Kisah Antara Dua Bandar -- Wuhan dan New York

Tajuk Akhbar CNN: “Ribuan manusia bersesak di jalan raya untuk menyambut kedatangan tahun baharu di Wuhan, di mana koronavirus ini mula muncul, sedangkan bandar-bandar di negara lain lengang”.

Kisah ini adalah versi moden novel bersejarah “A Tale of Two Cities” karya Charles Dicken yang merupakan bahan pembelajaran sastera semasa saya seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Tinggi Batu Pahat pada tahun 1958.

Ayat pembukaan yang terkenal yang ditulis Dickens dalam novel ini amat berpatutan untuk menggambarkan permulaan tahun 2021:

“Ia adalah masa yang terbaik, ia adalah masa yang terburuk, ia adalah zaman kebijaksanaan, ia adalah zaman kebodohan, ia merupakan kemuncak kepercayaan, ia merupakan kemuncak ketidakpercayaan, ia adalah musim Kecerahan, ia adalah musim Kegelapan, ia merupakan musim bunga yang penuh harapan, ia merupakan musim sejuk yang penuh kekecewaan, kita mempunyai segalanya di depan kita, kita tidak mempunyai apa-apa sekali pun, kita semua akan ke syurga, kita semua akan ke sebaliknya -- pendeknya, era ini amatlah serupa dengan masa semasa, sehingga pihak yang berkuasanya berkeras supaya ia diterima, dengan baik atau buruk, dalam perbandingan yang terlalu jauh sahaja.”

Data terkini mengenai wabak Covid-19 mencatatkan lebih daripada 85 juta jangkitan di seluruh dunia dengan lebih daripada 1.85 juta kematian akibat wabak ini. Apabila Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-46 pada 20 Januari ini, jumlah kes terkumpul global dijangkakan akan melebihi 100 juta kes dan melebihi 2 juta kematian.

Inilah skala bencana global yang dibawa oleh wabak Covid-19.

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ini sebagai pandemik pada 11 Mac, hanya terdapat 118,000 kes di seluruh dunia. Kini, angka ini telah meningkat 720 kali ganda dalam tempoh kurang daripada 10 bulan dan terus meningkat dengan mencatatkan rekod baharu peningkatan harian Covid-19.

Perbezaan ketara di antara Wuhan dan New York dalam sambutan tahun baharu 2021 ini menjadi saksi perbezaan di antara dua negara tersebut -- dengan ribuan orang bersesak di jalan raya di Wuhan, yang merupakan tempat wabak ini mula tular ke seluruh dunia, menyambut tahun baharu dengan penuh gaya, sedangkan New York, seperti kebanyakkan bandar-bandar lain di seluruh dunia, kosong tanpa sebarang sambutan, memandangkan langkah-langkah kesihatan awam untuk mengawal penularan wabak ini dikuatkuasakan.

Perkara ini menunjukkan perbezaan jelas di antara dunia Timur dan Barat, di mana disiplin sosial yang lebih baik di negara-negara Timur, membolehkan kejayaan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, dan pembersihan tangan, digunapakai secara universal untuk melawan penularan wabak ini berbeza dengan situasinya di negara-negara Barat.

Malah India, yang merupakan negara kedua selepas Amerika Syarikat dengan lebih daripada 10 juta kes Covid-19 menunjukkan perbezaan dengan negara-negara barat -- kerana ia merupakan satu-satunya negara dengan banyak kes yang menunjukkan lekuk penurunan kes harian Covid-19 -- mencatatkan penurunan daripada kemuncak 97,859 kes baharu pada 16 September 2020 kepada peningkatan harian hanya sebanyak 21,222 kes semalam.

Perkara ini amat berbeza di Amerika Syarikat, di mana negara tersebut masih lagi belum menemui kemuncak peningkatan harian kesnya, mencatatkan 236,387 kes baharu semalam -- hanya sedikit di bawah rekod 255,809 kes pada 18 Disember tahun lalu.

Amerika Syarikat telah berubah daripada sebuah kuasa hebat dunia kepada sebuah negara ketiga dunia akibat wabak Covid-19 ini, dengan situasi yang tidak masuk akal di mana persoalan sama ada rakyat secara amnya perlu memakai pelitup muka untuk mengekang penularan wabak ini masih menjadi isu yang diperdebatkan, selepas lebih daripada setahun wabak ini menular!

Semasa Malaysia mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, Malaysia mencatatkan 790 kes terkumpul Covid-19, dengan dua kematian, China mencatatkan 80,928 kes terkumpul dengan 3,245 kematian, dan Amerika Syarikat mencatatkan 10,101 kes dengan 170 kematian.

Kini, Malaysia mencatatkan sejumlah 119,077 kes terkumpul dengan 494 kematian, China mencatatkan 87,117 kes dengan 4,634 kematian, dan Amerika Syarikat mencatatkan 21,081,796 kes dengan 360,033 kematian.

Pada satu masa dahulu, Malaysia dan China -- negara di mana wabak ini mula tular dan mempunyai lebih daripada 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding dengan Malaysia -- dipisahkan dengan lebih daripada 50 kedudukan dalam carta negara-negara dengan jumlah kes terkumpul yang tertinggi. Kini kita berada di sepuluh kedudukan lebih atas berbanding dengan China, dengan 119,077 kes di Malaysia berbanding dengan 87,117 kes di China.

Jika Malaysia tidak mampu untuk menjadi seperti China dalam melawan wabak Covid-19 ini, sekurang-kurangnya janganlah kita menjadi seperti Amerika Syarikat.

Vaksin Covid-19 yang dinanti-nantikan ini bukanlah penyelesaian kepada wabak ini, malah kini terdapat huru-hara berkaitan dengan vaksin ini di Amerika Syarikat.

Media telah melaporkan yang sekurang-kurangnya 123,639 orang masih berada di hospital di Amerika Syarikat akibat koronavirus ini setakat hari Sabtu yang lepas, menandakan hari ke-32 berturut-turut angka hospitalisasi berada di atas paras 100,000 pesakit.

Kes baharu telah melonjak selepas cuti Thanksgiving dan impak daripada sambutan Krismas dan Tahun Baru masih sedang berkembang.

Pakar-pakar kesihatan risau mengenai apa yang berlaku kepada angka-angka ini sekiranya jangkitan terus menular, dan mereka bimbang mengenai keruntuhan sistem kesihatan di Amerika Syarikat sekiranya berlakunya satu lagi lonjakan kes baharu.

Pada 21 Disember 2020, Carta Ketahanan Covid Bloomberg diterbitkan dan kita berada di belakang sembilan buah negara di Asia (Taiwan, Singapura, Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam, Hong Kong, Thailand, dan Bangladesh), dan berada di hadapan hanya empat negara Asia iaitu Pakistan, Indonesia, Filipina, dan India.

Adakah kita mampu untuk berada dalam keadaan yang lebih baik dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg Januari 2021?

Adakah Covid-19 ini masih lagi menjadi agenda utama dalam mesyuarat Kabinet pertama 2021, memandangkan suku pertama tahun ini kelihatan suram untuk rakyat Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri