Hentikan politik “udang di sebalik batu” dan bertemu dengan semua parti-parti politik dalam negara untuk mencapai konsensus nasional baharu yang mengakui bahawa musuh terbesar negara buat masa ini adalah wabak Covid-19 dan kita tidak boleh mengadakan PRU15 sehinggalah wabak ini diatasi

Hentikan politik “udang di sebalik batu” dan bertemu dengan semua parti-parti politik dalam negara untuk mencapai konsensus nasional baharu yang mengakui bahawa musuh terbesar negara buat masa ini adalah wabak Covid-19 dan kita tidak boleh mengadakan PRU15 sehinggalah wabak ini diatasi.

Proklamasi darurat semalam adalah hasil daripada politik “udang di sebalik batu” memandangkan perkara ini datang sebagai satu kejutan untuk seluruh negara dengan hanya Menteri Kabinet yang mengetahuinya, terutamanya selepas perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di lapan buat negeri dan wilayah, PKP bersyarat di enam buah negeri, dan penyambungan PKP pemulihan di dua negeri.

Jika tujuan darurat ini semata-mata hanya untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan menyatukan semua ahli politik, pemimpin persatuan sivil, badan keagamaan, persatuan belia, dan semua rakyat Malaysia di sebalik misi ini, tidak ada sebarang keperluan untuk membuat perkara mengejut seperti ini di mana seluruh negara dikejutkan dengan proklamasi darurat.

Sepatutnya telah ada perbincangan di peringkat kebangsaan, dan perbahasan melalui persidangan khas Parlimen untuk menentukan sama ada darurat adalah cara terbaik untuk memastikan negara kita memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini.

Perkara ini telah berlaku di Sepanyol, apabila keadaan darurat yang berlangsung pada bulan Mac dan sambungannya dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen Sepanyol.

Perkara ini juga berlaku di Perancis, di mana Parlimen Perancis mengundi untuk meneruskan keadaan darurat untuk melawan wabak Covid-19 sehingga 16 Februari 2021.

Tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia.

Muhyiddin mengatakan semalam yang darurat ini bukanlah satu rampasan kuasa ketenteraan, dengan kerajaan sivil menjalankan fungsi seperti biasa dan memberikan jaminan bahawa sistem kehakiman akan terus menjalankan tanggungjawabnya tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Memandangkan Malaysia mengamalkan doktrin pemisahan kuasa di antara eksekutif, legislatif, dan kehakiman, Perdana Menteri perlu mengubah syarat darurat ini dan mengumumkan yang pihak Eksekutif tidak akan mencampur tangan dengan fungsi legislatif dan semak imbang Parlimen.

Perkara ini akan boleh menyelesaikan perbezaan pendapat di antara Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Wong Kah Woh -- di mana Azhar mengatakan Parlimen akan terus memainkan peranan semak imbangnya memandangkan semua kumpulan dan jawatankuasa pilihan khas Parlimen masih boleh berfungsi dan Wong pula mengatakan yang komen Azhar ini tidak benar kerana ke semua jawatankuasa ini tidak boleh membentangkan laporan mereka kepada Parlimen.

Saya menyokong pendapat Wong Kah Woh, tetapi perbezaan pendapat ini dapat diselesaikan dengan segera sekiranya Parlimen dan pelbagai Dewan Undangan Negeri tidak dihalang daripada berfungsi dalam tempoh darurat ini.

Malah, saya hujahkan yang sekiranya Perdana Menteri ini serius dengan janji beliau yang darurat tidak akan merendahkan komitmen kerajaan terhadap pentadbiran yang baik, beliau patut membenarkan Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri di seluruh negara untuk berfungsi dan memimpin usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan Covid-19 -- satu perkara yang tidak dilihat dalam 11 bulan yang lepas dalam usaha kerajaan melawan wabak ini.

Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahupun politik, perlu bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah besar yang dibawa oleh Covid-19 -- tanpa sebarang politik “udang di sebalik batu” mahupun politik toksik perkauman, keagamaan, penipuan, fitnah, dan berita palsu.

Wabak koronavirus ini tidak mengira kaum atau agama, dan kita hanya akan terus merendahkan keberkesanan dan kejayaan usaha kita melawan wabak ini jika kita terus memecahkan masyarakat kita mengikut kaum, agama, politik, atau penipuan.

Kadar 3,309 kes baharu peningkatan harian semalam yang memecahkan rekod baharu, membawa jumlah kes terkumpul dalam negara kepada 141,533 dan 559 kematian telah meletakkan Malaysia di tempat ke-69 di seluruh dunia dengan jumlah kes tertinggi, mengatasi kedudukan China (tempat ke-82), dan Myanmar (tempat ke-70). Kita dilihat bakal mengatasi kedudukan Filipina (kini di tempat ke-32, dengan sejumlah 491,258 kes terkumpul dan 9,554 kematian).

Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk memastikan trajektori ini tidak menjadi kenyataan.

Semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020, kita mencatatkan sejumlah 790 kes terkumpul dan 2 kematian. Kini kita mencatatkan 141,533 kes dan 559 kematian.

Jika trajektori semasa ini kekal berterusan dan kita mengatasi kedudukan Filipina, kita bakal menjadi dalam kalangan 30-40 negara teratas di dunia dengan lebih daripada setengah juta kes Covid-19 terkumpul.

Ini bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan, tetapi memalukan.

Semua rakyat Malaysia perlu bersatu dengan satu tujuan, untuk memastikan senario buruk ini tidak berlaku dan kita dapat kembali untuk belajar hidup bersama dengan koronavirus ini dengan hanya satu atau dua angka peningkatan harian, dengan negara kita tidak mengatasi kedudukan Filipina.

Namun kita juga tidak boleh panik memandangkan kita belum lagi berada dalam kategori seperti negara-negara yang telah dilumpuhkan dengan wabak Covid-19 ini seperti Amerika Syarikat yang mencatatkan lebih daripada 23 juta kes terkumpul dan hampir 400,000 kematian -- semalam, AS mencatatkan 221,121 kes baharu (pada 8 Januari, negara tersebut mencatatkan rekod baharu dengan 307,983 kes baharu) dan rekod baharu 4,259 kematian.

Ataupun seperti 17 negara lain yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes terkumpul seperti India (10.5 juta kes), Brazil (8.2 juta), Rusia (3.4 juta), UK (3.2 juta), Perancis (2.8 juta), Turki (2.35 juta), Itali (2.3 juta), Sepanyol (2.1 juta), Jerman (1,96 juta), Kolombia (1,8 juta), Argentina (1,74 juta), Meksiko (1,54 juta), Poland (1,4 juta), Iran (1,3 juta), Afrika Selatan (1,26 juta), Ukraina (1,1 juta) dan Peru ( 1 juta).

Kita mesti pelajari pengajaran daripada kebaikan dan keburukan negara-negara lain dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.

Pengajaran terbaru yang kita perlu pelajari adalah daripada Ireland -- negara yang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di dunia dalam minggu lepas.

Semasa Ireland keluar daripada sekatan pergerakan ketat selama enam minggu pada Disember lepas, negara tersebut mencatatkan kadar kes Covid-19 terendah di Eropah.

Sejak daripada Disember, keadaan di Ireland terus meneruk. Di manakah silapnya?

Ireland kini berada di tempat-60 dengan 155,591 kes dan 2,397 kematian.

Adakah kita bakal mengatasi kedudukan Ireland?

Marilah kita beriltizam sebagai sebuah negara supaya Malaysia tidak mengatasi kedudukan Filipina (kini di tempat ke-32) mahupun Ireland (kini di tempat ke-60), jika tidak, PKP kedua dan proklamasi darurat ini akan disia-siakan dalam tujuannya untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Sekarang adalah masanya untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, politik, mahupun daerah, untuk bersatu demi negara untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri