Bolehkah Muhyiddin menjelaskan mengapa Parlimen di negara lain boleh berfungsi semasa darurat akibat kes Covid-19 tetapi tidak di Malaysia?

Dalam perutusan tahun baharu beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyenaraikan lima keutamaan strategi pemulihan bersepadu negara untuk tahun 2021.

Namun, kurang daripada dua minggu, kelima-lima keutamaan ini gagal apabila dilihat dengan lebih teliti, terutamanya tonggak ketiga untuk “memastikan terdapatnya kestabilan politik dengan keutamaan terhadap tadbir urus yang baik sebagai asas pemulihan ekonomi yang mampan” dan tonggak keempat untuk “ mempertahankan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”.

Pada suatu masa dahulu, kita berada 50 tempat di belakang China daripada segi jumlah kes terkumpul, negara di mana wabak ini mula tular dan mempunyai kira-kira 40 kali ganda penduduk berbanding Malaysia. Namun kita telah mengatasi kedudukan China pada 16 Disember 2020 dalam gelombang ketiga wabak Covid-19, dengan penularan di luar kawalan, kita telah jauh meninggalkan kedudukan China di mana kita kini berada di kedudukan ke-82 dan kita di tempat ke-68.

Kita juga telah mengatasi kedudukan Myanmar dan jika kita terus mencatatkan peningkatan harian di sekitar 3,000 kes, kita akan melompat tiga kedudukan hari ini ke tempat ke-65 di seluruh dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.

Di manakah “kestabilan politik” dan “tadbir urus yang baik” apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah digantung fungsinya?

Inikah yang dimaksudkan oleh Muhyiddin sebagai “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”?

Bolehkah Muhyiddin menjelaskan, mengapa Parlimen di negara lain boleh berfungsi dalam keadaan darurat akibat Covid-19 tetapi tidak di Malaysia?

Kerana inilah Muhyiddin tidak sepatutnya menambahkan malu kepada negara dengan menggantung fungsi legislatif dan semak imbang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, terutamanya apabila perang melawan wabak Covid-19 tidak boleh dimenangi melainkan jika terdapatnya satu pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Sedikit melegakan mendengar semalam apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang berunding dengan sektor kesihatan swasta untuk bekerjasama bagi meningkatkan kapasiti sistem kesihatan Malaysia yang kini sedang di bawah tekanan yang kuat.

Perkara ini sepatutnya dilakukan sejak awal penularan wabak ini lagi, tetapi lebih baik lambat daripada tidak melakukannya langsung.

Ini adalah salah satu sebab mengapa negara kita tidak mempunyai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan negara kita masih mempunyai jalan yang panjang sebelum kita boleh mengatakan kita berjaya melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha melawan Covid-19.

Malah, Kementerian Kesihatan tidak sepatutnya hanya mendapatkan bantuan sektor kesihatan swasta untuk membantu menerima kes-kes bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan sahaja, tetapi juga melibatkan mereka dalam rancangan jangka panjang melawan Covid-19 untuk mengelakkan negara kita daripada terpaksa melalui satu lagi PKP.

Exco Perumahan, Kerajaan tempatan, dan Perancangan Luar Bandar Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo mengatakan yang lebih kurang 100 buah klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Pulau Pinang (PMPS) bersedia untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 percuma kepada rakyat Pulau Pinang.

Kementerian Kesihatan perlu mempunyai rancangan jangka panjang yang melibatkan semua pengamal perubatan swasta dalam negara untuk memerangi wabak ini.

Bilakah kerajaan akan dapat mengatasi titik hitam ini dan meletakkan satu rancangan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19?

Titik hitam kedua kepada Keutamaan Keempat Muhyiddin adalah laporan Human Rights Watch World Report 2021 yang diterbitkan semalam. Laporan tersebut menyatakan yang keadaan hak asasi manusia di Malaysia telah merosot di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang melakukan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan perhimpunan aman serta serangan-serangan yang dilakukan terhadap media.

Adakah Kabinet bersedia untuk menjelaskan semua pertuduhan pencabulan hak asasi manusia oleh Human Rights Watch ini, terutamanya dalam kes koresponden South China Morning Post, Tashny Sukumaran, editor CodeBlue, Boo Su-Lyn, dan juga kes penghinaan mahkamah yang dibawa terhadap ketua editor Malaysiakini, Steven Gan.

Adakah kita akan menerima titik hitam ketiga dengan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang bakal diterbitkan oleh Transparency International, selepas Malaysia mencapai tahap terbaik dalam sejarah 25 tahun penerbitan TI-CPI pada tahun 2019 yang menyaksikan peningkatan satu tahun enam mata dengan 53 markah dan peningkatan 10 kedudukan di tempat ke-51?

Terdapat juga pelbagai titik hitam lain dalam kebelakangan ini -- seperti laporan yang mengatakan Vietnam akan mengatasi kedudukan Malaysia sebagai ekonomi ke-empat terbesar di Asia Tenggara dan Laporan Ketahanan Covid kedua yang diterbitkan oleh Bloomberg pada 21 Disember tahun lepas, di mana Malaysia kalah dengan New Zealand, Taiwan, Australia, Singapura, Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam, Hong Kong, Thailand, dan Bangladesh.

Adakah Malaysia akan mendapat laporan yang lebih baik dalam Indeks Ketahanan Covid Bloomberg Januari 2021?

Perlu menjadi keutamaan kepada semua parti politik dan semua ahli Parlimen untuk “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia” dan perkara ini sepatutnya menjadi tema penyatuan di Parlimen yang tidak sepatutnya digantung fungsinya.

Namun, adakah Muhyiddin bersedia untuk mengumumkan yang darurat yang diisytiharkan hanya untuk melawan wabak Covid-19 ini tidak akan menggantung fungsi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menunjukkan terdapatnya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik di Malaysia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri