Mampukah Muhyiddin melantik Menteri Kesihatan yang mampu memimpin usaha melawan wabak Covid-19 dan memindahkan Adham Baba ke kementerian lain?
Kita telah memasuki Tahun Baru dengan tahap terburuk wabak Covid-19 di Malaysia dan dunia, dengan peningkatan harian tertinggi di Malaysia sebanyak 2,525 kes pada hari terakhir tahun 2020, sementara seluruh dunia mencatat rekod peningkatan harian lebih daripada 740,000 kes Covid-19 baharu.
Jumlah terkumpul kes Covid-19 yang tercatat di Malaysia dan dunia masing-masing adalah 113,010 kes dan 83.8 juta kes.
Adakah terdapat harapan untuk kita keluar daripada masalah Covid-19 ini selepas kelulusan perolehan vaksin ketiga -- selepas pihak berkuasa di China memberikan kelulusan bersyarat untuk mengedarkan vaksin yang dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan China, SINOPHARM?
Presiden Amerika Joe Biden telah bahawa usaha vaksinasi di bawah rancangan Trump akan mengambil masa “bertahun, bukan berbulan” lamanya, dan beliau pula mungkin melakukan sedaya upaya untuk meningkatkan usaha pengedaran vaksin, dengan sasaran 100 juta vaksinasi dalam 100 hari pertama beliau menjawat jawatan Presiden.
Singapura telah melancarkan program vaksinasi dengan vaksin Pfizer dengan memberikan keutamaan kepada petugas kesihatan dua hari lalu, menjadi negara Asia pertama yang memulakan kempen inokulasi terhadap koronavirus. Bersama dengan vaksin dari sumber yang lain, negara tersebut menjangkakan dos vaksin yang mencukupi untuk semua 5.7 juta orang menjelang suku ketiga 2021.
Penghantaran vaksin pertama di Malaysia akan tiba hanya pada bulan Februari atau Mac, dan tidak ada rancangan yang diketahui umum sama ada Malaysia akan menerima jumlah vaksin yang mencukupi untuk semua penduduknya.
Masalah terbesar dalam usaha melawan Covid-19 di Malaysia adalah defisit kepercayaan terhadap kerajaan Muhyiddin yang mula timbul selepas permulaan yang baik pada tempoh awal penularan wabak ini, yang disebabkan oleh layanan berbeza yang diterima oleh Menteri dan golongan VIP yang melanggar Prosedur Operasi Standard Covid-19 ( SOP) mengakibatkan gelombang ketiga wabak Covid-19 setelah pilihan raya umum negeri Sabah, yang masih belum dapat dikawal.
Pada awal Disember, Institut Pengukuran dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME) mengunjurkan 2,987 kes baru setiap hari pada 1 Januari 2021 dan 5,379 jangkitan pada 21 Mac 2021.
Model IHME mengunjurkan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia hingga pertengahan Mac 2021, mencatatkan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari bermula 25 Februari 2021.
Kita akan dapat mengetahui dalam beberapa jam lagi sama ada unjuran IHME ini akan menjadi kenyataan.
Namun begitu, salah satu lagi masalah terbesar di Malaysia adalah kurangnya kepimpinan dan disiplin dalam kalangan hierarki tertinggi Kabinet Muhyiddin.
Malah, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang efektik dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 ini, di sebaliknya, kita mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang telah menghancurkan kredibilitinya sendiri dengan berbagai kesilapan seperti kenyataan “air suam untuk merawat Covid-19”, “500 negara” di seluruh dunia dan “15 negeri di Malaysia”.
Akibatnya, beliau adalah orang yang terakhir yang mampu menjelaskan mengapa kita gagal melaksanakan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, Malaysia mencatatkan 790 kes Covid-19 dan dua kematian.
Pada awal pagi ini, ketika kerajaan melanjutkan peraturan yang menjadi asas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ini sehingga 31 Mac 2021, jumlah kes terkumpul di Malaysia telah melonjak 143 kali ganda kepada 113,010 kes, dengan kadar kenaikan harian sebanyak 2,525 kes (lebih daripada tiga kali ganda jumlah kes terkumpul semasa PKP mula dilaksanakan) dan 471 kematian akibat Covid-19.
Adakah kita sedang ke arah suatu masa yang tidak menentu dengan Covid-19?
Mampukah kerajaan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadapnya dalam usaha melawan wabak Covid-19?
Ujian yang penting kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sama ada beliau mampu melantik seorang Menteri Kesihatan yang berkebolehan untuk memimpin usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19.
Sekiranya kerana kerapuhan kerajaan Perikatan Nasional yang bersifat “pintu belakang” ini menghalang beliau daripada memecat Dr. Adham Baba daripada Kabinet, adakah Perdana Menteri mampu untuk merombak Kabinet, untuk melantik seorang yang lebih berkepimpinan dalam untuk memimpin negara kita dalam usaha melawan wabak Covid-19 dan memindahkan Dr Adham Baba ke kementerian yang lain?