Muhyiddin perlu mengarahkan Menteri Kesihatan beliau, Adham Baba untuk menarik semula peraturan kuarantin baharu beliau untuk memastikan janji Perdana Menteri sendiri bahawa tidak akan ada layanan berbeza di dalam SOP kuarantin Covid-19 tidak diingkari

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengarahkan Menteri Kesihatan beliau, Dr Adham Baba untuk menarik semula peraturan kuarantin baharu beliau untuk memastikan janji Perdana Menteri sendiri bahawa tidak akan ada layanan berbeza di dalam SOP kuarantin Covid-19 tidak diingkari.

Dalam bulan Oktober tahun lepas, Muhyiddin telah berjanji dalam satu perutusan khas yang disiarkan ke seluruh negara mengenai situasi semasa Covid-19 bahawa kerajaan tidak akan memberikan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19.

Beliau telah mengatakan yang beliau sendiri dan menteri-menteri beliau juga tidak terkecuali daripada perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam perkara ini.

Beliau mengumumkan:

“Sebagai Perdana Menteri saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP. Ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita. Saya mesti patuh kepada peraturan.”

Muhyiddin mengatakan semasa itu tujuh orang menteri dan enam orang timbalan menteri sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah. Mereka semua telah menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhyiddin, di mana seorang menteri yang hadir kemudiannya didapati positif Covid-19.

Beliau berkata: “Mereka (menteri dan timbalan menteri) mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar.”

Muhyiddin mengatakan yang Covid-19 ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja, dan virus ini tidak membezakan status dan kedudukan seseorang dan kerana itulah SOP Covid-19 ini perlu dipatuhi oleh semua.

Menteri Kesihatan “air suam” ini jelas sekali tidak relevan dalam usaha perang melawan wabak Covid-19 dalam negara kita, memandangkan negara kita telah bergerak melawan wabak ini untuk sepanjang tahun yang lepas seakan-akan kita tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan.

Namun, adakah janji Perdana Menteri ini tidak mempunyai sebarang makna sekiranya Menteri Kesihatan kini boleh mewartakan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19 untuk para menteri yang menjadikan penegasan Perdana Menteri pada bulan Oktober tahun lepas untuk tidak masuk akal sama sekali?

Apa yang dipertaruhkan sekarang bukanlah kredibiliti Menteri Kesihatan “air suam” memandangkan beliau tidak mempunyai sebarang kredibiliti lagi, tetapi kini kredibiliti Perdana Menteri sendiri -- sama ada kredibiliti beliau berada dalam keadaan yang lebih baik daripada kredibiliti Menteri Kesihatan “air suam”.

Dalam siaran langsung beliau pada bulan Oktober tahun lepas, Muhyiddin telah mengatakan: “Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!”

Adakah beliau akan menggunakan rotan terhadap Menteri Kesihatan beliau sendiri?

Muhyiddin juga perlu beringat kepada jaminan perlembagaan yang menjamin kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Amat tragik apabila kita berada dalam situasi di mana keutamaan kerajaan seharusnya fokus kepada mengembalikan kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat terhadap strategi kebangsaan untuk melawan wabak Covid-19, dengan melancarkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, kerajaan membuat keputusan untuk melakukan perkara yang berlawan -- melakukan segalanya yang boleh untuk merendahkan lagi kepercayaan, keyakinan, dan sokongan rakyat seperti yang dilakukan dengan peraturan kuarantin baharu Adham Baba untuk para menteri ini.

Adakah ini bukti terbaru yang melayakkan Kerajaan Malaysia sedia ada untuk dipanggil sebuah kakistokrasi secara menyeluruh?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri