpul terkini 183,810 kes dengan 678 kematian. Negara kita juga telah mencatatkan lebih daripada 4,000 kes dalam tiga daripada 11 hari tersebut.

Memandangkan jumlah kes terkumpul global telah mencapai 99,755,721 kes dengan peningkatan jangkitan baharu sebanyak 455,549 kes semalam, dunia bakal merekodkan 100 juta kes Covid-19 hari ini.

Pun begitu, di negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 iaitu Amerika Syarikat -- yang merekodkan 25.7 juta kes dengan hampir 430,000 kematian -- perubahan yang lebih baik dapat dilihat seperti yang digambarkan dengan penurunan kes harian dalam tempoh tiga hari berturut-turut, iaitu dari 195,045 kes kepada 173,067 dan 135,182 kes semalam.

Dengan ketegasan Presiden AS yang baharu terhadap usaha menangani pandemik Covid-19 -- yang mana menyifatkan bahawa perjuangan untuk menangani pandemik Covid-19 di AS sebagai "peperangan" dan menggesa rakyatnya untuk memakai pelitup muka, malah berjanji untuk memberikan suntikan vaksin kepada 100 juta rakyat Amerika dalam tempoh 100 hari pentadbirannya -- ada harapan untuk Amerika Syarikat pulih daripada wabak Covid-19.

Bagaimanapun sinar harapan seumpama itu kelihatan masih samar-samar di Malaysia, diburukkan lagi dengan khabar bahawa sektor ekonomi bakal ditutup sepenuhnya jika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilihat tidak membendung peningkatan kes Covid-19 menjelang 4 Februari.

Gelombang ketiga pandemik Covid-19 terus membadai negara kita selama empat bulan lamanya dan ia seharusnya ditangani lebih awal melalui strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Bilakah Kerajaan Muhyiddin akan mengguna pakai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini?

Bilakah Parlimen akan dipanggil semula untuk menjadi pusat dan platform bagi strategi dan pendekatan seumpama itu?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri