Malaysia telah menunjukkan prestasi terburuk dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di pentas dunia, melonjak 22 anak tangga dengan kes terkumpul Covid-19 terbanyak, dari kedudukan ke-83 ke kedudukan ke-61 sejak 1 Disember -- lebih buruk daripada AS, Brazil, UK, Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol

Pada 1 Disember 2020, saya bertanya: "Adakah Malaysia akan mengatasi China dengan kes terkumpul Covid-19 terbanyak sebelum atau selepas berakhirnya mesyuarat Parlimen sekarang?"

Malangnya, Malaysia mengatasi China sebelum berakhirnya persidangan Parlimen pada 16 Disember 2020, dengan Malaysia berada di kedudukan ke-79 dengan 87,913 kes sementara China berada di kedudukan ke-80 dengan 86,770 kes (worldometers.info). Untuk rekod, China mempunyai 1.4 bilion penduduk, bersamaan 40 kali ganda jumlah penduduk di Malaysia.

Pada 1 Disember, Malaysia berada di kedudukan ke-83 di dunia dengan 65,697 kes Covid-19 dan keadaan semakin memburuk selepas itu. Malaysia kini kini berada di kedudukan ke-61 dengan 158,434 kes Covid-19 dan 601 kematian.

Akibatnya, Malaysia telah menunjukkan prestasi terburuk dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di pentas dunia, melonjak 22 anak tangga di antara negara-negara lain dengan kes terkumpul Covid-19 terbanyak, dari kedudukan ke-83 ke kedudukan ke-61 sejak 1 Disember - bahkan lebih buruk daripada AS, Brazil, UK, Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol

Dari 1 Disember hingga sekarang, jumlah terkumpul kes Covid-19 dunia meningkat dari 65 juta menjadi 95.5 juta kes, meningkat 1.46 kali ganda, sementara kes Covid-19 di Malaysia meningkat dari 65,697 kes pada 1 Disember kepada 158,434 kes setakat ini, meningkat 2.4 kali ganda - kes terburuk di antara 100 negara teratas dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 terbanyak.

Mengapa demikian? Apa masalah sebenarnya?

Satu perkara yang jelas. Tanpa niat jahat atau mahu menuding jari, marilah kita memahami hakikat bahawa walaupun ada gesaan untuk mengambil strategi dan pendekatan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" untuk perang melawan wabak Covid-19, gesaan ini tidak diendahkan sejak setahun lalu.

Baru sekarang Kementerian Kesihatan mengadakan perbincangan dengan sektor kesihatan swasta mengenai usaha bersama dalam perang melawan pandemik Covid-19, yang sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi.

Tapi lebih baik terlewat sedikit, daripada tidak berusaha langsung.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dipuji atas respons beliau terhadap Surat Terbuka kepada Perdana Menteri oleh 46 pakar kesihatan awam mengenai pandemik Covid-19. Ia bagaimanapun menimbulkan persoalan baru.

Bilakah Perdana Menteri akan membalas Surat Terbuka Bersama yang saya dan Dr. Mohamad Rafick Khan kirimkan kepada beliau pada 10 Januari 2021?

Berdasarkan jawapan Perdana Menteri terhadap surat terbuka bertarikh semalam (Ahad 7 Januari 2021), jelas bahawa Perdana Menteri tidak bertindak berdasarkan saranan saya pada 9 Januari 2021 agar kerajaan “berunding sepenuhnya dengan sektor kesihatan swasta sebelum mengembangkan strategi barunya dalam perang melawan pandemik Covid-19” yang diumumkan oleh Perdana Menteri (mengenai penguatkuasaan semula PKP) pada 11 Januari dan pengisytiharan darurat.

Perdana Menteri mendedahkan bahawa pada 15 Disember 2020, beliau telah bertemu dengan lima para penandatangan Surat Terbuka berkenaan, dan hakikat bahawa lima pakar kesihatan awam ini telah bergabung dengan 41 pakar kesihatan awam yang lain untuk mengirim Surat Terbuka itu kepada Perdana Menteri pada 7 Januari 2021 menunjukkan keprihatinan mereka bahawa perlu ada perubahan drastik dalam strategi memerangi pandemik Covid-19.

Sayang sekali, Perdana Menteri tidak memberikan respons yang tepat dengan bertemu 46 pakar kesihatan tersebut sebelum mengumumkan strategi baru, kerana 46 pakar kesihatan ini telah menyatakan "kerisauan dan keprihatinan" mereka berkenaan dengan status terkini wabak Covid-19 di negara ini.

Saya percaya yang tiada seorang pun daripada 46 pakar kesihatan awam ini telah mencadangkan bahawa pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen dan Dewan Negara adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk menangani wabak Covid-19.

Dalam Surat Terbuka mereka, pakar kesihatan awam mencadangkan sepuluh "tindakan mendesak dan kritikal bagi mengelakkan wabak Covid-19 menjadi tidak terkawal di Malaysia", terutama cadangan 9 dan 10, iaitu:

“9. Membentuk suatu pasukan petugas khas Covid-19 yang keahliannya terdiri daripada pakar perubatan, ekonomi dan pelbagai sektor yang berkaitan perlu dibentuk dengan kadar segera untuk menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan menyelaraskan respons pelbagai kementerian dan agensi didalam kerajaan untuk membenteras pandemik Covid-19.

Pasukan petugas khas Covid-19 akan memacu negara keluar dari wabak ini dengan kerap mengemukakan cadangan dan odit kepada kabinet, dan menekankan unsur-unsur memelihara nyawa, kesihatan fizikal, emosi dan mental rakyat jelata dan juga memelihara kesihatan ekonomi negara.Untuk memastikan kebebasan pasukan petugas khas Covid-19, pemilihan ahli perlulah dilakukan oleh, Persatuan Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia dan Persatuan Pakar Kesihatan Hospital Swasta Malaysia.

“10. Jangan mempolitikkan pendemik ini, sebaliknya mendapatkan konsensus bipartisan dan pendekatan untuk melandaikan lengkuk pandemik, mempercepatkan usaha untuk mencapai imuniti komuniti untuk membentuk perlindungan masyarakat didalam rangka untuk wujud bersama (co-exist) dengan koronavirus.

“Mengadakan PRU15 semasa peningkatan wabak yang tidak terkawal akan membawa bencana seperti apa yang telah terberlaku di PRN Sabah.”

Kedua-dua cadangan ini belum dilaksanakan, sebaliknya kita berdepan pula dengan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Negara.

Terdapat perdebatan yang cukup besar; pertama, mengenai apakah darurat harus diisytiharkan, dan kedua, apakah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri harus ditangguhkan dalam keadaan darurat seperti itu.

Perdana Menteri, dalam jawapannya, memberikan kenyataan menarik bahawa gelombang ketiga pandemik Covid-19 bermula pada 20 September 2020.

Adakah gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini adalah salah Eksekutif atau Parlimen?

Sekiranya gelombang ketiga adalah salah Eksekutif, dan bukan Badan Perundangan, apakah alasan penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri?

Perkara 150 (3) Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa:

“Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).”

Jelas, penggubal Perlembagaan Malaysia tidak membayangkan bahawa Parlimen akan digantung hanya kerana ada pengisytiharan darurat, yang akan mewujudkan kediktatoran yang sepenuhnya bertentangan dengan semua prinsip demokrasi berparlimen.

Perdana Menteri telah bertindak salah dan tidak berpelembagaan dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat dan menangguhkan Parlimen dan Dewan Negara. Beliau perlu segera memperbetulkan kesalahan ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri