Adakah Muhyiddin akan menyokong tindakan tegas dan efektif terhadap ucapan dan jenayah kebencian, yang jika dibiarkan tanpa kawalan, akan menjunamkan negara kita ke arah perpecahan dan polarisasi yang lebih teruk sehingga menjadi sebuah negara gagal

Negara kita memerlukan tindakan yang tegas dan efektif terhadap ucapan dan jenayah kebencian, yang jika dibiarkan tanpa kawalan, boleh membawa negara kita ke arah perpecahan dan polarisasi masyarakat yang lebih teruk sehinggalah Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

Masyarakat majmuk di Malaysia ini perlu dilihat sebagai sebuah aset dan bukannya satu liabiliti -- bukan sahaja semasa pelancaran rancangan atau rangka kerja perpaduan negara, tetapi pada setiap masa supaya negara kita mampu untuk menggembeleng kedudukan unik kita sebagai titik pertemuan pelbagai kaum, bahasa, agama, budaya, dan tamadun.

Semasa perayaan Tahun Baru Cina berlangsung di Malaysia, Amerika melalui proses pemecatan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45 untuk kali kedua, atas sebab-sebab berkaitan dengan “pemberontakan” 6 Januari di Capitol Hill, Washington yang cuba untuk menggagalkan usaha untuk mengesahkan pemilihan Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46.

Dalam tempoh 4 tahun penggal beliau sebagai Presiden, laman semakan fakta Washington Post mendapati yang Trump telah mengeluarkan sejumlah 30,573 kenyataan yang tidak benar -- dengan kadar purata 21 kenyataan salah yang tidak berasas setiap hari dalam tempoh empat tahun ini.

Trump mengambil masa selama 27 bulan untuk mencapai 10,000 kenyataan salah yang tidak berasas, 14 bulan untuk mencapai 20,000, dan beliau mencapai 30,000 tidak sampai lima bulan kemudian.

Hasilnya, Trump meninggalkan Amerika yang bukan sahaja berpecah-belah dan terpolarisasi, tetapi juga kini menjadi negara dunia ketiga dalam wabak Covid-19 sebagai negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di seluruh dunia dengan 28.3 juta kes daripada 110 juta kes terkumpul di seluruh dunia, dan dengan hampir setengah juta kematian daripada 2.4 juta kematian terkumpul di seluruh dunia.

Kita perlu mempelajari pengajaran kisah berita palsu, dakwaan palsu, dan ucapan kebencian di Amerika dalam era media sosial, jika tidak, Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari yang lalu akan disia-siakan.

Selama berdekad lamanya, DAP telah dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, dan saya telah difitnah sebagai menyebabkan rusuhan perkauman 13 Mei 1969 sedangkan saya tidak pun berada di Kuala Lumpur pada masa tersebut.

Perkara ini semua jelas sekali adalah penipuan dan ucapan kebencian yang dibuat untuk menghasut kebencian dalam kalangan orang Melayu terhadap saya.

Saya telah dituduh kononnya memimpin perarakan haram di jalan-jalan di Kuala Lumpur malah dituduh kononnya kencing di halaman rumah Menteri Besar Selangor ketika itu yang terletak di Kampung Baru, sedangkan saya berada di Kota Kinabalu semasa rusuhan ini terjadi di Kuala Lumpur.

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur adalah pada 18 Mei 1969 apabila saya ditahan oleh anggota Cawangan Khas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dan saya dibawa ke Balai Polis Jalan Pasar di Kuala Lumpur.

Semua penipuan, berita palsu, fitnah, dan ucapan kebencian ini semakin menguat dalam dekad terakhir ini dengan kedatangan era informasi dan era media sosial, namun tidak ada sesiapa pun yang telah ditahan atau didakwa kerana menyebarkan penipuan dan jenayah kebencian ini.

DAP telah dituduh sebagai pihak yang disebalik keputusan Pakatan Harapan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan perkara ini adalah kerja Menteri Luar Negeri semasa itu, Saifuddin Abdullah, yang kini merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kejahatan penipuan, berita palsu, dan ucapan kebencian ini telah mencapai satu tahap baharu di Malaysia, sehingga DAP dituduh kononnya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam oleh satu kumpulan dan juga pada masa yang sama dituduh kononnya telah menggadaikan hak dan kepentingan orang Cina dan golongan bukan Islam oleh satu lagi kumpulan, dengan kedua-dua kumpulan ini sebenarnya bekerjasama.

Salah satu pengajaran daripada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan adalah keperluan untuk adanya satu undang-undang yang efektif untuk menangani masalah penipuan, ucapan kebencian, dan jenayah kebencian, termasuklah perbuatan menghasut syak wasangka dan kebencian di antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Adakah Muhyiddin akan memberikan sokongan penuh, demi perpaduan negara, untuk mengambil tindakan tegas dan efektif terhadap penipuan, fitnah, ucapan kebencian, dan jenayah kebencian seperti ini di Malaysia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri