Malaysia bakal mengatasi kedudukan Filipina menjelang akhir bulan Mei dan akan menjadi negara ASEAN kedua selepas Indonesia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi berdasarkan jangkaan Kementerian Kesihatan

Kementerian Kesihatan telah menjawab persoalan saya mengenai sama ada Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina dan menjadi negara ASEAN kedua selepas Indonesia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah telah menerbitkan dua carta di laman Twitter beliau yang menunjukkan dua senario untuk negara kita sekiranya kita gagal menurunkan kadar jangkitan (R0).

Daripada carta tersebut, jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia boleh meningkat sehingga 8,000 kes sehari menjelang hujung bulan Mei jika kadar jangkitan ini kadar pada paras 1.1.

Dr Noor Hisham mengatakan: “Ambil perhatian kepada kadar jangkitan harian Covid-19 dan jangkaan kes daripada 4 Januari sehingga 31 Mei 2021, dengan R0 1.1 dan 1.2.”

Dengan R0 1.1, KKM menjangkakan Malaysia akan mencatatkan rekod 5,000 kes sehari menjelang minggu kedua April dan jika perkara ini berterusan, angka ini akan mencecah 8,000 kes sehari menjelang minggu keempat bulan Mei.

Dengan R0 1.2, KKM menjangkakan lonjakan ini akan hadir dengan jauh lebih pantas.

Dalam kedua-dua senario, Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina menjelang akhir bulan Mei dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 dan negara kita bakal tergolong dalam kalangan 30-40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi.

Filipina, dengan 482,083 kes kini berada di tempat ke-30 di seluruh dunia, manakala Indonesia dengan 797,723 kes berada di tempat ke-20 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi. Manakala Malaysia pula bakal menjadi negara ASEAN di tempat ketiga dengan jumlah kes tertinggi apabila negara kita mengatasi kedudukan Myanmar di tempat ke-69.

Di seluruh dunia, wabak Covid-19 terus merebak pantas, mencatatkan rekod baharu peningkatan harian dengan 820,796 kes semalam, kali kedua kadar jangkitan baharu melepasi paras 800,000 kes (kali pertama adalah pada hari sebelumnya, dengan 803,637 kes) -- dengan Amerika Syarikat mencatatkan 274,190 kes baharu.

Jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia telah melepasi paras 88.5 juta kes manakala 1.9 juta telah terkorban di seluruh dunia akibat wabak ini.

Saya menyeru kepada Kementerian Kesihatan untuk memberikan perhatian kepada seruan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada sektor kesihatan swasta, yang menggesa supaya strategi melawan Covid-19 kita disemak semula.

Dr Mohamed Rafick Khan, di dalam blognya menulis “BATTLING COVID-19 -- ARE WE DEFEATED?” telah menyeru supaya satu jawatankuasa audit luaran kekal diwujudkan untuk menyemak status jangkitan dan kebolehan serta kapasiti kerajaan dalam mengendalikan wabak ini.

Beliau menulis: “Masalah ini bukannya hanya untuk kerajaan. Masalah ini adalah masalah kita semua. Polemik politik mesti dihentikan. Ia bermula dengan kerajaan menghulurkan salam perdamaian dengan pihak pembangkang untuk membentuk satu jawatankuasa bipartisan untuk melihat ke dalam isu ini.”

Bola kini berada di dalam laman kerajaan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri