Selepas setahun keadaan Covid-19 yang semakin meneruk, pimpinan tertinggi kerajaan Muhyiddin kelihatan seakan-akan tidak sedar mengenai situasi ini
Agak mengejutkan, selepas setahun keadaan Covid-19 dalam negara yang semakin meneruk, dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan dan perisytiharan darurat, pimpinan tertinggi kerajaan Muhyiddin kelihatan seakan-akan tidak sedar mengenai perkara ini.
Jika tidak, mengapakah lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia di mana salah satu hasil daripada perbincangan dalam lawatan ini perangkaan prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan koridor perjalanan di antara dua negara kita, seperti yang diumumkan oleh Muhyiddin selepas beliau berjumpa dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta, pada Jumaat lepas berlaku?
Keutamaan utama negara kita dan Indonesia buat masa ini sepatutnya berfokuskan kepada usaha untuk mengawal keadaan penularan wabak Covid-19 di negara masing-masing, di mana Indonesia kini berada di tempat ke-19 di seluruh dunia dengan jumlah kes tertinggi dan juga sebagai salah satu daripada 21 negara di dunia yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes terkumpul -- dengan 1,147,010 kes terkumpul dan 31,392 kematian dan 12,150 kes baharu semalam, sementara Malaysia pula masih bergelut untuk mengawal gelombang ketiga wabak ini selepas empat bulan setengah.
Indonesia telah mencatatkan rekod peningkatan harian tertinggi pada 30 Januari dengan 14,518 kes dan terus mengekalkan kadar peningkatan harian lima angka sejak daripada hari tersebut.
Susah untuk kita memahami pemikiran Muhyiddin apabila beliau mengumumkan “usaha meningkatkan” perbincangan untuk merangka koridor perjalanan dengan Indonesia, sedangkan usaha ini lebih realistik untuk dilakukan dengan negara ASEAN lain yang telah berjaya untuk mengawal wabak Covid-19 di negara mereka seperti Singapura (yang berada di tempat ke-94 dengna sejumlah 59,675 kes dengan peningkatan sebanyak 490 kes baharu semalam), Vietnam (di tempat ke-172, dengan sejumlah 1,981 kes, yang mencatatkan lima kes baharu semalam), Kemboja (di tempat ke-192 dengan sejumlah 472 kes terkumpul dan dua kes baharu semalam), Brunei (di tempat ke-198 dengan sejumlah 181 kes dengan sifar kes baharu semalam) atau Laos (di tempat ke-207 yang mencatatkan sejumlah 45 kes terkumpul dan sifar kes baharu semalam).
Sehingga hari ini, Jawatankuasa Khas Covid-19 bebas yang bakal menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat yang diumumkan oleh Perdana menteri pada 12 Januari masih belum ditubuhkan, walaupun Pakatan Harapan telah memberikan respons yang positif dengan mencadangkan calon untuk dilantik ke dalam jawatankuasa ini.
Penubuhan Jawatankuasa ini sepatutnya menjadi keutamaan Perdana Menteri, bukannya usaha untuk merangka koridor perjalanan di antara Malaysia dan Indonesia, memandangkan perkara ini akan menentukan kebolehan kedua-dua negara kita untuk mengawal keadaan wabak Covid-19 dalam negara masing-masing.
Apa yang jelas di sini adalah terdapat keperluan untuk semakan semula menyeluruh terhadap strategi yang digunapakai negara kita dalam memerangi wabak Covid-19.
Lebih baik lambat daripada tidak langsung melaksanakan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19 di Malaysia, yang jika dilakukan lebih awal lagi, negara kita tidak perlu bergelut dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Kesatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menggesa Kementerian Kesihatan untuk kembali melaksanakan dasar sebelum ini yang menjalankan ujian saringan kepada semua kontak rapat dan bukannya hanya kepada kontak rapat yang menunjukkan simptom seperti yang dilakukan sekarang.