Perdana Menteri perlu memanggil sidang khas Parlimen untuk membolehkan Persidangan Kebangsaan Strategi dan Pendekatan yang melibatkan “Keseluruhan Kerajaan” dan “Keseluruhan Masyarakat” di bawah Parlimen untuk memerangi Covid-19

Proklamasi darurat Selasa lepas tidak menghalang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memanggil sidang khas Parlimen tergempar untuk membolehkan diadakan Persidangan Kebangsaan Strategi dan Pendekatan yang melibatkan “Keseluruhan Kerajaan” dan “Keseluruhan Masyarakat” di bawah Parlimen untuk memerangi Covid-19.

Perkara ini menjadi lebih penting memandangkan negara kita mencatatkan rekod baharu peningkatan harian kes Covid-19 semalam, dengan 4,029 kes baharu dan lapan kematian, membawa angka terkumpul kepada 155,095 kes Covid-19 dengan 594 kematian.

Sekiranya angka 4,000 kes sehari ini menjadi purata harian peningkatan Covid-19, kita bakal mencapai paras 200,000 kes terkumpul menjelang minggu keempat Januari 2021. Kempen vaksinasi yang dijadualkan bermula pada bulan Februari akan datang tidak akan dapat menghalang negara kita daripada mengatasi kedudukan Filipina dengan lebih banyak jumlah kes terkumpul dan menjadi negara kedua di ASEAN selepas Indonesia dengan jumlah kes tertinggi, mahu pun menghalang Malaysia daripada berada dalam kalangan 30-40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi.

Kita berada di tempat ke-27 dengan peningkatan harian tertinggi. Dari segi jumlah kes terkumpul pula, kita berada di tempat ke-63 -- melakukan lompatan berganda semalam di mana kita berada di tempat ke-65. Sekiranya kita mencatatkan peningkatan 4,000 kes lagi hari ini, kita berkemungkinan akan mencatatkan lompatan berganda sekali lagi ke tempat ke-61.

Sekiranya purata peningkatan kes kekal pada kadar 4,000 kes sehari, kita akan berada dalam kalangan 57-58 negara teratas di dunia menjelang pengakhiran PKP 2.0 pada 26 Januari 2021, dan Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina, menjadi dalam kalangan 30 ke 40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi.

Namun, adakah ini sasaran wabak Covid-19 yang ingin kita capai?

Tujuan Persidangan Kebangsaan mengenai pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” di bawah Parlimen dalam perang melawan wabak Covid-19 ini adalah untuk memastikan hala tuju peningkatan harian empat angka ini dikawal kembali kepada peningkatan dua atau satu angka sehari, supaya kita tidak mengatasi kedudukan Filipina atau pun menjadi dalam kalangan 30-40 negara dengan kes terkumpul tertinggi di dunia.

Hakikat di mana semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 kita mencatatkan 790 kes terkumpul dengan dua kematian, berbanding dengan 155,095 kes dan 594 kematian hari ini menunjukkan strategi negara semasa telah gagal dan perlu disemak semula dan diperbaiki.

Tanpa niat jahat atau tuduh menuduh, marilah kita mengakui yang seruan untuk satu strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19 tidak diendahkan selama ini.

Nampaknya, pihak Eksekutif tidak mampu untuk merangka pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, apatah lagi melaksanakannya untuk melawan wabak Covid-19, dan kita tidak mempelajari pengajaran daripada amalan terbaik dan kesilapan negara-negara lain.

Kerana inilah selepas pengumuman PKP 2.0 dan Proklamasi Darurat, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Subramaniam Muniandy mengeluarkan kenyataan yang menzahirkan harapan mereka supaya kerajaan “kembali ke meja perbincangan dan demi negara kita yang tercinta dan rakyat, merangka satu pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dan “keseluruhan kerajaan”.

Pihak Eksekutif telah gagal untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19, malah telah membawa negara kita ke dalam sebuah krisis kritikal akibat daripada wabak ini.

Kerana inilah kita memerlukan satu persidangan khas Parlimen untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak ini, di mana semua parti politik dan ahli-ahli Parlimen boleh mengetepikan perbezaan mereka untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 melalui Persidangan Kebangsaan untuk merangka pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19.

Marilah semua ahli politik menghentikan politik “udang di sebalik batu” dan bersama kita capai satu konsensus baharu, bahawa ancaman terbesar yang dihadapi negara kita adalah wabak Covid-19 dan tidak sepatutnya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah ancaman ini telah dikawal dengan jayanya.

Tugas pertama kita adalah untuk mengubah hala tuju peningkatan kes Covid-19 ini dan memastikan Malaysia tidak mengatasi kedudukan Filipina dan berada dalam kalangan 30-40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.

Tetapi, tidak ada sebab untuk kita semua panik.

Walaupun situasi Covid-19 dalam negara kita agak teruk, kita masih belum berada dalam liga yang sama dengan negara yang berhadapan dengan bencana besar akibat Covid-19 seperti Amerika Syarikat, yang mana saya jangkakan akan mencatatkan 25 juta kes Covid-19 menjelang hari Presiden baharu Joe Biden pada 20 Januari ini pada 20 Disember lalu.

Di seluruh dunia, jumlah kes terkumpul berada pada paras 95 juta kes, meningkat pada kadar tiga perempat juta sehari dengan lebih daripada dua juta korban nyawa.

Amerika Syarikat mencatatkan sejumlah 24.3 juta kes, dengan peningkatan suku juta kes sehari dan lebih daripada 400,000 kematian terkumpul. India, negara kedua dengan jumlah kes tertinggi mencatatkan 10.5 juta kes dan 152,311 kematian.

Brazil, Russia, dan UK adalah tiga negara yang telah melepasi paras tiga juta kes terkumpul Covid-19 dengan 209,000, 65,000, dan 88,000 kematian masing-masing.

Lima negara -- Perancis, Turki, Itali, Sepanyol, dan Jerman -- mencatatkan lebih daripada dua juta kes terkumpul masing-masing, manakala lapan negara mencatatkan lebih daripada sejuta kes terkumpul.

Malaysia tidak patut menyertai negara-negara ini yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes.

Kita tidak sepatutnya mencatatkan 155,095 kes dengan 594 kematian. Kita sepatutnya berada di kedudukan seperti Thailand (di tempat ke-128 dengan 11,680 kes dan 70 kematian), ataupun Vietnam (di tempat ke-173 dengan 1,537 kes dan 35 kematian), atau pun Kemboja (di tempat ke-192 dengan 436 kes terkumpul tanpa sebarang kematian).

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri