Integrasi hospital kerajaan dan swasta bermula minggu hadapan dialu-alukan sebagai langkah pertama dalam strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19

Saya mengalu-alukan pengumuman daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan Kementerian Kesihatan berhasrat untuk mula mengintegrasikan sistem hospital awam dan swasta di Malaysia untuk merawat kes-kes serius Covid-19 bermula menjelang minggu hadapan, memandangkan perkara ini adalah langkah pertama ke arah pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19 yang sepatutnya diguna pakai sejak daripada sepuluh bulan yang lepas lagi.

Kini apabila kita telah mula melaksanakan proses ini untuk memastikan kita berjaya mengekang wabak ini, kita perlu meluaskan liputan dan saiz proses ini untuk melibatkan pemain utama seperti parti politik, badan budan kerajaan, PKS, sektor korporat, dan para pelabur, berserta dengan pemanggilan sidang khas Parlimen untuk berbincang mengenai wabak Covid-19 sebagai platform untuk pendekatan dan strategi ini.

Terdapat kerisauan mengenai kekurangan ujian saringan yang dijalankan di Malaysia sejak daripada bulan November yang perlu segera ditangani.

Laman web CodeBlue melaporkan, untuk tempoh selama 10 minggu sejak daripada 6 November, kadar positif Covid-19 di Malaysia berada di atas paras lima peratus, melebihi sasaran maksima Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar positif ujian saringan Covid-19 di Malaysia (peratusan ujian yang disahkan positif) kekal di atas paras lima peratus sejak 6 November, menggunakan kadar purata-bergerak tujuh hari, memuncak kepada 9.1 peratus pada 1 Januari tahun ini. Kadar positif ini kemudiannya turun kepada enam peratus pada 18 Januari.

Dengan cadangan WHO supaya kadar positif ini dikekalkan pada tahap bawah lima peratus, perkara ini bermakna bahawa negara kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya untuk mengenal pasti kes-kes ringan dan tidak bersimptom.

Sejak daripada bulan November, angka purata harian yang dilaporkan di Malaysia terus meningkat daripada purata 1,089 kes di antara 6 sehingga 19 November, kepada 3,148 di antara 8 sehingga 21 Januari 2021.

Walaupun angka ini kelihatan tinggi, hakikat di mana kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya bermakna angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Peningkatan tinggi kes harian yang berterusan (dengan 3,178 kes baharu semalam, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-59 di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, dengan 172,549 kes dan negara kita dijangkakan mengatasi kedudukan Lithuania di tempat ke-58 esok) dan sambungan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 4 Februari perlu meyakinkan Kabinet bahawa wabak Covid-19 ini perlu menjadi keutamaan tertingginya, jika kita tidak mahu Malaysia dilanda bencana Covid-19.

Penting juga untuk memastikan rakyat secara amnya terus mempunyai kepercayaan dan keyakinan dalam strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”. Wabak Covid-19 ini tidak sepatutnya dieksploitasikan untuk membolehkan perlakuan penyalagunaan kuasa, penipuan, atau apa-apa tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama, atau mana-mana sektor penduduk majmuk di Malaysia.

Salah satu contoh tindakan buruk ini adalah keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk membatalkan cuti peristiwa Thaipusam pada minggu hadapan.

Adakah ini keputusan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor sendiri, atau adakah ini keputusan Majlis Eksekutif Negeri Kedah?

Sekiranya keputusan ini adalah keputusan Menteri Besar sendiri, Exco-exco di Kedah perlu membantah keputusan ini.

Sekiranya keputusan ini adalah keputusan bersama Exco-exco negeri Kedah, parti-parti lain yang menjadi sebahagian daripada kerajaan di Kedah, iaitu Bersatu dan UMNO, perlu menjelaskan mengapakah mereka bersetuju dengan tindakan yang tidak sensitif dan bersifat diskriminasi ini, dan sama ada ibupejabat parti masing-masing akan mengarahkan ahli exco mereka untuk membatalkan keputusan ini.

Dalam nada yang sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu menunjukkan yang beliau tidak bercakap dengan muka yang lain di pentas antarabangsa tetapi mengambil tindakan yang berbeza dalam dasar awam negara.

Seruan beliau supaya ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap ucapan kebencian, termasuklah ucapan kebencian yang berasaskan identiti gender dan seks, perlu bermula dengan kerajaan beliau sendiri.

Sebagai permulaan, beliau perlu mengumumkan yang kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, yang mengatakan kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355, tidak mewakili dasar kerajaan beliau dan berlawanan dengan keutamaan kerajaan semasa wabak Covid-19 ini.

Beliau juga perlu menjadi contoh tauladan pentadbiran yang baik dengan membatalkan pembaziran RM35.43 juta untuk pembinaan tiga dewan komuniti di kawasan Parlimen beliau di Pagoh, sedangkan dewan komuniti sedia ada di Pagoh tidak digunakan sepenuhnya, dan sebaliknya memperuntukkan wang tersebut untuk membantu meringankan beban rakyat dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri