Muhyiddin patut membenarkan Parlimen untuk bersidang semula pada 8 Mac seperti yang dijadualkan memandangkan Parlimen telah terus berfungsi sepanjang tempoh 35 tahun dengan empat orang Perdana Menteri di antara tahun 1977 sehingga 2012 walaupun terdapat empat proklamasi darurat serentak dalam tempoh tersebut

Semalam, saya telah katakan lima keutamaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diumumkan dalam Perutusan Baharu beliau sebagai asas kepada usaha pemulihan negara pasca-covid-19 gagal apabila diteliti dengan lebih lanjut.

Saya merujuk kepada Keutamaan Ketiga “untuk memastikan terdapat kestabilan politik dengan penekanan kepada tadbir urus yang baik sebagai asas pemulihan ekonomi yang mampan” dan Keutamaan Keempat “untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”.

Hari ini, saya semak tiga lagi Keutamaan ini untuk menunjukkan yang ia juga gagal apabila diteliti lebih lanjut.

Keutamaan Pertama cuba “untuk menambah baik kesihatan awam melalui perolehan vaksin Covid-19 dengan pelancaran program vaksinasi di seluruh negara”.

Wabak Covid-19 telah mendedahkan kelemahan sistem kesihatan awam kita, perkara ini ditunjukkan dengan baik dengan hakikat di mana kita mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 semasa kita mencatatkan sejumlah 790 kes terkumpul dan 2 kematian, sedangkan hari ini kita mempunyai 147,855 kes terkumpul dengan 578 kematian.

Jangkaan suram saya semalam yang mengatakan kita akan melompat tiga kedudukan daripada di tempat ke-68 ke tempat ke-65 di dunia dengan jumlah kes tertinggi telah menjadi kenyataan.

Jika kita mencatatkan satu lagi rekod baharu peningkatan harian kes Covid-19 hari ini, kita akan bergerak ke tempat ke-64 pula.

Kita kelihatan seakan-akan menghala ke arah menjadi dalam kalangan 30-40 negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dunia, dan perkara ini bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh rakyat Malaysia memandangkan ia menjadi simbol kegagalan dan bukannya kejayaan sistem kesihatan awam kita.

Semalam, menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cuba untuk menjelaskan mengapa Singapura dan Indonesia menerima vaksin Covid-19 sebelum Malaysia.

Namun, hakikatnya kekal di mana lebih daripada 50 negara telah memulakan program vaksinasi mereka dan Malaysia hanya akan menerima penghantaran pertama vaksin kita menjelang bulan Februari.

Kita berada dalam kalangan 30 negara teratas dengan kadar peningkatan harian tertinggi, namun kita tidak berada dalam kalangan 50 negara yang telah memulakan program vaksinasi.

Jelas sekali kerajaan telah gagal memenuhi Keutamaan Pertama Perdana Menteri untuk “menambah baik kesihatan awam melalui pemerolehan vaksin Covid-19 dan pelancaran program vaksinasi di seluruh negara”.

Keutamaan Kedua Muhyiddin adalah untuk “mengukuhkan ekonomi rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi negara pasca-Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)”.

Kerana inilah Parlimen perlu bersidang semula seperti yang dijadualkan pada 8 Mac ini.

Kerajaan terus menjadi sebuah kakistokrasi sehinggakan buat kali pertama dalam sejarah negara, rancangan lima tahun baharu belum dibentangkan kepada Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan walaupun RMK12 ini dirumus untuk tahun 2021 sehingga 2025, sedangkan tahun 2021 telahpun bermula.

Adakah kita bakal mendapat Rancangan Lima Tahun yang tidak sah buat pertama kali dalam sejarah negara, yang bakal menjadi rekod baharu ketidakbertanggungjawaban kerajaan -- satu kes yang kuat untuk mengecualikan penggantungan Parlimen daripada Proklamasi Darurat.

Muhyiddin perlu membenarkan Parlimen untuk bersidang semula pada 8 Mac seperti yang dijadualkan memandangkan Parlimen sebelum ini terus berfungsi dengan empat orang Perdana Menteri dalam tempoh di antara 1977 sehingga 2012 walaupun terdapat empat Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa sepanjang tempoh tersebut.

Seperti yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim, adakah penggantungan fungsi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ini membantu usaha melawan Covid-19?

Adakah Muhyiddin telah lupa, semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor daripada tahun 1986 sehingga tahun 1995, terdapat pelbagai proklamasi darurat, dan semasa hari beliau di dalam Kabinet di antara tahun 1995 sehingga 2015 (malah semasa beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri daripada tahun 2009 sehingga 2015 sekalipun), terdapat empat perisytiharan darurat yang berkuat kuasa dalam negara sehingga 2012?

Keutamaan Kelima Muhyiddin, untuk “mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk satu komuniti yang bersatu melawan sebarang ancaman” adalah satu jenaka, apabila mereka yang bertanggungjawab menyebabkan polarisasi keagamaan dan perkauman di bawah pentadbiran beliau dibenarkan untuk bebas dengan kempen hasutan dan fitnah mereka.

Banyak yang perlu kita pelajari daripada Amerika Syarikat di bawah Trump. Trump telah mencipta sejarah sebagai Presiden AS yang pertama yang didakwa dua kali di atas hasutan kepada penyokong beliau untuk merusuh di Capitol Hill, di Washington semasa Kongres AS sedang menjalankan sidang bersama untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46.

Malaysia perlu belajar bagaimana toksik politik melampau perkauman dan keagamaan boleh jadi apabila ia disertai dengan kempen penipuan, fitnah, dan berita palsu.

Kita mempunyai versi Trump dan Trump-isme sendiri di Malaysia.

Perkara ini mengambil bentuk kempen penipuan jangka panjang yang cuba mengatakan bahawa hak, kedudukan, dan masa hadapan orang Melayu (dan Islam) sedang dalam bahaya, walaupun dengan 50 tahun politik hegemoni Melayu, sedangkan politik ini hanya memanfaatkan pemimpin UMNO dan kroni mereka dan bukan rakyat biasa, baik Melayu atau bukan Melayu.

Kempen penipuan Trump sangat berkesan sehingga isu pelitup muka berjaya untuk memecah belahkan seluruh negara -- sehingga seorang wakil rakyat Demokrat daripada New Jersey yang berusia 75 tahun, Bonnie Watson Coleman dijangkiti Covid-19 selepas terperangkap dengan seorang wakil rakyat Republikan yang tidak memakai pelitup muka semasa rusuhan penyokong Trump di Capitol Hill.

Kita tidak boleh membiarkan wujudnya seorang Trump di Malaysia yang cuba untuk mengatakan kepada rakyat Malaysia bahawa zaman negara kita sebagai sebuah kleptokrasi adalah zaman keemasan.

Kerana inilah saya telah menanyakan sama ada semua parti politik dalam negara kita boleh mencapai konsensus nasional bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak boleh diadakan sehingga krisis Covid-19 ini diatasi.

Jika terdapatnya konsensus seperti ini, mengapa perlunya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sedangkan mereka mempunyai peranan yang penting untuk memastikan negara kita mengguna pakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri