Malaysia hanya akan dapat keluar daripada kemelut Covid-19 pada Julai 2022 tetapi UMNO mahu PRU15 diadakan dalam suku pertama 2021
Sekiranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin betul dalam mengatakan bahawa Malaysia bakal mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 dalam tempoh 18 bulan daripada Februari dengan ketibaan penghantaran pertama vaksin, kita hanya akan dapat meninggalkan wabak ini pada bulan Julai 2022.
Tetapi, UMNO mahu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakaan sebelum penghujung suku pertama 2021!
Amat menyedihkan untuk betapa rendahnya parti politik yang pada suatu masa dahulu, memimpin negara kita untuk mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia ini telah jatuh, dengan pemimpin semasanya yang telah lupa bagaimana pemimpin terdahulu parti ini berkorban dan berjuang untuk negara, sebaliknya mereka pula hanya obses dengan menggunakan slogan perpaduan Melayu untuk kepentingan peribadi dan bukannya negara ataupun kaum.
Hasilnya, UMNO telah ditolak oleh pengundi Malaysia dalam Pilihan Raya ke-14 pada 9 Mei 2018 dan kini terlibat dengan siri pelbagai rancangan dengan Bersatu dan PAS untuk cuba memastikan pemimpinnya berjaya mengelakkan diri daripada penjara atas pertuduhan rasuah dan kleptokrasi.
Agaknya, berapakah jumlah kes terkumpul dan kematian di Malaysia menjelang Julai 2022?
Ini merupakan satu hari yang menyedihkan untuk Malaysia, sebelum menerima penghantaran pertama vaksin ini sekalipun, kita telah mengatasi kedudukan China, negara di mana wabak ini mula tular dengan lebih daripada 40 kali ganda jumlah penduduk, dan juga kedudukan Myanmar juga.
Kita sekarang adalah negara ketiga di ASEAN dengan jumlah kes tertinggi selepas Indonesia dan Filipina.
Menurut jangkaan Kementerian Kesihatan, Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina menjelang hujung Mei, menjadikan Malaysia negara kedua dengan kes terkumpul tertinggi di ASEAN selepas Indonesia dan menjadikan Malaysia di antara 30-40 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.
Semalam adalah satu hari yang digambarkan sebagai suatu hari yang kelam untuk Malaysia apabila negara kita mencatatkan 2,643 kes baharu dan 16 kematian -- angka kematian tertinggi setakat ini, berbanding dengan rekod 12 kematian sebelum ini pada 3 November.
Adakah kerajaan Malaysia bersedia untuk mencari di manakah silapnya dalam strateginya untuk melawan wabak Covid-19 ini. Kita tidak seharusnya menjadi di antara 30-40 negara teratas di dunia, sebaliknya kita sepatutnya berada di kedudukan yang rendah di antara 130-150 di selepas Thailand yang kini berada di tempat ke-132 dengan hanya 8,966 kes Covid-19 dan 65 kematian.
Bilakah kerajaan akan memulakan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 ini?
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberikan pengumuman berkenaan dengan langkah kesihatan awam pada hari Isnin yang akan datang memandangkan kes harian kini berpurata di sekitar angka 2,000 kes sehari.
Adakah kerajaan telah mendapatkan nasihat daripada sektor kesihatan swasta sebelum merangka strategi baharu ini?
Sekiranya sektor kesihatan swasta telah dilibatkan sepenuhnya dalam merangka strategi melawan wabak Covid-19, tidak akan ada keperluan untuk ditulis surat terbuka daripada 46 orang pakar kesihatan awam yang ditujukan kepada Perdana Menteri yang menggesa kerajaan untuk meningkatkan jumlah ujian saringan dan menerbitkan garis panduan yang jelas supaya pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom ataupun simptom ringan boleh diasingkan di rumah untuk memastikan kapasiti sistem kesihatan dipelihara untuk merawat pesakit-pesakit yang benar-benar memerlukan.
Penulis-penulis surat ini menyatakan “kekhuatiran dan kebimbangan” dengan status semasa penularan wabak Covid-19 dalam negara kita.
Mereka mengatakan: “Pengurusan pandemik Covid-19 negara memberi gambaran yang suram dan tidak terkawal. Walaupun dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan intervensi kesihatan yang lain, laporan harian kes masih tidak menunjukkan penurunan.
“Kadar Insiden Terkumpul (bagi setiap 100,000 penduduk) dan Kadar Kebolehjangkitan (kes aktif bagi setiap 1,000 penduduk) tidak melandai, dengan Kadar Kebolehjangkitan berada pada tahap 0.879 bagi setiap 1,000 penduduk. Ini bermaksud antara 8 hingga 9 orang telah dijangkiti untuk setiap 10,000 orang.
“Kadar Ujian Pengesanan Positif meningkat, berada pada tahap 8.9 peratus pada 3 Januari 2021, jauh mengatasi tanda aras keberkesanan pengawalan pandemik yang ditetapkan oleh WHO pada kadar 5 peratus.”
Pakar-pakar kesihatan awam ini mencadangkan sepuluh “tindakan segera dan kritikal yang perlu diambil untuk mengelakkan Malaysia daripada memerlukan rawatan rapi”, terutamanya cadangan ke-9 dan ke-10, iaitu:
“9. Membentuk suatu pasukan petugas khas Covid-19 yang keahliannya terdiri daripada pakar perubatan, ekonomi dan pelbagai sektor yang berkaitan perlu dibentuk dengan kadar segera untuk menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan menyelaraskan respons pelbagai kementerian dan agensi didalam kerajaan untuk membenteras pandemik Covid-19. Pasukan petugas khas Covid-19 akan memacu negara keluar dari wabak ini dengan kerap mengemukakan cadangan dan odit kepada kabinet, dan menekankan unsur-unsur memelihara nyawa, kesihatan fizikal, emosi dan mental rakyat jelata dan juga memelihara kesihatan ekonomi negara. Untuk memastikan kebebasan pasukan petugas khas Covid-19, pemilihan ahli perlulah dilakukan oleh, Persatuan Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia dan Persatuan Pakar Kesihatan Hospital Swasta Malaysia.
“10. Jangan mempolitikkan pendemik ini, sebaliknya mendapatkan konsensus bipartisan dan pendekatan untuk melandaikan lengkuk pandemik, mempercepatkan usaha untuk mencapai imuniti komuniti untuk membentuk perlindungan masyarakat didalam rangka untuk wujud bersama (co-exist) dengan koronavirus. Mengadakan PRU15 semasa peningkatan wabak yang tidak terkawal akan membawa bencana seperti apa yang telah terberlaku di PRN Sabah.”
Sebelum beliau mengumumkan strategi baharu untuk mengawal gelombang ketiga wabak ini, Perdana Menteri perlu berjumpa dan berbincang dengan pakar-pakar kesihatan awam dalam sektor swasta dan penulis-penulis Surat Terbuka kepada Perdana Menteri ini, seperti mantan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Abu Bakar Suleiman, Presiden semasa dan mantan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan organisasi perubatan lain, termasuklah Dr. Subramaniam Muniamdy, Dr. Milton Lum, Dr. Mary Suma Cardosa, Dr. Mohamad Namazie Ibrahim, Dr Steven Chow, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman, Dr Christopher Lee, Prof Dr Azizi Haji Omar, Dr Gunasegaran PT Rajan, Dr Hung Liang Choo, Dr Jahizah Hassan, Dr Jeffrey Abu. Dr Johari Bux, Dr Khor Swee Kheng, Dr Kuljit, Dr Muhamad Yusri, Dr Musa Mohd Nordin, Dr Zainal Ariffin Omar, Dr Zainudin Md Zin, dan Dr Zulkifli Ismail.
Seperti yang dirumuskan oleh penulis-penulis surat tersebut:
Ini adalah pengurusan kesihatan awam yang asas di mana kami percaya YAB Tan Sri akan mempertimbangkan segera dan memandang serius untuk mengurangkan akibat yang tidak diingini berikutan wabak itu, untuk melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat, dan memulihkan semula ekonomi Negara kita.