Dari kedudukan ke-85 pada 18 November, Malaysia telah mencatat rekod dunia dengan melonjak 36 anak tangga dalam tempoh dua bulan setengah dan kini menjadi negara ke-49 dengan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi
Dari kedudukan ke-85 pada 18 November, Malaysia telah mencatat rekod dunia dengan melonjak 36 anak tangga dalam tempoh dua bulan setengah dan kini menjadi negara ke-49 dengan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi.
Saya menjangkakan Malaysia akan berada di antara 50 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 yang tertinggi sebelum Tahun Baru Cina, namun kita telah tercapai kedudukan ini seminggu lebih awal.
Berita peningkatan 3,391 kes semalam dengan 19 kematian adalah berita yang membawa perasan bercampur baur, memandangkan perkara ini cuba menunjukkan yang kita mungkin sedang bergerak ke arah kurang daripada 4,000 ke 5,000 kes sehari, tetapi berita ini datang bersama dengan kadar kematian yang lebih tinggi.
Seruan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam, supaya makmal swasta bukan milik Kementerian Kesihatan, seperti makmal yang diuruskan oleh tentera, universiti, dan badan swasta, untuk menjadi lebih efisien dalam memproses bahan ujian saringan Covid-19, agak merisaukan.
Beliau mengatakan yang makmal di hospital awam menjalankan ujian saringan RT-PCR hampir pada kadar 100 peratus kapasiti sedangkan makmal-makmal lain tidak menggunakan kapasiti mereka sepenuhnya.
Beliau mengatakan: “Kita menyedari yang di makmal-makmal universiti, mereka hanya menggunakan 27 peratus kapasiti mereka. Masih terdapat ruang untuk mereka meningkatkan kadar pemprosesan ujian saringan di universiti ini.
“Di makmal-makmal swasta pula, kadar penggunaan kapasiti ini berada pada kadar 31 peratus.
“Dan di (makmal) hospital tentera pula, 24 peratus.”
Beliau mencadangkan supaya makmal-makmal yang tidak beroperasi pada kapasiti mereka ini untuk mengupah lebih ramai pekerja, merangka semula proses dalaman mereka, dan menambah baik integrasi data supaya mereka boleh memproses bahan ujian saringan Covid-19 dengan lebih pantas.
Sekiranya kemudahan-kemudahan ini dapat dipertingkatkan, Dr Noor Hisham mengatakan yang negara kita bakal boleh melakukan 76,805 ujian saringan sehari -- kadar maksima ujian saringan Covid-19.
68 makmal awam dan swasta di seluruh negara semalam menjalankan sejumlah 33,078 ujian saringan semalam -- hanya 43 peratus daripada kapasiti maksima yang ada.
Apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan ini sangat tepat, tetapi perkara ini sepatutnya didedahkan dan diperbaiki lebih awal lagi, beberapa bulan sebelum ini lagi, memandangkan sudah lama terdapat seruan supaya satu strategi bersepadu kebangsaan untuk memerangi wabak Covid-19 sejak daripada awal lagi.
Malah, negara kita perlu mengambil langkah ke arah menambah kapasiti ujian saringan kita kepada 76,805 ujian saringan sehari.
Persoalannya, apakah yang sedang dilakukan sekarang untuk memastikan terdapatnya strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 ini untuk mengembalikan kepercayaan, keyakinan, dan sokongan rakyat dalam usaha memerangi wabak ini?
Dengan kelemahan serius seperti ini dalam kapasiti ujian saringan Covid-19 didedahkan sebegini lambat, bolehkah kita memastikan yang kita tidak akan mengulangi perkara seperti ini dalam program vaksinasi kelak, dan mengelakkan keadaan kucar-kacir dalam program vaksinasi seperti mana yang dihadapi oleh negara lain?
Pada kadar peningkatan kes semasa di Malaysia, kita mungkin bakal mengatasi kedudukan Filipina dalam masa beberapa bulan yang akan datang dengan lebih banyak kes Covid-19.
Adakah Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina ini sebagai negara kedua dengan jumlah kes tertinggi dia ASEAN, sedangkan kita hanyalah negara yang keenam dari segi jumlah penduduk?
Untuk rekod, pada 18 November 2020, Indonesia berada di tangga ke-21 dan kini berada di tangga ke-19, sementara itu Filipina, negara ASEAN kedua dengan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi, berada di tempat ke-26 pada November 18, 2020 dan kini berada di kedudukan ke-32.
Keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam pengurusan kerajaan terhadap wabak Covid-19 ini telah jatuh pada tahap terendah.
Adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menilai sepenuhnya masalah ini dan merombak strategi sepenuhnya untuk mengembalikan keyakinan, kepercayaan dan sokongan masyarakat?