Malaysia perlu mengambil posisi perang dalam perang melawan wabak Covid-19 -- bukan terhadap mana-mana rakyat atau kumpulan tetapi dalam melawan wabak ini memandangkan negara kita sedang menghala ke arah bencana Covid

Malaysia perlu mengambil posisi perang dalam perang melawan wabak Covid-19 -- bukan terhadap mana-mana rakyat atau kumpulan tetapi dalam melawan wabak ini memandangkan negara kita sedang menghala ke arah bencana Covid di atas tiga sebab:

Pertama, lonjakan kes gagal dikawal, dengan peningkatan 3,631 kes semalam mencatatkan hari kesembilan peningkatan harian Covid-19 melepasi paras 3,000 angka (kadar ini melepasi paras 4,000 angka sebanyak dua kali, pada 16 dan 20 Jan).

Sekiranya kita mengekalkan kadar purata peningkatan harian minggu lepas, kita akan melepasi paras 200,000 kes terkumpul menjelang hujung bulan Januari dan negara kita akan berada dalam kalangan 30-40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.

Kedua, semalam negara kita menyaksikan 18 kematian akibat Covid-19, satu rekod baharu, membawa jumlah terkumpul korban akibat Covid-19 dalam negara kepada 660 nyawa -- kira-kira lima kali ganda jumlah korban Covid-19 di lima negara ASEAN, iaitu Vietnam, Thailand, Kemboja, Laos, dan Singapura!

Ketiga, kita adalah antara negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan Covid-19 untuk tempoh dua bulan yang lepas, memandangkan dua bulan yang lepas, kita berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul, mencatatkan 49,700 kes, namun kini kita melonjak 27 kedudukan ke tempat ke-58 dengan 176,180 kes.

Dalam tempoh ini, jumlah kes terkumpul Malaysia meningkat 3.55 kali ganda, berbanding dengan peningkatan 5.74 kali ganda di Turki, yang disusuli oleh Jerman dengan 2.55 kali ganda peningkatan, United Kingdom (2.54 kali ganda), dan Amerika Syarikat (2.17 kali ganda).

Kerana inilah terdapat kepentingan yang mendesak untuk Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang khas Parlimen, yang perlu menjadi Parlimen Perang untuk melawan wabak Covid-19.

Parlimen Perang Melawan Covid-19 ini perlu menjadi titik tengah dan platform untuk membolehkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Perkara ini sepatutnya menerapkan dalam semua rakyat Malaysia, suatu “mentaliti perang” dalam berhadapan dengan wabak Covid-19, dan bukannya menjadi seperti Menteri Besar Kedah yang menganggap semua rakyat Malaysia sedang “cuti-cuti PKP”.

Malah terdapat juga pemimpin PAS yang berfikiran bahawa semasa negara kita bergelut dengan wabak Covid-19 ini, lebih penting untuk ditubuhkan Pasukan Tindakan Anti-LGBT berbanding dengan Pasukan Tindakan Anti-Covid-19.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bercakap mengenai sekatan pergerakan bersasar dalam sebahagian kawasan dalam negara untuk mengawal penularan.

Namun, apa yang kita dapati adalah pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan, yang telah diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara sehingga 4 Februari, yang merupakan pelaksanaan alat tumpul yang mempunyai impak yang besar dan bukannya sekatan pergerakan bersasar.

Strategis perang dalam perang melawan Covid-19 ini patut menyemak semula setiap strategi yang digunakan setakat ini dan mempertimbangkan sama ada terdapat cara yang lebih baik untuk mengekang penularan wabak ini yang tidak memusnahkan pendapatan dan ekonomi negara, tanpa mengorbankan nyawa dan mengelakkan daripada berlakunya kluster baharu.

Malaysia perlu memastikan yang kita mempunyai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang efektif dan efisyen.

Sekiranya kita ingin memerangi Covid-19 dengan berkesan, perpaduan rakyat Malaysia dan kepercayaan serta keyakinan masyarakat amatlah penting.

Tidak boleh ada ruang untuk penyalahgunaan kuasa, penipuan, rasuah atau tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama atau sebahagian penduduk Malaysia yang majmuk, seperti yang berlaku di Kedah dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk membatalkan cuti peristiwa Thaipusam tahun ini.

Perlu ada mekanisme untuk memastikan bahawa tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa, penipuan, rasuah atau tindakan diskriminasi.

Baru-baru ini, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, membuat kenyataan lemah, mengatakan bahawa penjawat awam harus tampil dan melaporkan amalan rasuah di jabatan atau agensi masing-masing kepada SPRM.

Adakah ini sahaja yang mampu dilakukan oleh SPRM? Pada masa ketika pakej rangsangan ekonomi bernilai beratus bilion ringgit dikeluarkan dalam perang melawan wabak Covid-19?

Apakah yang dilakukan oleh SPRM untuk memastikan bahawa rangsangan ekonomi yang bernilai ratusan bilion ringgit ini memberi manfaat kepada rakyat biasa dan tidak berakhir sebagai "rangsangan ekonomi" bagi kroni golongan yang berkuasa?

Adakah SPRM telah menubuhkan pasukan tindakan khas untuk menangani rasuah semasa wabak Covid-19?

Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) 2020 dijangka diterbitkan pada hari Khamis depan.

Saya bertanya kepada rakyat Malaysia yang telah terlibat erat dengan CPI TI yang lalu mengenai apa yang dijangkakan adalam TI CPI 2020, dan ini adalah jawapannya:

“Jatuh. Skor tidak lebih daripada 3 mata. Memerlukan waktu untuk melihat penurunan ketara kerana beberapa data (tinjauan) yang digunakan adalah dari 2018/2019. Tahun depan kita akan lihat perubahan besar.”

Malaysia mengatasi China dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada 16 Disember 2020, suatu pencapaian yang sepatutnya mustahil memandangkan China mempunyai populasi yang 40 kali lebih besar daripada Malaysia!

Adakah Malaysia akan jatuh lebih rendah berbanding China dalam CPI TI dan dianggap di peringkat antarabangsa sebagai negara yang lebih korup?

Kedudukan TI CPI Malaysia jatuh ke tahap terendah di tempat ke-62 daripada 180 negara pada tahun 2017 sementara skor CPI TI jatuh ke tahap terendah 4.3 daripada 10 pada tahun 2011.

Negara ini dijanjikan bahawa di bawah rejim UMNO-BN dalam dekad terakhir Malaysia akan mencapai sasaran untuk berada dalam kalangan 30 negara teratas dalam TI CPI 2020.

Mengkaji kedudukan TI CPI dan skor untuk 24 tahun penerbitan TI CPI dari 1995-2018, tidak ada alasan bagi sesiapa pun untuk mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk berada dalam kalangan 30 negara teratas dalam TI CPI 2020 akan menjadi kenyataan.

Dari rekod CPI TI 2010-2018, kemungkinan China akan mengatasi Malaysia dalam CPI TI ini sebelum 2030.

Negara-negara yang berada di peringkat kedudukan bawah CPI TI pada siri pertama pada tahun 1995, seperti China, Thailand, India dan Indonesia, telah cepat naik ke kedudukan Malaysia, manakala negara kita terus merosot sejak 1995.

China berada di kedudukan ke-40 dari 41 negara dengan skor CPI 2.16 daripada 10 pada tahun 1995. Pada tahun 2018, China berada di kedudukan ke-87 dari 180 negara dengan skor CPI 39 dari 100.

Pada kadar purata tahunan peningkatan China dan perosotan Malaysia dalam skor CPI dalam 24 tahun terakhir, China akan mengatasi Malaysia, baik dari segi kedudukan atau skor sebelum 2030

Nasib baik, trajektori ini dihentikan apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, dan dalam TI CPI 2019, walaupun China meningkat dalam kedua-dua kedudukan dan skor TI CPI ke kedudukan ke-80 dan 41 mata daripada 100, Malaysia mencapai prestasi TI CPI terbaik dalam 25 tahun dengan peningkatan satu tahun enam mata untuk skor TI CPI dan peningkatan sepuluh kedudukan dalam TI CPI - kedudukan ke-51 dan skor 53 dari 100.

Malaysia bersedia untuk era baru anti-korupsi di Malaysia dengan memperoleh skor dan kedudukan TI CPI yang lebih baik setiap tahun dari TI CPI 2019, dan memulakan Malaysia untuk menjadi salah satu daripada 30 negara teratas di dunia yang berintegriti awam sebelum 2030.

Tetapi pentadbiran Pakatan Harapan tidak panjang, kerana digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak mempunyai keabsahan.

Apa yang ada untuk Malaysia dalam TI CPI 2020 Khamis depan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri