Seruan kepada kerajaan untuk mengedarkan vaksin secara adil dan saksama dengan memberikan keutamaan kepada para petugas kesihatan untuk memastikan kejayaan usaha vaksinasi melawan Covid-19 di Malaysia

Saya menyeru kerajaan untuk menggunakan konsep kesaksamaan vaksin di mana keutamaan diberikan kepada para petugas kesihatan untuk memastikan kejayaan program vaksinasi Covid-19 di Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru pada bulan Januari lepas supaya semua negara bekerjasama dengan solidariti -- dan demi kepentingan negara masing-masing juga -- untuk memastikan dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini, program vaksinasi untuk para petugas kesihatan dan golongan warga emas bermula di semua negara.

Seruan ini adalah teras kempen #VaccinEquity (Kesaksamaan Vaksin) WHO.

Malaysia adalah kira-kira negara ke-100 yang mula melaksanakan program vaksinasi. Lebih daripada 236 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 103 buah negara di seluruh dunia, dengan kadar terkini kira-kira 6.67 juta dos vaksin diberikan sehari.

WHO telah menyatakan harapan supaya menjelang Hari Kesihatan Sedunia pada 7 April tahun ini, vaksin Covid-19 telah mula diedarkan di semua negara, sebagai simbol harapan dalam mengatasi masalah pandemik dan ketidaksamaan yang menjadi punca utama kepada pelbagai cabaran kesihatan global.

WHO telah menyeru supaya kesaksamaan vaksinasi kepada para petugas kesihatan dan penjagaan dipercepatkan, memandangkan para petugas kesihatan dan penjagaan ini berada di barisan hadapan dalam melawan wabak ini; dan selalunya mereka berada dalam keadaan yang lebih terdedah dan kurang dipertahankan.

WHO berkata: “Golongan wanita membentuk sejumlah besar petugas kesihatan dan penjagaan, dan terima kasih kepada profesionalisme, keberanian, dan dedikasi mereka dalam situasi yang amat mencabar, kadar kematian global akibat virus ini tidak lebih tinggi daripada kadar sedia ada. Kerana belas kasihan dan sifat kemanusiaan golongan ini juga, mereka yang telah pergi telah diberikan layanan yang penuh hormat dalam saat-saat terakhir mereka.

“Dengan usaha saintifik yang tidak pernah dilihat sebelum ini, vaksin kini telah diedarkan di lebih daripada 70 buah negara di seluruh dunia, dengan petugas kesihatan sebagai dalam kalangan penerima terawal vaksin ini. Dalam kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana, program vaksinasi belum dapat dimulakan dan perkara ini menjadi satu bencana apabila hospital mereka mula penuh.

“Kita perlu bertindak dengan pantas untuk memperbetulkan ketidakadilan ini. Pelbagai bentuk berbeza virus ini telah muncul, menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi malah ketahanan terhadap alat-alat kesihatan sedia ada yang digunakan untuk mengawalnya. Cara terbaik untuk menamatkan wabak ini, menghentikan kemunculan bentuk baharu virus ini, dan menyelamatkan kesihatan adalah dengan mengawal penularan wabak ini dengan mengedarkan vaksin dengan pantas dan secara adil, bermula dengan petugas kesihatan.”

Dalam mengumumkan 2021 sebagai Tahun Petugas Kesihatan dan Penjagaan, WHO menegaskan yang “pengedaran vaksin Covid-19 secara pantas dan adil adalah satu kepentingan untuk menamatkan wabak Covid-19, memulakan semula ekonomi, dan untuk mula mengatasi cabaran-cabaran hebat yang lain yang dihadapi seperti masalah keselamatan bekalan makanan, ketidaksamaan, dan krisis iklim”.

Sehubungan dengan itu, amatlah penting supaya kerajaan mengambil berat terhadap aduan-aduan mengenai masalah ketidaksamaan vaksin seperti yang dibangkitkan oleh para petugas barisan hadapan, terutamanya seperti yang dikatakan oleh Dr Rafidah Abdullah di twitter mengenai masalah “Dua Darjat 2.0”, dan seruan beliau kepada pihak berkuasa untuk “MENJAGA kebajikan petugas2 kesihatan-hospital, swasta & komuniti; bukan yang berDARJAT”.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri