Wawancara Sin Chew hanya mendedahkan Annuar Musa sebagai “Trump Kecil” yang menyebarkan kekeliruan dan berita palsu

Wawancara Sin Chew dengan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baru dipecat, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan beliau sebagai seorang “Trump Kecil” yang menyebarkan kekeliruan dan berita palsu, walaupun selepas beliau kini menjadi seorang yang berjawatan sebagai seorang Menteri.

Annuar memberikan tiga sebab mengapa UMNO tidak patut bekerjasama dengan DAP.

Annuar adalah antara pemimpin UMNO yang paling kuat menyebarkan penipuan jijik yang mengatakan kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja.

Malah beliau juga telah mengadakan pertandingan menulis untuk mendapatkan sumbangan mengenai bagaimana DAP merupakan ancaman kepada orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Sekiranya Annuar benar-benar percaya apa yang dikatakannya, dan beliau bukanlah seorang oportunis politik, perkara ini menjadi sebab pertama UMNO tidak boleh bekerjasama dengan DAP.

Di Amerika Syarikat, Donald Trump yang cuba dipecat sebanyak dua kali bakal menamatkan penggal presiden dan serangan ke atas kebenaran yang dilakukannya selama empat tahun yang lepas dengan diharamkan daripada laman Facebook, Google, dan Twitter.

Analisa CNBC terhadap ciapan Trump semasa tempoh beliau menjadi presiden menunjukkan yang perutusan beliau yang popular menyebarkan kekeliruan dan syak wasangka. Kebanyakan ciapan beliau mengandungi maklumat salah, manakala topik yang sering dikatakan oleh beliau, mengenai “berita palsu”, digunakan sebagai senjata untuk menyemai penipuan.

Namun, kita mempunyai seorang Menteri, yang pada tahun 2017 bersimpati dengan Donald Trump mengenai penyebaran “berita palsu” di media sosial di AS.

Trump bakal menamatkan pemerintahan yang penuh dengan berita palsunya di AS dalam beberapa hari lagi, namun di Malaysia kita mempunyai “Trump Kecil” seperti Annuar Musa yang terus menerus meracuni politik negara kita dan juga hubungan antara-kaum dan antara-agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Wawancara Sin Chew ini mendedahkan muka sebenar Annuar Musa.

Cabaran yang dihadapi UMNO amatlah besar -- bolehkah parti ini menjauhkan dirinya daripada budaya kleptokrasi dan kembali kepada budaya dalam dekad penubuhannya di mana Presiden UMNO terkenal dengan integriti dan kejujurannya?

Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman terpaksa menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk membiayai UMNO, manakala mantan Pengerusi Bank CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menceritakan bagaimana bapa mereka, Perdana Menteri kedua, Tun Razak, memberikan anak-anaknya ceramah mengenai integriti dan kejujuran apabila mereka meminta supaya kolam renang dibina di Seri Taman, kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu.

Manakala Perdana Menteri ketiga pula, Tun Hussein Onn, terkenal dengan integriti dan kejujuran beliau.

UMNO telah kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 kerana ia telah mengkhianati prinsip integriti dan kejujuran -- daripada hari-hari di mana pemimpin UMNO terpaksa menjual rumahnya untuk membiayai aktiviti UMNO kepada era di mana pemimpin UMNO membina mahligai daripada sumber yang haram yang diperolehi melalui kedudukan mereka dalam jawatan awam yang memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat, menjadikan Malaysia sebagai kleptokrasi global.

Skandal 1MDB tidak akan berlaku di bawah pimpinan Tunku, Tun Razak, atau Tun Hussein Onn.

Sayangnya, hari ini, terdapat mereka di dalam UMNO yang mahukan rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa negara kita berada dalam era kegemilangan semasa negara kita menjadi sebuah kleptokrasi global!

Apa nak jadi, UMNO?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri