Bolehkah semua parti-parti politik mencapai satu konsensus nasional untuk bersetuju bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak boleh diadakan semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19?

Kebelakangan ini, terdapat pelbagai pergerakan dan perkembangan dalam arena politik negara.

Salah satu daripada tuntutan yang timbul adalah supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan walaupun semasa negara kita sedang bergelut dengan wabak Covid-19.

Empat belas orang Ahli Parlimen pembangkang telah mengeluarkan kenyataan bersama, menempelak gesaan yang cuba untuk mendesak berlakunya pilihan raya umum semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19. Wabak ini telah mencatatkan sejumlah 122,845 kes dengan 509 kematian -- meletakkan Malaysia di tempat ke-72 di seluruh dunia, sepuluh kedudukan di hadapan China, di mana wabak ini mula tular yang juga mempunyai 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding dengan Malaysia.

14 Ahli-ahli Parlimen ini adalah Hannah Yeoh, Teo Nie Ching, dan Yeo Bee Yin daripada DAP, Salahuddin Ayuh, Khalid Samad, dan Mahfuz Omar daripada Amanah, R Sivarasa daripada PKR, Baru Bian daripada Parti Sarawak Bersatu, Darrell Leiking, Azis Jamman, dan Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan, Amiruddin Hamzah dan Senator Marzuki Yahya daripada Pejuang dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Muda.

Jika tidak kerana gelombang ketiga yang disebabkan oleh ketamakan kerajaan Perikatan Nasional yang mahu merampas kuasa di Sabah melalui Pilihan Raya Negeri Sabah, Malaysia akan mempunyai rekod yang lebih baik dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Pada 1 September tahun lepas, Malaysia mencatatkan sejumlah 9,534 kes Covid-19 dengan 128 kematian, dan kadar kenaikan kes baharu harian dalam julat dua angka dengan 14 kes baharu dan hanya SATU kematian.

Namun begitu, PRN Sabah ini mengubah sama sekali keadaan Covid-19 dalam negara, setakat semalam, kita mencatatkan 2,027 kes baharu dengan lapan kematian, membawa jumlah kes dan kematian terkumpul kepada 122,845 kes dan 509 kematian.

New Zealand berjaya menarik perhatian dunia dengan menyambut kedatangan tahun baharu dengan festival muzik tanpa sebarang sekatan protokol kesihatan yang dihadiri oleh lebih daripada 30,000 orang sedangkan hampir keseluruhan dunia menyambut tahun baharu 2021 dengan suram.

Kita mungkin boleh menyertai New Zealand dalam menyambut tahun baharu sebagai sebuah negara yang berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 jika tidak kerana kesilapan besar yang menyebabkan berlakunya PRN Sabah yang kemudiannya mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

Adakah kita akan mengulangi kesilapan ini dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 semasa negara berhadapan dengan wabak Covid-19, dan kemudiannya menyaksikan negara kita dimamah oleh gelombang keempat wabak Covid-19 yang jauh lebih teruk -- gelombang keempat yang mungkin akan meletakkan negara kita dalam kalangan negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul yang tertinggi?

Rakyat Malaysia berhak untuk bertanya kepada parti-parti politik; adakah mereka mampu mencapai konsensus nasional bahawa PRU15 tidak boleh diadakan semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19?

Semua parti politik perlu menjadikan agenda menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 sebagai keutamaan tertinggi mereka supaya Malaysia mampu untuk bangkit semula dengan pemulihan yang pantas dan menyeluruh dalam era pasca-pandemik.

Kerana inilah saya telah cadangkan supaya Persidangan Khas Parlimen diadakan dalam masa lebih kurang seminggu daripada sekarang, memandangkan kita tidak mampu untuk menunggu sehingga Parlimen bersidang semula pada 8 Mac, kerana dengan trajektori peningkatan kes semasa, Malaysia mungkin akan mencatatkan kira-kira 200,000 ke 250,000 kes Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri