Mesyuarat Kabinet esok perlu mempertimbangkan persidangan khas Parlimen untuk membincangkan wabak Covid-19 yang terus meneruk memandangkan kes terkumpul Covid-19 di Malaysia mungkin mencecah 200,000-250,000 kes menjelang persidangan Parlimen pada 8 Mac akan datang
Semalam, Malaysia mencatatkan 1,741 kes baharu Covid-19, membawa jumlah kes terkumpul dalam negara kepada 120,818 kes. Jumlah kematian akibat wabak ini juga telah melepas paras 500 kematian, kini negara kita mencatatkan 501 korban nyawa akibat Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan yang Kementerian Kesihatan bercadang untuk membenarkan pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom untuk dikuarantin di rumah memandangkan penggunaan katil hospital di kemudahan kerajaaan telah mencapai had 23,000 katilnya.
Setakat ini, terdapat 22,089 kes aktif Covid-19, dengan peningkatan harian yang tinggi.
Jika kadar kenaikan kes harian berterusan pada kadar semasa, kita berkemungkinan akan mencatatkan 200,000 ke 250,000 kes terkumpul dalam awal bulan Mac.
Oleh itu, saya menyeru Kabinet yang akan bermesyuarat esok untuk mempertimbangkan sekali lagi, persidangan khas Parlimen untuk membincangkan strategi bagi mengatasi masalah penularan Covid-19 yang semakin teruk ini, memandangkan kita tidak boleh menunggu sehingga 8 Mac apabila Parlimen dijangkakan akan bersidang semula, kerana pada waktu itu, kita mungkin akan berhadapan dengan 200,000 ke 250,000 kes terkumpul.
Kita harus ingat, semasa Malaysia mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, kita hanya mencatatkan 728 kes Covid-19 dengan dua kematian.
Kini, kita mencatatkan 120,818 kes dengan 501 kematian!
Mengapakah Parlimen tidak dipanggil untuk bersidang untuk berbincang mengenai perkara ini?
Semasa sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada 17 Disember, negara kita mencatatkan sejumlah 89,132 kes dengan 432 kematian. Dalam tempoh 17 hari yang lepas (17 Disember - 3 Januari), terdapat 31,686 kes baharu dengan 69 kematian.
Wabak ini mengambil masa sepuluh bulan untuk mencecah 31,000 kes (setakat 31 Oktober 2020, jumlah kes terkumpul adalah 31,548 kes), tetapi angka ini berjaya dikumpulkan dalam masa hanya 17 hari yang lepas.
Semestinya perkara ini menjadi sebab yang kukuh untuk memanggil persidangan khas Parlimen dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang, tanpa perlu menunggu sehingga persidangan Parlimen pada 8 Mac?
Malaysia tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang berkebolehan untuk mengendalikan wabak Covid-19 ini, tetapi takkan tidak ada seorang pun menteri yang menyedari keperluan untuk memanggil persidangan khas Parlimen untuk membincangkan keadaan Covid-19 yang semakin meneruk dalam negara kita ini?
Saya tidak mencadangkan supaya kita kembali menggunakan PKP kerana kita bukan sahaja perlu menyelamatkan nyawa tetapi juga kehidupan rakyat.
Amat malang sekali untuk kita kerana kita gagal melaksanakan strategi yang berasaskan penglibatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini untuk mendapatkan keseimbangan di antara menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat, tanpa memusnahkan sebarang harapan untuk pemulihan ekonomi yang pantas dan mampan dalam era pasca-koronavirus.
Semasa negara kita dilanda gelombang kedua penularan wabak Covid-19, rakyat Malaysia dan seluruh dunia tidak mempunyai sebarang persediaan apabila berhadapan dengan suatu wabak yang tidak dikenali, dan semua orang bersedia untuk menerima tindakan drastik seperti sekatan pergerakan di seluruh negara dan kawalan pergerakan yang terbukti mempunyai kos sosial dan ekonomi yang amat besar.
Namun, dalam berhadapan dengan gelombang ketiga wabak ini, rakyat kini lebih mengenali wabak ini dan akibat daripada tindakan yang boleh diambil untuk mengekangnya, dan rakyat berhak untuk bertanya kepada kerajaan, mengapakah kerajaan tidak melaksanakan satu pendekatan yang lebih fleksible yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang jangka panjang melawan wabak ini, untuk mencapai keseimbangan di antara menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat -- dengan pemimpin kerajaan menjadi tauladan tanpa sebarang layanan berbeza.
Persidangan khas Parlimen dalam minggu yang akan datang bukan sahaja mampu membincangkan cara-cara untuk mengatasi masalah ini dan memastikan wujud satu rancangan pemulihan ekonomi yang pantas dan mampan dalam era pasca-Covid-19, tetapi juga untuk mengatasi pelbagai cabaran lain yang berkaitan dengan wabak ini seperti cara untuk memastikan kejayaan kempen vaksinasi Covid-19.
Kita perlu belajar daripada keadaan kucar-kacir di Amerika Syarikat dalam mengedarkan waksin, di mana kurang daripada 3 juta rakyat AS menerima vaksin menjelang tahun baharu sedangkan rancangan asalnya adalah untuk 20 juta rakyat AS menerima vaksin menjelang tahun baharu.
Persidangan Khas Parlimen ini perlu memastikan Malaysia berjaya menjalankan program vaksinasi dengan berjayanya, yang kini menjadi kerisauan sekumpulan 20 orang saintis, doktor, dan individu yang mengeluarkan kenyataan bersama bertajuk: “Covid-19 yang bahaya, bukan vaksin. Sekarang adalah masa untuk menerima vaksin”.
Persidangan Khas Parlimen ini boleh menyokong kenyataan bersama ini yang dikeluarkan atas kerisauan terhadap “peningkatan kekeliruan” berkenaan vaksin Covid-19 dan kempen-kempen golongan anti-vaksin.
Kumpulan ini mengatakan yang “Covid-19 ini jauh lebih berbahaya terhadap kehidupan seseorang berbanding dengan mengambil vaksin yang telah diluluskan untuk melawan wabak ini”.