Selari dengan komitmen Perdana Menteri untuk menegakkan pentadbiran yang baik, adakah beliau bersetuju untuk membenarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk terus berfungsi untuk menerajui pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan gelombang ketiga wabak Covid-19

Perbezaan dan keadaan tidak teratur di antara pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di lapan negeri dan wilayah, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan; PKP bersyarat di enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, dan penyambungan PKP pemulihan di dua negeri, Perlis dan Sarawak, untuk tempoh dua minggu bermula 13 Januari sehingga 26 Januari seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan proklamasi darurat hari ini sehingga 1 Ogos menimbulkan pelbagai persoalan.

Pertamanya, mengapakah jarak masa yang teramat besar di antara dua keputusan ini.

Adakah perkara ini bermakna kerajaan tidak mempunyai keyakinan bahawa pelaksanaan semula PKP selama dua minggu kepada lapan buah negeri dan daerah dan juga pelaksanaan PKP bersyarat dalam enam negeri dan penyambungan PKP pemulihan di dua buah negeri ini akan mempunyai kesan yang boleh menghentikan penularan dan kematian akibat wabak Covid-19?

Walaupun dengan pengumuman Perdana Menteri semalam, kita kini berada dengan trajektori baharu Kementerian Kesihatan, di mana peningkatan harian dijangkakan sehingga 5,000 kes dalam minggu kedua bulan April dan mungkin mencecah sehingga 8,000 kes sehari menjelang hujung bulan Mei?

Kedua, Muhyiddin mengatakan hari ini tidak ada berlaku sebarang rampasan kuasa ketenteraan, dengan kerajaan sivil menjalankan fungsi seperti biasa dan memberikan jaminan bahawa sistem kehakiman akan terus menjalankan tanggungjawabnya tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Memandangkan Malaysia mengamalkan doktrin pemisahan kuasa di antara eksekutif, legislatif, dan kehakiman, bolehkah Perdana Menteri memberikan jaminan yang kerajaan beliau tidak akan campur tangan dengan pihak legislatif dan tanggungjawab penelitian serta semak imbang Parlimen?

Muhyiddin juga perlu beringat bahawa negara lain di seluruh dunia telah pun mengisytiharkan keadaan darurat untuk melawan Covid-19 tanpa menggantung fungsi Parlimen atau legislatif mereka. Malah, perkara ini menjadi satu ujian komitmen kerajaan terhadap demokrasi berparlimen. Mengapakah Malaysia patut menjadi lain?

Tambahan lagi, proklamasi darurat di negara-negara lain tidak berlangsung hampir selama tujuh bulan. Mengapakah perkara ini berlangsung selama ini di Malaysia?

Muhyiddin telah mengatakan bahawa kerajaan memerlukan sesetengah kuasa untuk melawan wabak Covid-19 yang semakin meneruk.

Muhyiddin tidak sepatutnya bimbang dengan perkara ini, memandangkan saya yakin bahawa Parlimen tidak akan menghalang undang-undang untuk memberikan kerajaan semua kuasa yang diperlukan untuk melawan wabak Covid-19 dengan efektik, memandangkan semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam tugas penting melawan wabak Covid-19 di Malaysia.

Dalam perutusannya pagi tadi, Muhyiddin memberikan jaminan yang beliau akan menegakkan prinsip dan amalan pentadbiran yang baik.

Selari dengan komitmen Perdana Menteri untuk menegakkan pentadbiran yang baik, adakah beliau bersetuju untuk membenarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk terus berfungsi untuk menerajui pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan gelombang ketiga wabak Covid-19, satu aspek yang tidak dapat dilihat sama sekali dalam tempoh 11 bulan yang lepas semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri