Sokongan kepada cadangan untuk Yang di Pertuan Agong memanggil Persidangan Khas Parlimen mengenai wabak Covid-19
Esok adalah hari angkat sumpah Presiden AS -- hari pertama Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46 dan hari terakhir Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45, yang meninggalkan legasi buruk dengan 410,000 kematian akibat Covid-19, dengan 25 juta kes dan 30,000 penipuan dan berita palsu.
Lebih ramai rakyat Amerika telah terkorban dalam tahun terakhir pemerintahan Trump berbanding dengan lapan tahun tempoh Perang Vietnam di mana sekitar 58,000 rakyat AS terkorban. Malah angka ini lebih besar berbanding dengan angka korban AS dalam Perang Dunia Kedua di mana kira-kira 400,000 rakyat AS terkorban.
Trump telah mengakui yang walaupun beliau mengetahui sejak daripada Februari lalu lagi yang wabak Covid-19 ini lebih serius berbanding dengan demam selsema biasa, beliau terus menerus membandingkan wabak ini dengan demam selsema.
Pada 7 Februari 2020, beliau mengatakan yang Covid-19 akan beransur dengan kedatangan cuaca yang lebih suam dalam musim panas, seperti mana demam selsema bermusim, dan mengatakan yang “virus ini diharapkan menjadi lebih lemah dengan cuaca yang lebih panas dan kemudiannya menghilang.”
Pada 15 Februari 2020, Amerika Syarikat mencatatkan 15 kes Covid-19 dengan sifar kematian.
Pada 18 Januari 2021, sebelas bulan kemudian, Amerika Syarikat adalah negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, dengan 24.6 juta kes dan 408,623 kematian. Pada hari Presiden AS mengangkat sumpah pada 20 Januari ini, Amerika Syarikat akan mencatatkan hampir 25 juta kes dengan hampir 410,000 kematian.
Perkara ini menjadi bukti betapa besarnya ketidakbertanggungjawaban pemerintahan Trump sebagai Presiden ke-45, sehinggakan dalam Ucapan Pertama beliau sebagai Presiden baharu AS, Joe Biden perlu menggesa rakyat Amerika untuk memakai pelitup muka untuk melawan wabak Covid-19 dan menjanjikan vaksinasi untuk 100 juta rakyat AS dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran beliau.
Marilah kita pelajari pengajaran daripada Trump dan Trump-isme.
Malaysia kini adalah antara negara yang berprestasi buruk dalam mengendalikan wabak ini, melonjak 22 kedudukan dalam carta negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, daripada kedudukan ke-83 pada 1 Disember 2020 kepada kedudukan ke-61 -- lonjakan yang lebih teruk berbanding berbanding Amerika Syarikat, Brazil, UK, Perancis, Turki, Itali, dan Sepanyol.
Pada 1 Disember, Malaysia berada di tempat ke-83 dari segi jumlah kes tertinggi di dunia, dengan 65,697 kes, tetapi keadaan di negara kita telah bertambah teruk dengan negara kita kini berada di tempat ke-61 dengan 161,740 kes dan 605 kematian. Besar kemungkinan kita akan ke tempat ke-60 menjelang hari ini atau esok, dan ke tempat ke-59 dalam masa dua ke tiga hari.
Sejak daripada 1 Disember sehingga hari ini, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia meningkat daripada 65 juta kes kepada 96 juta kes, peningkatan 1.48 kali ganda, tetapi kes di Malaysia meningkat daripada 65,697 kes kepada 161,740 kes, peningkatan 2.46 kali ganda -- kadar peningkatan terburuk dalam kalangan 100 negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia.
Atas sebab ini, saya menyokong seruan supaya Sidang Parlimen Khas mengenai Covid-19 dipanggil, yang selari dengan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat pertama pada 14 Januari 2021, yang menyatakan “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Marilah kita jadikan Parlimen sebagai contoh untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, politik, mahupun kawasan, untuk bersatu demi usaha menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19.