Malaysia perlu merangka strategi dan pendekatan melibatkan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' dalam perang melawan wabak Covid-19 yang membolehkan rakyat Malaysia untuk hidup bersama dengan wabak ini selama satu hingga dua tahun serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dan menyiap-sediakan negara untuk pemulihan pasca-Covid secepat mungkin

Menjadi persepsi umum bahawa Amerika Syarikat yang kini merekodkan 25 juta kes positif Covid-19 dengan lebih 415,000 kematian, bukan sahaja menjadi “juara” dalam jumlah kes keseluruhan Covid-19, malah menjadi sebuah negara yang dilihat gagal dalam menangani penularan Covid-19.

Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang boleh percaya atau boleh menerima hakikat bahawa Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih buruk berbanding Amerika Syarikat dalam perang melawan wabak Covid-19 ini.

Saya tidak terkecuali daripada perkara ini, kerana itulah saya sendiri berasa terkejut apabila melihat angka-angka kes Covid-19 dan mendapati bahawa dalam dua bulan terakhir ini, dari tempoh di antara 18 November 2020 hingga 20 Januari 2001 -- hari di mana Joe Biden mengangkat sumpah jawatannya sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk empat tahun akan datang -- Malaysia telah menunjukkan prestasi yang lebih buruk berbanding Amerika Syarikat dalam perang menentang wabak ini.

Pada 18 November 2020, Amerika Syarikat merekodkan 11,695,711 kes Covid-19, dan pada 20 Januari 2021, AS mencatatkan 24,998,975 kes Covid-19 - peningkatan sebanyak 2.14 kali ganda.

Sementara itu di Malaysia dalam tempoh yang sama, jumlah kes keseluruhan Covid-19 meningkat 3.4 kali ganda -- pada 18 November 2020, Malaysia merekodkan 49,730 kes manakala pada 20 Januari, 169,379 kes.

Walaupun persepsi umum mengatakan bahawa Amerika Syarikat menunjukkan prestasi terburuk di dunia dalam soal perang melawan pandemik Covid-19, sebenarnya dalam dua bulan terakhir ini, Turki adalah negara yang menunjukkan prestasi paling buruk, dengan Malaysia ditempat kedua, Jerman ketiga, United Kingdom keempat dan Amerika Syarikat kelima.

Pada 18 November 2020, Turki mempunyai 421,413 kes Covid-19 tetapi pada 20 Januari 2021, jumlahnya meningkat 5.7 kali menjadi 2,406,216.

Begitulah keadaannya dalam dua bulan terakhir ini, tetapi secara keseluruhannya, situasi Covid-19 di Malaysia tidak begitu serius dan kritikal seperti negara-negara lain yang mencatatkan jumlah kes tertinggi per sejuta penduduk, yang “dijuarai” oleh Amerika Syarikat, seperti berikut:

Jumlah kes per sejuta penduduk

Amerika Syarikat - 75,279

Israel - 62,608

Belgium - 58,639

Switzerland - 58,105

Bahrain - 56,853

Portugal - 57,132

Belanda - 54,040

Qatar - 52,710

United Kingdom - 51,491

Sepanyol - 51,584

Perancis - 45,370

Brazil - 40,187

Argentina - 40,057

Itali - 39,737

Singapura - 10,075

Malaysia - 5,196

Filipina - 4,583

Indonesia - 3,416

Jepun - 2,69

Korea Selatan 1,433

Angka 4,008 kes baru Covid-19 yang direkodkan semalam menunjukkan bahawa kita masih dibelenggu gelombang ketiga wabak Covid-19.

Malaysia perlu merangka strategi dan pendekatan melibatkan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" dalam perang melawan wabak Covid-19 yang membolehkan rakyat Malaysia untuk hidup bersama dengan wabak ini selama satu hingga dua tahun serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dan menyiap-sediakan negara untuk pemulihan pasca-Covid secepat mungkin.

Inilah sebabnya mengapa Yang di Pertuan Agong harus mempertimbangkan untuk memanggil sidang Parlimen Khas mengenai pandemik Covid-19, kerana tidak mungkin strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19 pandemik dapat dirangka dengan baik sekiranya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dikecualikan daripada strategi berkenaan.

Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia bersatu untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri