Malaysia bakal mencecah 200,000 kes terkumpul Covid-19 menjelang penghujung Januari dan menjadi dalam kalangan 50 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terbanyak sebelum Tahun Baru Cina

Peningkatan 4,275 kes Covid-19 semalam membawa jumlah keseluruhan kes di Malaysia ke 180,455 kes dengan 667 kematian, menunjukkan lonjakan serius kes di Malaysia ini masih sedang di luar kawalan.

Sekiranya trajektori peningkatan 4,000 kes sehari ini berterusan, Malaysia akan melepasi paras 200,000 kes menjelang penghujung bulan Januari 2021 dan negara kita akan berada dalam kalangan 50 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.

Kita telah mencatatkan peningkatan yang belum pernah dilihat sebelum ini, melompat 27 kedudukan daripada kedudukan ke-85 dua bulan yang lepas kepada kedudukan ke-58.

Kita adalah negara ke-17 di dunia dengan peningkatan harian tertinggi. Kita berkongsi kedudukan ini bersama dengan Portugal (di tempat ke-26 dengan kes terkumpul tertinggi) dan UAE (di tempat ke-43) sebagai tiga negara dalam kalangan 58 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi yang mencatatkan peningkatan harian yang memecahkan rekod.

Walaupun kita tidak berada dalam liga yang sama seperti Amerika Syarikat, yang semalam mencatatkan peningkatan 172,913 kes semalam (walaupun perkara ini meletakkan AS dalam trajektori menurun, memandangkan kemuncak peningkatan kes di AS adalah 308,022 kes pada 8 Januari), atau seperti Brazil yang semalam mencatatkan 55,319 kes baharu (menurun daripada kemuncak 85,134 kes pada 7 Januari), atau United Kingdom yang mencatatkan peningkatan 33,552 kes semalam (menurun daripada 68,053 kes pada 8 Januari), peningkatan pantas dengan lebih 4,000 kes sehari selepas empat bulan bermulanya gelombang ketiga wabak ini menjadi satu masalah yang besar terhadap sistem kesihatan awam di Malaysia.

Perkara ini adalah akibat kegagalan Malaysia untuk merangka pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19, yang menyaksikan walaupun selepas empat bulan bergelut dengan gelombang ketiga ini, kita masih tidak berjaya mengawalnya.

Peningkatan mendadak selama empat bulan dalam gelombang ketiga wabak ini perlu dihentikan segera dengan segala sumber yang dimiliki kita.

Pakar rawatan kanak-kanak kanan, Dr Amar-Singh HSS telah meringkaskan tiga tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk meredakan “api kebakaran Covid-19” ini, iaitu:

  • Ujian saringan besar-besaran;
  • Memulihkan penjejakan kontak rapat;
  • Beri sokongan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan;
  • Tambah baik sistem kuarantin di rumah;
  • Meluaskan sistem pengambilan pesakit.

Bolehkah kita menjangkakan tindakan dalam ke semua perkara ini dalam tempoh 24 jam yang akan datang -- memandangkan kita perlu mempunyai pemikiran untuk berhadapan dengan perang melawan koronavirus ini, yang telah mengorbankan 667 nyawa di Malaysia dan kita tidak boleh untuk berlengah-lengah lagi seakan-akan sedang “bercuti PKP”.

Saya telah katakan sebelum ini yang Malaysia perlu mengambil posisi perang, dengan semua rakyat Malaysia sentiasa berfikir mengenai apa yang boleh dilakukannya untuk memastikan wabak Covid-19 di Malaysia ini boleh dikawal semula.

Sekiranya semua rakyat Malaysia, termasuklah para menteri dan golongan VIP, mempunyai “mentaliti perang” ini dan sentiasa beringat mengenai apa yang perlu dilakukannya untuk membantu usaha melawan wabak ini, tidak akan ada layanan berbeza, penyalahgunaan kuasa, penipuan, rasuah, dan tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama, ataupun kumpulan orang dalam negara ini.

Rakyat Malaysia perlu kembali kepada persoalan yang kritikal -- Pertama, bilakah Kerajaan Muhyiddin ini akan bertindak dan melancarkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini, dan kedua, bilakah Parlimen akan dipanggil untuk bersidang untuk menjadi pusat utama dan platform pendekatan dan strategi ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri