Rakyat Malaysia harus memikirkan bagaimana kita dapat memenuhi hasrat Tunku agar Malaysia menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu”

Salah seorang daripada sahabat kepada Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, yang masih hidup dan juga merupakan aktivis kemerdekaan negara dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yusof Latiff, berkata pada ulang tahun ke-118 Tunku dua hari lalu bahawa jika Tunku masih hidup, beliau pasti akan tertekan melihat keadaan politik negara sekarang.

Tokoh berusia 90 tahun itu berkata: "Perkara ini bertentangan dengan perjuangan beliau untuk kebebasan dan hak untuk mentadbir negara sendiri, kerana keharmonian kaum adalah landasan utama mengapa negara ini diberikan kemerdekaan daripada penjajah."

Pada salah satu hari cuti kebangsaan negara ini untuk meraikan kepelbagaian dan keunikan Maysia, rakyat Malaysia harus memikirkan bagaimana kita dapat memenuhi hasrat Tunku agar Malaysia menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu”.

Kita melalui tahun yang sukar dan menyedihkan -- bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia -- akibat daripada penularan wabak Covid-19.

Setahun yang lalu, tiada siapa yang dapat menyangka bahawa wabak Covid-19 akan menjangkiti lebih 107 juta orang dan meragut lebih 2.3 juta nyawa, dan sehingga kini tiada siapa yang tahu tentang bilakah wabak ini akan berakhir.

Penurunan drastik kepada 2,764 kes Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia semalam, iaitu angka terendah sejak pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan, akhirnya menerbitkan sinar harapan untuk Malaysia meratakan lengkungan pandemik Covid-19. Ketua pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menyatakan harapan untuk melihat Malaysia mencatatkan kes dua digit pada pertengahan atau akhir bulan Mei.

Bagaimana kita dapat memenuhi hasrat Tunku agar Malaysia dapat menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu”.

Adakah impian ini mustahil untuk dicapai?

Perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum serta agama merupakan prasyarat penting bagi merealisasikan impian itu.

Amat menyedihkan apabila kita melihat kegagalan usaha pembinaan negara bangsa kita, di mana selepas enam dekad, masih ramai rakyat Malaysia yang mengutamakan identiti sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban dahulu berbanding identiti sebagai rakyat Malaysia, sekali gus mewujudkan ruang mudah untuk mencetuskan kebencian dan syak wasangka antara kaum dan agama.

Kita juga telah semakin menjauh dari visi Bapa Malaysia dalam soal etika dan integriti.

Tidak ada yang dapat menyangkal komitmen tiga Perdana Menteri terawal Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn dalam usaha memerangi rasuah, pun begitu Malaysia kini masih sedang bergelut untuk mencari jalan keluar dari amalan kleptokrasi.

Pandemik Covid-19 juga telah mendedahkan Malaysia kepada cabaran baru - iaitu bagaimana untuk keluar daripada amalan kakistokrasi di mana seorang Menteri Kesihatan diturunkan tahapnya menjadi “Menteri Kuarantin”.

Adakah Malaysia akan berakhir menjadi negara yang gagal dan kurang bermutu?

Saya tidak fikir begitu.

Malaysia tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua rakyat Malaysia mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti kaum atau agama mereka.

Tidak ada sesiapa pun yang meminta supaya rakyat Malaysia berhenti daripada menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist, tetapi kita semua perlu bersama dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.

Kita harus berusaha untuk menjadi contoh kejayaan Perikatan Peradaban, kerana kita berada di pertemuan empat peradaban besar dunia - Islam, Cina, India, Barat - bukannya menjadi kegagalan kerana Pertembungan Tamadun.

Banyak perkara yang boleh difikirkan oleh semua rakyat Malaysia pada cuti Tahun Baru Cina ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri