Jawatankuasa Bebas mengenai Darurat dengan 19 ahlinya perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong yang Proklamasi Darurat tidak menghalang persidangan khas Parlimen mengenai wabak Covid-19, selari dengan peruntukan Artikel 43(3) Perlembagaan yang mengatakan “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”

Jawatankuasa Bebas mengenai Darurat dengan 19 ahlinya yang diketuai oleh mantan Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong yang Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021 tidak menghalang persidangan khas Parlimen mengenai wabak Covid-19, selari dengan peruntukan Artikel 43(3) Perlembagaan yang mengatakan “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan enam sebab.

Pertamanya, walaupun klausa 14(1)(a) dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 mengatakan “peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog, dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan”, Ordinan ini juga memperuntukkan dalam klausa 14(1)(b) yang “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Kedua, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menjangkakan yang Parlimen akan digantung fungsinya melalui proklamasi darurat. Malah, untuk tempoh 35 tahun di antara tahun 1977 sehingga 2012, Parlimen terus beroperasi di bawah empat proklamasi darurat.

Ketiga, Perlembagaan kita ditubuhkan berasaskan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman, dan apa-apa proklamasi darurat perlu menghormati pemisahan kuasa berpelembagaan ini, terutamanya terhadap Artikel 43(3) Perlembagaan yang mengatakan “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.

Tidak ada sebarang sebab mengapa negara kita perlu menghalang Parlimen daripada menjalankan fungsinya untuk menyemak imbang tindakan pihak eksekutif dan memastikan terdapat pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19. Banyak negara lain, termasuklah negara-negara yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi, tidak menggantung fungsi Parlimen mereka.

Keempat, terdapat keperluan untuk memastikan terdapatnya akauntabiliti dan ketelusan dalam proses memperuntukan sejumlah wang yang sangat besar dalam menguruskan wabak Covid-19 di negara kita. Perkara ini menjadi lebih penting selepas laporan yang tidak baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International baru-baru ini.

Kelima, surat daripada Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Saiz, kepada Peguam Negara, Idrus Harun, yang meluahkan kekeliruan beliau mengenai mengapa peranan Parlimen disekat daripada dijalankan mengikut lunas-lunas Perlembagaan dalam perang melawan wabak Covid-19.

Keenam, untuk memastikan kejayaan kempen vaksinasi kebangsaan yang bakal bermula pada 26 Februari ini, satu tarikh di mana lebih daripada 200 juta dos vaksin Covid-19 telah pun diedarkan di lebih daripada 100 buah negara.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri