Mengapakah kerajaan Muhyiddin membazirkan sepuluh bulan tanpa pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan mengapakah pendekatan dan strategi seperti ini masih belum dirangka?

Walaupun dengan empat perkembangan terkini, iaitu:

  1. Pengumuman pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) di lapan negeri dan daerah bermula 11 Januari;
  2. Proklamasi Darurat pada 12 Januari;
  3. Malaysia mengatasi kedudukan China dan Myanmar dan kini berada di tempat ke-65 dalam kalangan negara di dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 yang tertinggi; dan
  4. Malaysia berada dalam kalangan 30 negara teratas dengan kadar peningkatan kes harian tertinggi.

Saya tergerak untuk menanyakan dua persoalan:

Pertama, adakah kita sedang menghala ke arah mencatatkan sejumlah 200,000 kes Covid-19 menjelang hujung bulan ini; dan

Keduanya, kerajaan Muhyiddin membazirkan sepuluh bulan tanpa pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan mengapakah pendekatan dan strategi seperti ini masih belum dirangka?

Terdapat pelbagai perkembangan di sebalik soalan kedua ini.

Pertamanya, kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy meminta kerajaan untuk tidak menggunakan darurat untuk memaksa dan membuli sektor kesihatan swasta.

Dr Subramaniam berkata, MMA menyatakan kerunsingan mereka terhadap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengenai Ordinans Darurat.

Beliau berkata yang sektor kesihatan swasta sentiasa mencuba untuk menawarkan perkhidmatan mereka dalam membantu usaha melawan wabak Covid-19 sejak daripada hari-hari awal penularan wabak ini lagi.

Beliau berkata: “Perlu diingatkan bahawa kebanyakan hospital swasta di Malaysia adalah dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di mana kerajaan sebagai pemegang sahamnya menerima keuntungan dan dividen.

“Ordinans Darurat patutnya digunakan untuk mencapai pendekatan kerjasama dalam mencari dan mempercepatkan solusi dengan mengurangkan karenah birokrasi dan membuang beban kawalan selia bagi membolehkan pelaksanaan yang lancar.

“Sejumlah 7,000 orang pengamal perubatan yang dilatih oleh pihak Kementerian ini telah diketepikan daripada hari-hari awal pandemik ini dalam perang melawan Covid-19.

“MMA sentiasa mengingatkan kerajaan mengenai kepentingan doktor am dalam wabak ini.

“Diharapkah supaya doktor am boleh dilibatkan dengan lebih efektif dan dilibatkan dalam proses merangka dasar untuk mengurus Covid-19 dalam sistem penjagaan utama.

“Sebelum ini, kebanyakan doktor am berkeberatan untuk menguruskan kes jangkitan sistem pernafasan kerana risau klinik mereka akan ditutup dan mereka perlu menjalani kuarantin di bawah satu SOP yang tidak jelas.

Pelbagai surat daripada MMA kepada Kementerian Kesihatan dan mesyuarat bersama dengan pegawai kerajaan kelihatan seperti tidak diendahkan.”

Dr Subramaniam mengakhiri surat beliau dengan satu perenggan yang sangat mendedahkan: “Kerajaan perlu kembali ke meja perbincangan, dan demi negara kita yang tercinta dan demi rakyat, benar-benar melaksanakan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dan “keseluruhan kerajaan”.”

Laporan terkini dalam laman web CodeBlue yang bertajuk “Seluruh Keluarga Saya dijangkiti Covid-19, Tiada Sesiapa pun Menghubungi Kami”, menceritakan pengalaman seorang penduduk di PJ yang terpaksa membayar RM2,000 untuk dua ambulans swasta untuk membawa ibu dan bapa mertua beliau yang mempunyai penyakit lain ke Hospital Sungai Buloh. Perkara ini menjadi satu lagi sebab untuk mempersoalkan mengapa kerajaan Muhyiddin masih tidak merangka pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19.

Saya telah berulang-ulang kali menggesa kerajaan dalam tempoh sepuluh bulan yang lepas untuk merangka strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19, namun perkara ini tidak diendahkan.

Hanya kini kita mendengar yang Kementerian Kesihatan mula berhubungan dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali mempengerusikan mesyuarat bersama APHM untuk mengelakkan sistem kesihatan awam mencapai tahap pecahnya.

Rakyat Malaysia berhak untuk bertanya mengapakah Kementerian Kesihatan dan kerajaan Muhyiddin membazirkan sepuluh bulan tanpa pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan mengapakah pendekatan dan strategi seperti ini masih belum dirangka?

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan selepas proklamasi darurat yang kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas, yang sepatutnya terdiri daripada kalangan pakar kesihatan dan ahli-ahli parlimen bipartisan untuk menasihat Yang Di Pertuan Agong mengenai bilakah darurat patut ditamatkan sebelum 1 Ogos atau sama ada ia patut dilanjutkan lagi.

Adakah jawatankuasa “bebas” ini akan betul-betul bebas atau adakah ia hanya akan menjadi satu alat kerajaan?

Jawapan kepada persoalan ini akan memutuskan sama ada jawatankuasa ini mempunyai sebarang tujuan yang bermanfaat.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri