Kembalikan mandat kepada Pakatan Harapan dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan, supaya Malaysia dapat mula memenuhi aspirasinya untuk menjadi sebuah negara berkelas dunia yang berbilang kaum yang bersatu dan harmoni dan menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”
UMNO, Bersatu, dan PAS telah gagal untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil memandangkan retorik perpaduan Melayu yang dicanangkan mereka ini terbukti satu janji palsu untuk Malaysia.
Jika saya sendiri yang membuat kenyataan ini, ia akan diambil sebagai bukti terhadap fitnah yang mengatakan saya anti-Melayu dan anti-Islam, tetapi kenyataan ini dikeluarkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal, Presiden Warisan dan mantan Ketua Menteri Sabah, di Regional Outlook Forum 2021 yang baru sahaja berlangsung yang dianjurkan oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura pada hari Khamis lepas.
Shafie mengatakan yang politik Malaysia perlu penetapan semula dalam tahun 2021 dan tahun-tahun mendatang, memandangkan retorik perpaduan Melayu ini telah terbukti menjadi satu janji palsu.
Beliau mengatakan: “UMNO, Bersatu, dan PAS telah gagal untuk membentuk kerajaan yang stabil.
“Kira-kira 70% orang Melayu tinggal di kawasan bandar dan 80% rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Tetapi UMNO, PAS, dan Bersatu masih lagi berfikiran yang kebanyakan orang Melayu berada di luar bandar. Tidak lama lagi, mereka akan berhadapan dengan kebangkitan orang Melayu yang tinggal di bandar yang pulang ke kampung untuk mengundi.”
Ahli Parlimen Semporna tersebut mengatakan yang naratif Malaysia yang baharu diperlukan dalam tunjang utama negara -- politik, ekonomi, dan sosial -- segalanya daripada pentadbiran dan akauntabiliti, kepada pendidikan, teknologi, kesihatan, dan pergerakan sosial.
“Tidak ada lagi tempat untuk politik perkauman dan keagamaan -- perpaduan perlu menjadi asas kepada reformasi, melalui demokrasi penyertaan, di mana semua pemegang taruh diwakili -- muda dan tua, bandar dan luar bandar, liberal dan konservatif, melalui satu sistem nilai yang berasaskan pentadbiran yang mengatasi jurang kaum dan agama.
“Rakyat Malaysia perlu memilih masa depan politik kita sendiri, kita perlu melalui perjuangan yang payah tetapi berbaloi ini, untuk keluar daripada kepompong idea lama kepada idea baharu untuk membentuk negara bangsa Malaysia dalam era pasca-2020.”
Kata-kata Shafie ini bertepatan dengan waktunya, jika kita tidak mahu berhadapan dengan perkembangan buruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, di mana di Capitol Hill, Washington, gerombolan penyokong Trump menyerbu menceroboh ke dalam Capitol AS semasa sesi persidangan serentak Kongres AS yang dalam proses untuk mengesahkan pemilihan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.
Trump telah berusaha selama dua bulan, mencuba untuk menggugat demokrasi dengan menafikan kekalahan pilihan raya, dan meluangkan masa selama empat tahun merosakkan nilai kebenaran dan mengapi-apikan perbezaan budaya dan kaum di AS untuk kepentingan politik beliau sendiri.
Di Malaysia pula, politik telah diracun selama berdekad lamanya dengan penipuan dan fitnah bahawa DAP ini kononnya komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, dan selama 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir, kempen fitnah ini bertambah kuat untuk menimbulkan polarisasi dalam masyarakat Malaysia dengan menimbulkan kerisauan kononnya hak, maruah, kedudukan, dan masa hadapan orang Melayu dan Islam tergugat.
UMNO, Bersatu, dan PAS kini tersekat dalam plot “Hikayat Tiga Kerajaan”, dengan pemimpin UMNO mendesak supaya perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum kuasanya -- berbanding dengan dua lagi parti dalam kerajaan -- semakin menghilang.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, telah mengatakan yang UMNO akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN yang UMNO telah menang pada tahun 2008. Jika benar, maka tiga orang menteri dan dua timbalan menteri Bersatu tidak akan mempunyai kerusi untuk bertanding.
Namun ini bukanlah pengakhiran tuntutan UMNO untuk Pilihan Raya Umum ke-15, memandangkan UMNO akan ditekan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandinginya dalam PRu14 -- mungkin kecuali dalam kerusi-kerusi PAS. Perkara ini akan membuka jalan untuk UMNO menghapuskan Bersatu sama sekali.
Dalam 11 bulan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, kita telah melihat Malaysia kembali ke arah menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal.
Dalam usahanya untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya, pemimpin UMNO, seperti Trump, telah mengabaikan penderitaan terbesar yang sedang dihadapi oleh negara kita dan dunia -- wabak Covid-19.
Di seluruh dunia, wabak ini telah melepasi paras 90 juta kes, dengan lebih daripada 1.94 juta kematian sedangkan Malaysia pula telah mencatatkan sejumlah 135,992 kes dengan 551 kematian, mengatasi kedudukan China dan Myanmar dan negara kita bakal mengatasi kedudukan Filipina.
Kerana cita-cita politik yang mementingkan diri inilah konspirasi Langkah Sheraton berlaku, menyebabkan penularan gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19 di Malaysia, dengan gelombang ketiga ini terutamanya menular teruk.
Rakyat Malaysia belum dapat melihat pengakhiran kepada wabak Covid-19 ini.
Caranya adalah dengan mengembalikan semula mandat kepada Pakatan Harapan, dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan, supaya Malaysia dapat mula memenuhi aspirasinya untuk menjadi sebuah negara berkelas dunia yang berbilang kaum yang bersatu dan harmoni, di mana terdapatnya demokrasi, pentadbiran yang baik, kedaulatan undang-undang penghormatan terhadap hak asasi manusia dan alam sekitar, dan menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Dengan ini, kita bukan sahaja dapat keluar daripada trajektori menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal, malah kita akan berjaya untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19.