Rakyat Malaysia perlu mempelajari pengajaran daripada masa lepas, terutamanya daripada 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, untuk membina Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, dan sebagai negara berkelas dunia

Keadaan wabak Covid-19 kelihatan telah menunjukkan penurunan kadar kes baharu untuk empat minggu berturut-turut.

Menurut laporan epidemiologi mingguan Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia terus menurun untuk dua minggu berturut-turut, dengan 88,000 kematian dilaporkan dalam minggu lepas, penurunan 10% berbanding dengan minggu sebelumnya.

Namun, masih terlalu awal untuk kita mengatakan yang seluruh dunia telah melepasi kemuncak penularan wabak ini.

Di Malaysia, sejumlah 3,288 kes baharu Covid-19 dan 14 kematian dilaporkan semalam, berbanding dengan 2,764 kes dan 13 kematian pada hari sebelumnya. Perkara ini menunjukkan yang tren penurunan kes Covid-19 dalam negara ini bukanlah sesuatu yang dapat dipastikan buat masa ini.

Dalam tempoh masa yang tidak menentu seperti ini, pemendekan tempoh kuarantin untuk para menteri daripada daripada sepuluh kepada tiga hari, dengan kemungkinan perkara sama dilaksanakan untuk pengembara perniagaan perlu dilihat dengan berhati-hati.

Seperti dalam bantahan daripada Akademi Perubatan (AMM), sebuah badan yang mewakili pakar perubatan daripada 11 kolej dan 15 cawangan, perkara ini tidak berasaskan sains.

Dalam kenyataannya, badan tersebut mengatakan: “Kami ingin mengingatkan kerajaan yang semua prosedur operasi standard (SOP) perlulah berasaskan kepada sains. Tempoh kuarantin ditetapkan pada 10 hari berdasarkan kajian yang menunjukkan kadar jangkitan yang amat rendah (~1%) selepas tempoh ini berlalu, dengan pemerhatian dan ujian saringan.

“Tempoh inkubasi untuk Covid-19 ini secara puratanya mengambil masa selama lima ke enam hari, tetapi ia boleh berpanjangan sehingga 14 hari. Oleh itu, tiga hari tidak mencukupi untuk membolehkan penyakit ini menunjukkan sebarang simptom.”

Adham Baba telah mengatakan yang Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein mungkin tidak layak untuk memendekkan tempoh kuarantin beliau kepada tiga hari selepas pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Adakah Adham menyedari bahawa UAE adalah salah satu daripada 33 negara dalam “zon merah” yang diumumkan oleh UK dalam cubaan untuk negara tersebut membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara mereka?

Malaysia sedang melalui satu masa yang sukar. Kita perlu mempelajari pengajaran daripada masa lepas, terutamanya daripada 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, untuk membina Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, dan sebagai negara berkelas dunia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri