Kabinet perlu melancarkan “Operasi Sifar Jalan Berlubang” untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia yang terkorban akibat kakistokrasi di Malaysia
Terdapat satu kematian yang boleh dielakkan apabila semalam, seorang pemandu penghantaran makan Grab Food yang berusia 31 tahun di Mutiara Damansara terlanggar satu lubang di jalan yang mengakibatkan beliau hilang kawalan motosikalnya sebelum terbabas ke bahagian bahu jalan.
Pagi hari sebelumnya, seorang lelaki berusia 75 tahun telah ditemui mati di tempat kejadian kemalangan motosikal yang dipercayai disebabkan oleh lubang di jalan raya di Jalan Tengah, Kuala Lumpur.
Berapa ramaikah rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat lubang di jalan raya di negara kita ini?
Berapa ramaikah lagi yang perlu terkorban akibat lubang di jalan raya ini sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan untuk memenuhi akujanji “sifar lubang jalanraya” di jalan-jalan awam dalam negara kita, seperti yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2016?
Bolehkah Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof, yang merupakan Menteri Kerja Raya di bawah kerajaan BN selama lima tahun di antara tahun 2013-2018 dan kemudiannya sekali lagi di bawah kerajaan Perikatan Nasional bermula 1 Mac tahun lalu memberitahu berapa ramaikah rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat lubang di jalan-jalan awam?
Dalam Perutusan Tahun Baharu beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mengenai lima tonggak utama kerajaan PN, salah satunya untuk “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”.
Adakah ini caranya -- dengan rakyat Malaysia terkorban akibat kemalangan yang disebabkan oleh lubang di jalan raya -- untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia?
Kedudukan Malaysia di mata dunia terus-menerus merudum -- kini dengan rakyat Malaysia yang terkorban akibat kakistokrasi dalam negara kita.
Negara kita tidak pernah lagi terjunam sehingga ke tahap ini sebelum ini.
Adakah Kabinet Muhyiddin akan bangun dan melancarkan “Operasi Sifar Jalan Berlubang” untuk memastikan tidak ada lagi sesiapapun yang akan mati akibat jalan berlubang di Malaysia?
Malaysia sudah cukup terkenal sebagai sebuah kleptokrasi akibat skandal 1MDB.
Malaysia sekali lagi terkenal di seluruh dunia sebagai satu-satunya negara yang berhadapan dengan wabak Covid-19 di dunia tanpa seorang Menteri Kesihatan yang efektik, yang telah melumpuhkan tugasnya dengan beberapa siri kesilapan seperti “air suam merawat Covid-19”, “500 negara di seluruh dunia”, dan “15 negeri di Malaysia”.
Adakah rakyat Malaysia ditakdirkan untuk mendapat lebih ramai menteri yang bersifat kakistokratik?
Sebagai langkah pertama dalam “Operasi Sifar Jalan Berlubang”, kerajaan seharusnya membayar pampasan ex gratia kepada keluarga mangsa kemalangan akibat jalan berlubang ini sebagai gantirugi kepada pengakuan terhadap kegagalan kerajaan dalam memastikan tidak ada jalan berlubang di jalan-jalan awam dalam negara kita.