Mahathir salah apabila beliau mengatakan yang DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya, sedangkan DAP memenangi 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada tahun 1990, 28 kerusi pada tahun 2008, dan 38 kerusi pada tahun 2013 sebelum memenangi 42 kerusi pada tahun 2018

Dalam wawancaranya bersama dengan China Press, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan: “Saya telah membantu pakatan pembangkan untuk menang (dalam PRU14) kerana saya membawa sokongan orang Melayu. DAP yang tidak pernah mampu memenangi lebih daripada 18 kerusi, memenangi 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang di bawa oleh saya”.

Kenyataan Mahathir yang mengatakan DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya ini salah, DAP pernah memenangi 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada tahun 1990, 28 kerusi pada tahun 2008, dan 38 kerusi pada tahun 2013 sebelum memenangi 42 kerusi pada tahun 2018.

Walaupun DAP telah dimomokkan dengan pelbagai penipuan, fitnah, dan berita palsu, kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja selama lima dekad yang lepas, DAP telah kekal komited sejak penubuhannya pada tahun 1966 terhadap cita-cita sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, dan DAP tidak pernah sama sekali menentang mana-mana kaum ataupun agama mahupun menentang sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Kami mahukan setiap orang di Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban untuk mempunyai kesedaran, identiti, dan cita-cita sebagai rakyat Malaysia.

DAP mencipta sejarah di Malaysia apabila seorang pemimpin DAP telah ke penjara dan hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen kerana mempertahankan maruah dan kehormatan seorang gadis Melayu -- pemimpin tersebut adalah Lim Guan Eng, semasa beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, dua orang pemimpin Melayu daripada DAP telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan sebelum Pilihan Raya Umum 1974, sekiranya DAP berjaya memenangi negeri Perak, ADUN DAP Tapah Road, Ibrahim Singgeh akan menjadi Menteri Besar Perak.

Antara Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri adalah Ahmad Nor, Ariff Sabri Abdul Aziz, Zairil Khir Johari (Exco Pulau Pinang), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (mantan Timbalan Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli), Ariffin Omar, Syerleena Binti Abdul Rashid, Abdul Aziz Bin Bari (Ketua Pembangkang Perak), Young Syefura Binti Othman, Sheikh Umar Bagharib Bin Ali (mantan Exco Johor), Fadzlan Yahya, Mohd Salleh Nakhoda Itam, Daeng Ibrahim, dan Hassan Ahmad.

Dalam tahun 1969, saya ditanyakan apakah yang perjuangan DAP dan saya rumuskan kepada lima perkara seperti berikut:

  1. Bahawa Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum, bahasa, dan budaya dan bahawa negara Malaysia yang berdaya maju hanya dapat dibentuk jika semua kaum dan kumpulan di negara ini diberi kepentingan yang sama di bawah langit yang sama.
  2. Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, keganasan dan ideologi yang berteraskan paksaan, seperti yang disokong oleh Parti Komunis Malaya, hanya akan menyebabkan perpecahan negara kerana ia akan cepat menjunam menjadi konflik antara kaum. Kekerasan dan keganasan dalam segala bentuk mesti ditolak.
  3. Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum, jika ada kumpulan kaum yang merasa mundur, baik dari segi pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa atau politik, maka permusuhan antara kaum akan wujud. Setiap usaha mesti dilakukan untuk menghilangkan ketidakseimbangan antara kaum dan kumpulan ini.
  4. Kemiskinan bukanlah masalah komunal. Ia adalah masalah sosio-ekonomi dan menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan permusuhan antara kaum di negara ini.
  5. Membentuk pentadbiran yang bersih, jujur, cekap, dan berkesan.

DAP terus berpegang dengan kelima-lima prinsip ini selama 55 tahun yang lepas, dan DAP akan terus berpegang erat dengan prinsip-prinsip ini, dan kerana ini juga, DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin UMNO yang kleptokratik, yang secara rasminya telah berkembang daripada sekumpulan dua orang kepada kini tiga orang.

Dengan kempen jahat penipuan, fitnah, dan berita palsu, yang bertambah kuat dalam tempoh 12 tahun terakhir sejak 2008, yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, kami berhadapan dengan cabaran yang sengit untuk memenangi sokongan orang Melayu, namun kami tidak pernah berputus asa dengan cabaran ini.

Saya mengakui bahawa Mahathir telah sedikit sebanyak membantu kemenangan 42 kerusi Parlimen DAP dalam Pilihan Raya Umum 2018, tetapi untuk mengatakan yang DAP tidak akan berjaya memenangi lebih daripada 18 kerusi itu adalah salah sama sekali.

Dalam wawancaranya, pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh mengembalikan semula idea Burhanudin Helmy untuk memberikan “kerakyatan Melayu” kepada semua orang tanpa mengira kaum.

Seperti yang saya katakan dalam Perutusan Tahun Baru 2021 saya semalam, rakyat Malaysia perlu meneliti dan menghayati sebab-sebab kita mundur ke belakang berbanding dengan negara-negara lain. Kita perlu terus mara ke hadapan dengan sebuah konsensus nasional baharu untuk mengembalikan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berkelas dunia dan menyelamatkan negara kita daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal.

Seperti yang dikatakan oleh Dr Mohamed Rafick Khan dalam komen terkini beliau yang mengatakan “Ini Malaysia, bukan Malaya atau Tanah Melayu”.

Marilah kita bergerak ke hadapan dengan peredaran zaman.

Langkah pertama ke arah adalah dengan semua rakyat Malaysia bersetuju untuk melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Bangsa Malaysia -- dan di mana slogan untuk semua rakyat adalah “Perpaduan Bangsa Malaysia” dan bukannya “perpaduan Melayu”, “perpaduan Cina”, “perpaduan India”, “perpaduan Iban”, atau “perpaduan Kadazan”.

Hanya dengan cara ini sahaja dapat kita realisasikan cita-cita Bangsa Malaysia seperti yang diiltizamkan dalam Wawasan 2020 yang telah gagal.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri